Konvensyen Distrik Kita—Kesaksian untuk Kebenaran
1. Perayaan tahunan yang disambut oleh bangsa Israel membuka peluang untuk merenungkan dan membincangkan tentang apa?
1 Setiap tahun bangsa Israel kuno berkumpul tiga kali untuk menyambut perayaan di Yerusalem. Kaum lelaki diwajibkan hadir. Namun, biasanya seisi keluarga akan ikut bersama untuk menikmati konvensyen yang menyukacitakan. (Ul. 16:15, 16) Mereka berpeluang merenungkan dan membincangkan kebenaran rohani yang penting. Apakah di antara kebenaran-kebenaran ini? Yehuwa adalah Pemberi yang murah hati dan pengasih. (Ul. 15:4, 5) Selain itu, Dia boleh dipercayai sebagai sumber bimbingan dan perlindungan. (Ul. 32:9, 10) Sebagai bangsa yang mewakili nama Yehuwa, mereka harus mencerminkan keadilbenaran-Nya dalam kehidupan. (Ul. 7:6, 11) Dewasa ini, kita juga mendapat manfaat yang serupa ketika menghadiri konvensyen tahunan.
2. Bagaimanakah program konvensyen distrik menyerlahkan cahaya kebenaran Bible?
2 Program yang Menyerlahkan Cahaya Kebenaran: Di konvensyen distrik, ceramah, drama, demonstrasi, dan temu ramah disampaikan untuk membantu kita memahami dan menerapkan kebenaran Bible. (Yoh. 17:17) Banyak usaha telah dicurahkan untuk persiapan konvensyen yang akan datang. Organisasi Yehuwa telah menyediakan program khusus bagi memenuhi pelbagai keperluan umat manusia di serata dunia. (Mat. 24:45-47) Adakah anda ingin sekali melihat dan mendengar apa yang akan disampaikan?
3. Apakah yang harus kita lakukan agar meraih manfaat daripada program konvensyen?
3 Kita akan meraih manfaat hanya jika kita menghadiri dan menumpukan perhatian untuk ketiga-tiga hari tersebut. Mohonlah cuti daripada majikan jika anda belum berbuat demikian. Bagi membantu menumpukan perhatian pada program, pandanglah penceramah dan buatlah catatan ringkas. Jangan membiarkan telefon bimbit mengganggu anda atau orang lain. Elakkan diri daripada berbual, menghantar SMS, makan atau minum semasa program. Pastikan anda mendapat tidur yang secukupnya pada setiap malam konvensyen.
4. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka untuk meraih manfaat semasa konvensyen?
4 Pada tahun Sabat, keluarga bangsa Israel serta “kanak-kanak” akan berkumpul “mendengar pembacaan Taurat dan belajar” semasa Perayaan Pondok Daun. (Ul. 31:12) Alangkah bahagianya kita melihat anak-anak duduk bersama keluarga dan menumpukan perhatian pada program konvensyen! Pada malam hari, bolehkah anda meluangkan masa bersama keluarga untuk membincangkan isi-isi yang menarik daripada program? Ibu bapa harus mengawasi anak-anak kecil dan remaja mereka kerana “kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan.” Maka, janganlah biarkan mereka ‘menurut sesuka hati’ ketika rehat tengah hari atau semasa di hotel.—Ams. 22:15; 29:15.
5. Bagaimanakah kelakuan baik kita semasa di hotel memuliakan kebenaran?
5 Kelakuan Baik Kita Memuliakan Kebenaran: Kelakuan baik yang kita perlihatkan di bandar konvensyen sememangnya memuliakan kebenaran. (Tit. 2:10) Kakitangan hotel akan memerhatikan apabila kita mematuhi peraturan hotel dan menunjukkan kesabaran serta budi bahasa kepada pekerja hotel. (Kol. 4:6) Pada tahun lalu, seorang wakil dari pejabat cawangan berunding dengan pengarah jualan sebuah hotel. Dia berkata, “Anda semua dialu-alukan ke hotel kami kerana kamu orang yang baik-baik belaka, bersopan-santun, dan sentiasa melayani kakitangan dan kemudahan-kemudahan hotel dengan hormat.”
