Tiga Hari yang Menyegarkan secara Rohani
1. Apakah manfaat yang akan kita raih daripada konvensyen distrik tahun ini?
1 Dunia Syaitan ibarat tanah yang gersang secara rohani. Namun, Yehuwa terus menyegarkan hamba-hamba-Nya. (Yes. 58:11) Salah satu cara Yehuwa berbuat demikian adalah menerusi konvensyen distrik setiap tahun. Seraya kehangatan konvensyen tahun ini kian dirasai, apakah persiapan yang boleh kita lakukan untuk menyegarkan orang lain dan disegarkan secara rohani?—Ams. 21:5.
2. Apakah persiapan-persiapan yang perlu diselesaikan?
2 Sudahkah anda mengaturkan jadual peribadi ataupun jadual kerja agar anda dapat menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen? Sudahkah anda mengira masa yang diperlukan untuk membuat perjalanan ke lokasi konvensyen setiap hari agar anda dapat tiba awal dan mencari tempat duduk sebelum program bermula? Kita pasti tidak mahu terlepas mana-mana bahagian daripada jamuan rohani yang disediakan oleh Yehuwa untuk menguatkan kita! (Yes. 65:13, 14) Sudahkah anda memastikan bahawa anda mempunyai penginapan dan pengangkutan?
3. Apakah cadangan yang dapat membantu kita dan keluarga kita untuk memanfaatkan program konvensyen dengan sepenuhnya?
3 Bagaimanakah anda dapat mencegah fikiran sendiri daripada melayang-layang semasa sesi konvensyen? Cuba berehat dengan secukupnya pada setiap malam konvensyen. Pandanglah penceramah. Buka Bible dan ikuti semua pembacaan ayat. Buatlah nota ringkas. Ibu bapa digalakkan untuk duduk bersama anak-anak agar dapat membantu mereka untuk menumpukan perhatian. (Ams. 29:15) Anda mungkin boleh membincangkan isi-isi penting program bersama keluarga anda setiap petang. Setelah balik dari konvensyen, luangkan masa pada malam Penyembahan Keluarga untuk membincangkan bagaimana keluarga anda dapat menerapkan isi-isi tertentu dan terus disegarkan secara rohani.
4. Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain dalam sidang agar mereka disegarkan secara rohani?
4 Bantu Orang Lain Disegarkan secara Rohani: Kita ingin orang lain disegarkan secara rohani juga. Adakah penyiar yang tua atau orang lain dalam sidang anda memerlukan bantuan untuk menghadiri konvensyen? Dapatkah anda membantu mereka? (1 Yoh. 3:17, 18) Para penatua, terutamanya penyelia kumpulan, perlu memastikan bahawa penyiar-penyiar ini menerima bantuan yang diperlukan.
5. Bagaimanakah kita akan mengedarkan surat jemputan konvensyen? (Lihat juga kotak di atas.)
5 Seperti dulu, kita akan mengedarkan surat jemputan kepada orang ramai tiga minggu sebelum bermulanya konvensyen. Sidang harus menetapkan matlamat untuk mengedarkan semua surat jemputan yang ada, dan meliputi seberapa banyak kawasan penyebaran yang mungkin. Jika keluarga anda masih mempunyai surat jemputan selepas tamatnya kempen, bawanya ke konvensyen agar anda dapat menggunakannya semasa memberikan kesaksian tidak formal. Program hari Jumaat akan memberikan maklumat lanjut berkenaan hal ini. Sekiranya keluarga anda tidak dapat mengedarkan semua surat jemputan itu, berikannya kepada salah seorang atendan di dewan konvensyen. Jangan lupa simpan sehelai surat jemputan untuk diri anda kerana anda memerlukannya semasa ceramah terakhir pada hari Ahad.
6. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kesopanan di konvensyen?
