Konvensyen Distrik Saksi-Saksi Yehuwa 2009
1. (a) Apakah berkat-berkat yang akan kita nikmati apabila menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen distrik? (b) Apakah rancangan-rancangan yang patut kita buat sekarang?
1 Kita semua tidak sabar-sabar menantikan konvensyen distrik 2009. Sekali lagi, kita berpeluang untuk memuji Yehuwa bersama-sama saudara saudari kita yang “sedar bahawa mereka memerlukan [Tuhan].” (Mat. 5:3) Bagi memanfaatkan sepenuhnya persaudaraan Kristian yang mesra dan galakan rohani untuk berdiri teguh dalam kepercayaan, kami menggesa setiap orang untuk menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen. Hal ini penting memandangkan hari Yehuwa akan tiba dengan segera. (Zef. 1:14) Maklumkan guru dan majikan anda bahawa konvensyen adalah satu aspek yang penting dalam penyembahan anda. Beranikan diri untuk membuat rancangan awal dan mohonlah berkat Yehuwa. Dia pasti akan menyokong anda.—Yes. 50:10.
2. Meskipun kita tidak dijemput untuk menghadiri konvensyen antarabangsa, apakah suasana antarabangsa yang dapat kita rasai?
2 Konvensyen Antarabangsa: Oleh sebab konvensyen antarabangsa akan diadakan di beberapa negara dan bandar yang tertentu sahaja, hanya mereka yang ditugaskan patut hadir. Jika kita bekerjasama dengan aturan ini, kesesakan dapat dielakkan. (1 Kor. 14:40; Ibr. 13:17) Namun, banyak kovensyen distrik akan diwarnai suasana antarabangsa kerana terdapat ramai saudara saudari dari luar negara yang berkhidmat di Malaysia.
3. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih Kristian kepada sesetengah orang dalam sidang kita?
3 Bantu Orang Lain Hadir: Adakah sesiapa dalam sidang anda yang memerlukan bantuan untuk menghadiri konvensyen? Apabila anda membantu orang lain untuk berbuat demikian, anda sedang ‘mengutamakan kepentingan orang lain, bukan hanya kepentingan diri sendiri.’—Flp. 2:4.
4. Jika anda perlu menghadiri konvensyen yang tidak ditugaskan kepada sidang anda kerana situasi tertentu, apakah yang patut anda lakukan?
4 Memperoleh Maklumat: Jika anda akan menghadiri konvensyen yang tidak ditugaskan kepada sidang anda, anda boleh menyurati ibu pejabat bahagian penginapan untuk mendapatkan “Senarai Penginapan yang Disyorkan” (Recommended Lodging List). Gunakan alamat yang tertera pada halaman belakang borang “Permohonan Penginapan Keperluan Khas” (Special Needs Room Request) yang terkini. Borang-borang ini akan dihantar kepada setiausaha sidang tidak lama lagi.
5. Apakah langkah-langkah yang harus diambil jika seorang penyiar yang berkeperluan khas meminta bantuan untuk mendapatkan penginapan?
5 Keperluan Khas: Jika seorang penyiar memerlukan bantuan untuk mendapatkan penginapan, Jawatankuasa Sidang harus memutuskan sama ada dia memenuhi syarat untuk mengisi borang “Permohonan Penginapan Keperluan Khas” atau tidak. Sebelum setiausaha sidang mengirimkan borang ini kepada Bahagian Penginapan, Jawatankuasa Sidang harus menyemak garis panduan yang terdapat pada borang tersebut dan surat bertarikh 14 Disember 2008 yang ditujukan kepada semua badan penatua.
6. (a) Apakah caranya untuk menempah bilik hotel? (b) Apakah peringatan-peringatan yang akan membantu kita mengekalkan reputasi yang baik dengan pihak pengurusan hotel? (Lihat kotak “Arahan-arahan Penempahan Bilik.”)
6 Penempahan Bilik: Sidang akan menerima “Senarai Penginapan yang Disyorkan” kelak dan memaparkan senarai ini pada papan kenyataan. Sebelum menempah bilik, sila meneliti kotak “Arahan-arahan Penempahan Bilik.” Semasa menempah bilik:
◼ Telefon hotel pada waktu pejabat dengan menggunakan nombor telefon yang terdapat pada senarai.