6. Bagaimanakah kita dapat memuliakan kebenaran dengan cara kita berpakaian di bandar konvensyen?
6 Lencana konvensyen yang kita pakai membantu menghebahkan konvensyen kita. Saudara saudari pun dapat mengenali kita malah boleh menjadi kesaksian untuk orang ramai. Penduduk di bandar konvensyen akan mendapati bahawa mereka yang memakai lencana berpakaian kemas dan sederhana, dan bukannya selekeh atau menjolok mata seperti dunia. (1 Tim. 2:9, 10) Oleh itu, berikan perhatian tentang pemakaian dan dandanan semasa di bandar konvensyen mahupun semasa mendaftar masuk ke hotel. Memakai seluar pendek dan kemeja-T merupakan perbuatan yang tidak bermartabat. Pakaian kita harus tetap bermartabat walaupun konvensyen diadakan di stadium terbuka. Jika anda ingin keluar makan selepas tamat program, ingatlah kita masih merupakan wakil konvensyen dan tidak harus berpakaian terlalu kasual.
7. Apakah satu cara kita dapat menikmati perpaduan Kristian semasa konvensyen?
7 Semasa menyambut perayaan tahunan, bangsa Israel menikmati pergaulan yang membina bersama rakan seiman dari pelbagai negeri di seluruh dunia untuk menjalinkan perpaduan. (Kis. 2:1, 5) Di konvensyen distrik, perpaduan unik yang terjalin di antara saudara saudari Kristian juga menarik perhatian orang lain. (Mzm. 133:1) Untuk rehat tengah hari, bawalah hidangan ringan ke dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk membeli makanan. Maka, kita berpeluang bertemu dan bergaul dengan saudara saudari yang duduk berdekatan!
8. Mengapakah kita harus menolong dengan sukarela jika keadaan kita mengizinkan?
8 Orang lain akan tertarik melihat cara konvensyen dirancang dengan teratur, lebih-lebih lagi semua kerja disokong oleh para sukarelawan. Adakah anda sudi “menolong dengan sukarela” di konvensyen? (Mzm. 110:3) Jika seisi keluarga menolong dengan sukarela anak-anak akan mencontohi sikap rela berkorban. Jika anda seorang pemalu, menjadi sukarelawan merupakan peluang terbaik untuk bergaul dengan saudara saudari lain. Seorang saudari berkata, “Saya tidak mengenali sesiapa pun selain daripada keluarga dan beberapa rakan. Setelah saya bantu dalam kerja pembersihan, saya berpeluang menemui ramai saudara saudari. Seronoknya saya!” Dengan berganding bahu bersama kenalan baru di konvensyen akan membawa banyak sukacita. (2 Kor. 6:12, 13) Jika anda tidak pernah menjadi sukarelawan, dapatkan maklumat lanjut daripada para penatua.
9. Bagaimanakah kita dapat menjemput orang lain untuk menghadiri konvensyen?
9 Jemputlah Orang Lain untuk Mendengar Kebenaran: Seperti dulu, kita akan mengedarkan surat jemputan kepada orang lain tiga minggu sebelum bermulanya konvensyen. Sidang harus menetapkan matlamat untuk mengedarkan surat jemputan dengan meliputi seberapa banyak kawasan penyebaran yang mungkin. (Lihat kotak “Cara Menawarkan Surat Jemputan.”) Jika anda masih mempunyai surat jemputan selepas tamatnya kempen, bawalah ke konvensyen agar anda dapat menggunakannya dengan memberikan kesaksian tidak formal.
10. Ceritakan beberapa pengalaman yang menunjukkan kempen jemputan tahunan membuahkan hasil.
10 Bagaimanakah sambutan orang ramai terhadap kempen tahunan? Di sebuah konvensyen, seorang atendan membantu sepasang suami isteri untuk mendapatkan tempat duduk. Mereka berkata kepadanya bahawa setelah menerima surat jemputan, mereka “mendapatinya sangat menarik.” Maka, mereka memandu sejauh 320 km untuk menghadiri konvensyen ini! Dalam pengalaman lain, seorang saudari menawarkan surat jemputan kepada seorang lelaki semasa menginjil dari rumah ke rumah. Saudari ini meluangkan masa untuk menjelaskan tentang surat jemputan. Beberapa hari kemudian, saudari ini melihat lelaki ini bersama rakan-rakannya di konvensyen. Dia bersama salah seorang rakannya sedang memegang keluaran terbaru konvensyen!