6 Kesopanan Anda Menyegarkan Orang: Kini, orang ramai “mementingkan diri sendiri” dan tidak bertimbang rasa. Maka, alangkah menyegarkan semasa berada di sisi rakan-rakan Kristian yang bersopan santun! (2 Tim. 3:2) Kita menunjukkan kesopanan dengan memasuki dewan konvensyen secara tenang dan teratur semasa dewan dibuka pada jam 8 pagi, serta mengekhaskan tempat duduk hanya untuk mereka yang menaiki kenderaan yang sama dengan kita, tinggal serumah dengan kita, atau yang sedang mempelajari Bible dengan kita. Kita mengikut arahan pengerusi apabila dia meminta semua untuk duduk di tempat masing-masing dan mendengar selingan muzik sebelum bermulanya setiap sesi. Kita menunjukkan kesopanan dengan memastikan telefon bimbit atau alat kelui kita tidak mengganggu orang lain semasa program berlangsung. Kita juga memperlihatkan kesopanan dengan tidak bercakap, menghantar mesej, makan, atau merayau-rayau tanpa tujuan di koridor semasa berlangsungnya program.
7. Bagaimanakah kita dapat saling menyegarkan semasa bergaul dengan saudara saudari kita?
7 Pergaulan yang Menyegarkan: Semasa konvensyen, kita mempunyai lebih banyak peluang untuk menikmati persaudaraan Kristian kita yang bersatu padu. (Mzm. 133:1-3) Ambillah inisiatif untuk ‘membuka hati’ dan berkenalan dengan saudara saudari sidang lain. (2 Kor. 6:13) Anda boleh juga menetapkan matlamat untuk mengenali sekurang-kurangnya seorang individu atau sebuah keluarga yang baru setiap hari. Masa rehat tengah hari merupakan peluang yang baik untuk berbuat demikian. Jadi, bawalah bekalan makanan tengah hari yang ringan ke konvensyen dan bukannya keluar untuk makan di restoran. Dengan ini, anda dapat bergaul dengan orang lain di dewan sambil mengisi perut. Anda mungkin juga memperoleh berkat kerana dapat menjalin persahabatan yang baru dan berkekalan.
8. Mengapakah kita patut menjadi sukarelawan semasa konvensyen? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?
8 Betapa menyegarkan untuk berganding bahu bersama rakan sekepercayaan dalam khidmat suci! Bolehkah anda menawarkan diri untuk membantu dalam salah satu bahagian konvensyen atau menyertai sidang anda dalam kerja pembersihan? (Mzm. 110:3) Jika anda tidak mempunyai apa-apa tugas, pergilah ke Bahagian Khidmat Sukarela konvensyen. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
9. Mengapakah kita patut lebih prihatin terhadap kelakuan dan penampilan kita semasa konvensyen?
9 Tingkah Laku Kita Menyegarkan Para Pemerhati: Kita ialah wakil-wakil konvensyen bukan hanya semasa program berlangsung, tetapi untuk ketiga-tiga hari konvensyen. Semasa di bandar konvensyen, orang lain patut memperhatikan bahawa tingkah laku baik kita berbeza daripada orang yang bukan Saksi. (1 Ptr. 2:12) Pakaian dan dandanan kita semasa di dewan konvensyen, di tempat penginapan, dan di restoran patut memuliakan Yehuwa. (1 Tim. 2:9, 10) Jika kita memakai lencana konvensyen, orang lain akan tahu bahawa kita ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Dengan ini, kita berkesempatan untuk memberitahu mereka mengenai konvensyen kita dan memberikan kesaksian yang selanjutnya.
10. Apakah yang perlu kita lakukan agar pekerja hotel dan restoran berpandangan positif terhadap konvensyen kita?
10 Bagaimanakah kita dapat bekerjasama dengan pekerja hotel dan restoran? Tempahlah bilangan bilik yang kita perlukan sahaja. Jika tidak, kita akan menyusahkan orang lain yang ingin mendapatkan bilik, dan mungkin menjejaskan perniagaan hotel. Jika pihak hotel sedang sibuk semasa kita mendaftar masuk atau keluar, kita harus bersabar dan berbudi bahasa. (Kol. 4:6) Biasanya, kita harus memberikan tip kepada pelayan restoran dan kakitangan hotel yang mengangkat beg kita, membersihkan bilik kita, dan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan.