◼ Beritahu pihak hotel bahawa anda akan menghadiri konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa.
◼ Nyatakan tarikh anda akan mendaftar masuk dan mendaftar keluar dari hotel.
◼ Jika semua bilik telah ditempah, telefon hotel lain yang ada pada senarai.
◼ Buat tempahan dan minta nombor pengesahan.
◼ Buat bayaran pendahuluan dengan kad kredit, cek, atau kiriman wang dalam masa sepuluh hari. Jika bayaran pendahuluan dibuat dengan cek atau kiriman wang, tuliskan nombor pengesahan di muka depan cek atau kiriman wang. Jangan sekali-kali mengirim wang tunai.
7. Bagaimanakah kita dapat membantu semua orang untuk menyewa bilik hotel pada kadar yang berpatutan?
7 Kami sedar bahawa sesetengah orang mungkin lebih suka memilih hotel sendiri. Namun, apabila kita menginap di hotel yang tidak terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” atau menerima kadar yang lebih tinggi daripada apa yang disenaraikan, kita akan menyukarkan usaha saudara-saudara yang merundingkan kadar bilik yang berpatutan. Jangan menempah bilik jika anda tidak akan bermalam di situ atau membatalkan penempahan anda pada saat terakhir supaya anda dapat menginap di hotel yang lain. Kerjasama anda dalam hal ini akan membantu semua orang untuk menyewa bilik hotel pada kadar yang berpatutan.—1 Kor. 10:24.
8. Apakah keutamaan kita semasa kita merancang dan menghadiri konvensyen distrik 2009?
8 Perbuatan yang Memuliakan Tuhan: Kita patut memperlihatkan buah daya aktif Tuhan setiap masa dan memberi perhatian terhadap pertuturan dan kelakuan kita semasa berurusan dengan kakitangan hotel dan orang lain di bandar konvensyen. Dengan ini, kita menyumbang kepada reputasi baik umat Tuhan dan mengelak daripada menyandung orang lain. (1 Kor. 10:31; 2 Kor. 6:3, 4) Semoga kehadiran dan kelakuan baik anda memuliakan Tuhan semasa konvensyen distrik 2009!—1 Ptr. 2:12.
[Kotak pada muka surat 5]
Waktu Program:
Khamis (Konvensyen Antarabangsa Sahaja)
1:20 petang - 4:55 petang
Jumaat dan Sabtu
9:20 pagi - 4:55 petang
Ahad
9:20 pagi - 4:00 petang
[Gambar pada muka surat 6]
Arahan-arahan Penempahan Bilik:
◼ Jangan buat tempahan bilik hotel selagi anda belum menerima surat penugasan konvensyen dan “Senarai Penginapan yang Disyorkan.”
◼ Pilih hotel yang terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” sahaja.
◼ Jangan terima kadar yang lebih tinggi daripada kadar yang tertera pada senarai.
◼ Setiap bilik harus ditempah atas nama penginap.
◼ Bagi mematuhi peraturan keselamatan pencegahan kebakaran, bilangan penginap dewasa dalam setiap bilik hotel tidak boleh melebihi had yang tertera pada senarai.
◼ Jangan batalkan tempahan yang pertama.—Mat. 5:37.
◼ Jangan hubungi hotel yang tidak ada pada senarai untuk menanya sama ada mereka mempunyai kadar yang istimewa bagi konvensyen kita atau tidak.
◼ Jika anda telah menelefon SEMUA hotel yang ada pada senarai dan semua bilik telah ditempah, atau jika anda mempunyai masalah dengan hotel yang tertentu, sila beritahu setiausaha sidang anda. Dia boleh menghubungi Bahagian Penginapan konvensyen dengan menggunakan maklumat yang tercatat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan.”
◼ Jika anda terpaksa membatalkan tempahan, lakukanlah pembatalan anda secepat yang mungkin. Pastikan anda menerima nombor pengesahan pembatalan.