11. Mengapakah penting untuk menghadiri konvensyen distrik tahunan?
11 Perayaan tahunan merupakan pemberian yang pengasih daripada Yehuwa untuk membantu bangsa Israel ‘mengabdikan kepada-Nya dengan ikhlas dan setia.’ (Yos. 24:14) Menghadiri konvensyen distrik tahunan juga membantu kita ‘sentiasa hidup menurut ajaran Tuhan’ yang menjadi sebahagian daripada ibadat kita. (3 Yoh. 3) Semoga Yehuwa memberkati segala usaha yang dicurahkan oleh mereka yang mencintai kebenaran dan meraih berkat-berkat sepenuhnya.
[Blurb pada muka surat 10]
Kelakuan baik yang kita perlihatkan di bandar konvensyen sememangnya memuliakan kebenaran
[Blurb pada muka surat 11]
Kita akan mengedarkan surat jemputan kepada orang lain tiga minggu sebelum bermulanya konvensyen
[Kotak pada muka surat 11]
Peringatan Untuk Konvensyen Distrik 2012
◼ Masa Program: Program akan bermula pada jam 9:20 pagi untuk kesemua tiga hari. Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Apabila pengerusi mengumumkan bahawa selingan muzik akan bermula, kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing supaya program boleh bermula tepat pada masanya. Program akan berakhir pada jam 4:55 petang pada hari Jumaat dan Sabtu, dan pada jam 3:40 petang pada hari Ahad.
◼ Tempat Letak Kereta: Bagi semua lokasi konvensyen yang menyediakan tempat letak kereta, ruangan disediakan untuk sesiapa yang datang dahulu. Memandangkan ruangan yang disediakan biasanya terhad, kita semua digalakkan untuk berkongsi kereta.
◼ Tempat Duduk: Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk untuk mereka yang menaiki kenderaan yang sama dengan anda, yang tinggal serumah dengan anda, atau yang sedang mempelajari Bible dengan anda.—1 Kor. 13:5.
◼ Makan Tengah Hari: Sila bawa makanan tengah hari ke dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Anda boleh menggunakan bekas penyejuk yang kecil yang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk. Bekas penyejuk besar yang digunakan semasa perkelahan dan bekas kaca tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.
◼ Derma: Kita dapat menunjukkan penghargaan untuk penyelenggaraan konvensyen dengan memberikan derma sukarela untuk kerja sedunia di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan oleh penyiar-penyiar tempatan untuk konvensyen harus dibuat atas nama “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”
◼ Kemalangan dan Kecemasan: Jika berlakunya suatu kecemasan perubatan di lokasi konvensyen, sila hubungi seorang atendan yang berdekatan supaya dia dapat memaklumkan Bahagian Pertolongan Cemas dengan segera. Saudara berkelayakan yang bertugas di bahagian ini dapat menilai tahap kecemasan dan menghulurkan bantuan. Jika perlu, saudara tersebut akan menghubungi 999. Dengan ini, jabatan perkhidmatan kecemasan tidak akan menerima banyak panggilan telefon bimbit tentang perkara-perkara yang remeh.
◼ Ubat-ubatan: Jika anda memerlukan ubat preskripsi, sila pastikan bahawa anda membawa bekalan yang mencukupi. Pihak konvensyen tidak akan menyediakannya. Pesakit diabetes yang menggunakan jarum dan picagari mesti membuangkannya dengan cara yang betul. Jangan buangkannya ke dalam tong sampah yang terdapat di tapak konvensyen dan hotel.
◼ Kasut: Setiap tahun, banyak kecederaan berlaku disebabkan kasut. Sebaik-baiknya, pilihlah kasut yang sesuai dengan keadaan dan ukuran kaki supaya anda tidak mudah tercedera apabila berjalan di atas tangga, kekisi, dan sebagainya.