11. Bagaimanakah kelakuan orang Kristian dapat memberikan kesaksian yang baik?
11 Apakah pandangan orang terhadap kelakuan baik kita semasa menghadiri konvensyen? Menurut sebuah rencana akhbar, pengurus sebuah lokasi yang digunakan untuk konvensyen berkata, “Mereka sangat sopan. Kami mengalu-alukan kedatangan mereka setiap tahun.” Tahun lalu, seorang lelaki yang bukan Saksi kehilangan dompetnya di sebuah hotel yang digunakan oleh wakil-wakil konvensyen. Apabila dompet itu dan semua kandungannya diberikan kepada pengurus hotel, dia berkata kepada lelaki itu, “Anda bernasib baik kerana Saksi-Saksi Yehuwa menghadiri konvensyen di tempat yang berdekatan, dan ramai daripada mereka menginap di hotel kami. Jika tidak, dompet anda mungkin tidak akan dipulangkan.”
12. Seraya konvensyen tahun ini kian mendekat, apakah yang patut kita lakukan? Mengapa?
12 Konvensyen tahun ini kian mendekat. Banyak masa dan tenaga telah dicurahkan untuk menyediakan program dan suasana konvensyen yang menyegarkan. Berazamlah untuk menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen dan buatlah persiapan agar anda dapat menikmati program yang disediakan oleh Yehuwa dan organisasi-Nya. Biarlah kesopanan, pergaulan, dan kelakuan baik anda menyegarkan orang lain. Dengan ini, anda dan orang lain juga boleh berkata seperti salah seorang hadirin konvensyen tahun lalu, “Saya tidak pernah berasa begitu puas!”
[Blurb pada muka surat 4]
Seperti dulu, kita akan mengedarkan surat jemputan kepada orang ramai tiga minggu sebelum bermulanya konvensyen
[Blurb pada muka surat 6]
Pakaian dan dandanan kita semasa di dewan konvensyen, di tempat penginapan, dan di restoran patut memuliakan Yehuwa
[Blurb pada muka surat 7]
Biarlah kesopanan, pergaulan, dan kelakuan baik anda menyegarkan orang lain
[Gambar pada muka surat 4-7]
Peringatan untuk Konvensyen Distrik 2011
◼ Masa Program: Program akan bermula pada jam 9:20 pagi untuk kesemua tiga hari. Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Apabila pengerusi mengumumkan bahawa selingan muzik akan bermula, kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing supaya program boleh bermula tepat pada masanya. Program akan berakhir pada jam 4:55 petang pada hari Jumaat dan Sabtu, dan pada jam 3:40 petang pada hari Ahad.
◼ Tempat Letak Kereta: Bagi semua lokasi konvensyen yang menyediakan tempat letak kereta, ruangan disediakan untuk sesiapa yang datang dahulu. Memandangkan ruangan yang disediakan biasanya terhad, kita semua digalakkan untuk berkongsi kereta.
◼ Tempat Duduk: Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk untuk mereka yang menaiki kenderaan yang sama dengan anda, yang tinggal serumah dengan anda, atau yang sedang mempelajari Bible dengan anda.—1 Kor. 13:5.
◼ Makan Tengah Hari: Sila bawa makanan tengah hari ke dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Anda boleh menggunakan bekas penyejuk yang kecil yang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk. Bekas penyejuk besar yang digunakan semasa perkelahan dan bekas kaca tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.
◼ Derma: Kita dapat menunjukkan penghargaan untuk kerja penyelenggaraan konvensyen dengan memberikan derma sukarela untuk kerja sedunia di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan di konvensyen harus dibuat atas nama “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”
◼ Kemalangan dan Kecemasan: Jika berlakunya suatu kecemasan perubatan di lokasi konvensyen, sila hubungi seorang atendan yang berdekatan supaya dia dapat memaklumkan Bahagian Pertolongan Cemas dengan segera. Saudara berkelayakan yang bertugas di bahagian ini dapat menilai tahap kecemasan dan menghulurkan bantuan. Jika perlu, saudara tersebut akan menghubungi 999. Dengan ini, jabatan perkhidmatan kecemasan tidak akan menerima banyak panggilan telefon bimbit tentang perkara-perkara yang remeh.
◼ Ubat-ubatan: Jika anda memerlukan ubat preskripsi, sila pastikan bahawa anda membawa bekalan yang mencukupi. Pihak konvensyen tidak akan menyediakannya.
◼ Kasut: Setiap tahun, banyak kecederaan berlaku disebabkan kasut. Sebaik-baiknya, pilihlah kasut yang sesuai dengan keadaan dan ukuran kaki supaya anda tidak mudah tercedera apabila berjalan di atas tangga, kekisi, dan sebagainya.
