Program Baru untuk Perhimpunan Litar
Yehuwa patut dimuliakan. Bagaimanakah kita memuliakan Yehuwa? Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sesetengah orang dalam usaha untuk berbuat demikian? Apakah berkat-berkat yang dinikmati oleh mereka yang sedang memuliakan Tuhan sekarang? Program perhimpunan litar bagi tahun aktiviti penyebaran 2008 akan memberikan jawapan yang memuaskan kepada soalan-soalan ini. Tema perhimpunan litar ini ialah “Lakukanlah Semuanya untuk Memuliakan [Tuhan].” (1 Kor. 10:31) Banyak ajaran rohani telah disediakan buat kita untuk perhimpunan dua hari yang bakal diadakan.
Penyelia distrik akan membincangkan subjek-subjek, “Mengapakah Kita Patut Memuliakan Tuhan?” dan “Jadilah Teladan yang Baik dalam Memenuhi Tuntutan Tuhan.” Dia akan memberikan ceramah umum yang bertajuk, “Siapakah Umat yang Memuliakan Tuhan?” dan ceramah terakhir yang bertajuk, “Bersatu Padu Memuliakan Tuhan di Serata Dunia.” Dia juga akan mengendalikan Sekolah Penyebaran Teokratik. Penyelia litar akan berucap berdasarkan tema, “Mencerminkan Kemuliaan Tuhan dengan Sukacita,” “Memberikan Perhatian pada Keperluan Litar,” dan “Teruslah ‘Tetap Teguh dalam Kebenaran,’ ” yang berdasarkan 2 Petrus 1:12. Selain itu, kita juga akan belajar bagaimana “Khidmat Perintis Memuliakan Tuhan.” “Memuliakan Tuhan dalam Semua Aspek Kehidupan Kita,” iaitu simposium pertama daripada dua simposium yang merangsang fikiran, akan mengkaji secara mendalam kata-kata terilham yang terdapat di 1 Korintus 10:31. Simposium yang bertema, “Memberikan Khidmat Suci untuk Memuji Yehuwa” akan membincangkan pelbagai aspek penyembahan kita. Kita akan mendengar ringkasan majalah pembelajaran dan perbincangan ayat harian pada hari Ahad. Terdapat juga kesempatan untuk pembaptisan.
Majoriti umat manusia enggan mengakui kemuliaan Tuhan. Rancangan manusia telah mengalihkan perhatian ramai orang sehinggakan mereka tidak memikirkan keagungan Yehuwa. (Yoh. 5:44) Namun, kita diyakinkan akan faedahnya untuk meluangkan masa bagi memikirkan cara untuk ‘Melakukan Semuanya untuk Memuliakan [Tuhan].’ Rancanglah untuk hadir dan memanfaatkan keempat-empat sesi dengan sepenuhnya.