◼ Kereta Sorong Bayi dan Kerusi Malas: Kereta sorong bayi dan kerusi malas tidak patut dibawa ke tapak konvensyen. Tetapi, kerusi keselamatan bayi yang boleh dipasang pada tempat duduk di sebelah ibu bapa dibenarkan.
◼ Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang memerlukan sistem pengalihan udara. Oleh itu, kita patut bertimbang rasa dengan membatasi penggunaan haruman dan minyak wangi yang kuat agar tidak memudaratkan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.—1 Kor. 10:24.
◼ Borang Kunjungan Susulan: Borang Kunjungan Susulan (S-43) patut digunakan untuk mencatatkan maklumat tentang sesiapa yang menunjukkan minat hasil daripada kesaksian tidak formal yang diberikan semasa konvensyen. Para penyiar patut membawa satu atau dua helai borang ini ke konvensyen. Borang yang telah dilengkapkan boleh diserahkan kepada Bahagian Bahan Bacaan atau kepada setiausaha sidang selepas anda pulang dari konvensyen.—Lihat Kerja Teokratik Kita Mei 2011, ms. 3.
◼ Restoran: Kelakuan baik anda semasa di restoran dapat memuliakan nama Yehuwa.
◼ Hotel:
(1) Jangan tempah bilik melebihi bilangan yang diperlukan dan pastikan bilangan penginap di bilik anda tidak melebihi jumlah yang dibenarkan.
(2) Jangan membatalkan tempahan anda sesuka hati. Sekiranya anda terpaksa berbuat demikian, maklumkan pihak hotel dengan segera.—Mat. 5:37.
(3) Sila ambil perhatian jika anda menggunakan kad kredit atau debit. Semasa anda mendaftar masuk ke hotel, sejumlah wang dalam akaun anda akan dicaj oleh pihak hotel untuk menutupi kos penginapan, mengganti rugi kerosakan yang mungkin berlaku, atau perbelanjaan yang lain. Anda tidak dapat menggunakan wang ini sehingga anda meninggalkan hotel dan melangsaikan bayaran anda dalam beberapa hari.
(4) Ambil troli bagasi hanya apabila anda bersedia menggunakannya dan pulangkannya dengan segera agar dapat digunakan oleh orang lain.
(5) Biarpun memberi tip adalah keputusan peribadi, namun ini mungkin satu cara untuk menunjukkan kebaikan hati terhadap pekerja hotel yang berkhidmat untuk keselesaan kita.
(6) Jangan memasak di dalam bilik kecuali jika diizinkan.
(7) Sarapan, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel hanyalah untuk kegunaan tetamu semasa di hotel dan tidak patut dibazirkan.
(8) Sentiasa perlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. Mereka perlu melayan banyak tetamu. Jadi, mereka sangat menghargai kebaikan hati, kesabaran, dan sikap timbang rasa yang kita tunjukkan.
(9) Ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa di kawasan hotel termasuk di kolam renang, lobi hotel, bilik senaman, dan lain-lain.
(10) Kadar sewa bilik yang terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” (Recommended Lodging List) merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, tidak termasuk cukai kecuali apabila dinyatakan. Jika anda dikenakan bayaran tambahan untuk sesuatu yang tidak anda minta atau gunakan, jangan bayar bil tersebut. Maklumkan Bahagian Penginapan di konvensyen secepat mungkin.
(11) Jika terdapat masalah dengan bilik hotel anda, maklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen agar mereka dapat membantu anda.
◼ Khidmat Sukarela: Sesiapa yang ingin berkhidmat sebagai sukarelawan boleh melaporkan diri di Bahagian Khidmat Sukarela konvensyen. Anak-anak di bawah 16 tahun juga boleh menyertai kerja ini bersama ibu bapa, penjaga, atau orang dewasa lain yang diizinkan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.
[Box pada muka surat 12]
Cara Menawarkan Surat Jemputan
Gunakan penyampaian yang ringkas agar dapat meliputi kawasan penyebaran. Dengan bersemangat, kita boleh berkata, “Apa khabar? Kami sedang mengedarkan surat jemputan ini di serata dunia. Inilah jemputan anda. Butiran lanjut ada dalam surat jemputan ini.” Pada hujung minggu, tawarkan majalah bersama jemputan ini jika sesuai.