◼ Kereta Sorong Bayi dan Kerusi Malas: Kereta sorong bayi dan kerusi malas tidak patut dibawa ke tapak konvensyen. Tetapi, kerusi keselamatan bayi yang boleh dipasang pada tempat duduk di sebelah ibu bapa dibenarkan.
◼ Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang memerlukan sistem pengalihan udara mekanikal. Oleh itu, kita patut bertimbang rasa dengan membatasi penggunaan haruman dan minyak wangi yang kuat agar tidak memudaratkan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.—1 Kor. 10:24.
◼ Borang Kunjungan Susulan: Borang Kunjungan Susulan (S-43) patut digunakan untuk mencatatkan maklumat tentang sesiapa yang menunjukkan minat hasil daripada kesaksian tidak formal yang diberikan semasa konvensyen. Para penyiar patut membawa satu atau dua helai borang ini ke konvensyen. Borang yang telah dilengkapkan boleh diserahkan kepada Bahagian Bahan Bacaan atau kepada setiausaha sidang selepas anda pulang dari konvensyen.—Lihat Kerja Teokratik Kita November 2009, ms. 4.
◼ Restoran: Kelakuan baik anda semasa di restoran dapat memuliakan nama Yehuwa. Di sesetengah tempat, tip harus diberikan.
◼ Hotel:
(1) Jangan tempah bilik melebihi bilangan yang diperlukan dan pastikan bilangan penginap di bilik anda tidak melebihi jumlah yang dibenarkan.
(2) Jangan membatalkan tempahan anda sesuka hati. Sekiranya anda terpaksa berbuat demikian, maklumkan pihak hotel dengan segera.—Mat. 5:37.
(3) Ambil rak bagasi hanya apabila anda bersedia menggunakannya dan pulangkannya dengan segera agar dapat digunakan oleh orang lain.
(4) Jangan memasak di dalam bilik kecuali jika diizinkan.
(5) Berikan tip kepada pekerja hotel yang membawa beg anda, dan tinggalkan tip setiap hari untuk pekerja yang membersihkan bilik anda.
(6) Sarapan, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel hanyalah untuk kegunaan tetamu hotel dan tidak patut dibazirkan.
(7) Sentiasa perlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. Mereka perlu melayan banyak tetamu. Jadi, mereka sangat menghargai kebaikan hati, kesabaran, dan sikap timbang rasa yang kita tunjukkan.
(8) Kadar sewa bilik yang terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” (Recommended Lodging List) merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, termasuk cukai. Jika anda dikenakan bayaran tambahan untuk sesuatu yang tidak anda minta atau gunakan, jangan bayar bil tersebut dan maklumkan Bahagian Penginapan di konvensyen secepat mungkin.
(9) Jika terdapat masalah dengan bilik hotel anda, maklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen agar mereka dapat membantu anda.
(10) Sila ambil perhatian jika anda menggunakan kad debit atau kad kredit. Semasa anda mendaftar masuk ke hotel, sejumlah wang dalam akaun anda akan dicaj oleh pihak hotel untuk menutupi kos penginapan, mengganti rugi kerosakan yang mungkin berlaku, atau perbelanjaan yang lain. Anda tidak dapat menggunakan wang ini sehingga anda meninggalkan hotel dan melangsaikan bayaran anda dalam beberapa hari.
◼ Khidmat Sukarela: Jika kita menawarkan diri untuk membantu dalam kerja-kerja konvensyen, kita akan lebih bersukacita. (Kis. 20:35) Sesiapa yang ingin berbuat demikian boleh melaporkan diri di Bahagian Khidmat Sukarela konvensyen. Anak-anak di bawah 16 tahun juga boleh menyertai kerja ini bersama ibu bapa, penjaga, atau orang dewasa lain yang diizinkan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.
[Blurb pada muka surat 5]
Cara Menawarkan Surat Jemputan
Gunakan penyampaian yang ringkas agar dapat meliputi kawasan penyebaran. Dengan bersemangat, kita boleh berkata, “Hai. Kami ingin menjemput anda ke satu program yang diadakan di serata dunia. Butirannya ada dalam surat jemputan ini.” Tunjukkan muka depan jemputan kepada penghuni rumah untuk menarik minatnya. Pada hujung minggu, tawarkan majalah bersama jemputan ini jika sesuai.