Gunakan Masa Anda dengan Bijak sewaktu Menjalankan Aktiviti Penyebaran
1 Walaupun kita mempunyai banyak kerja yang mesti dijalankan dalam aktiviti penyebaran, kita tidak mempunyai banyak masa. (Yoh. 4:35; 1 Kor. 7:29) Dengan adanya perancangan awal dan jadual harian yang baik, masa yang kita jadualkan untuk aktiviti penyebaran boleh digunakan dengan sepenuhnya.
2 Buatlah Persediaan: Sebelum anda menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran, pastikan bahawa anda telah menyediakan sebuah penyampaian dan mempunyai bahan bacaan yang diperlukan. Selepas doa penutupan, terus bertolak ke kawasan penyebaran. Dengan berbuat demikian, anda dan mereka yang bekerja bersama anda dapat menggunakan masa yang diperuntukkan untuk kerja penyebaran dengan sebaik-baiknya.
3 Jika anda ditugaskan untuk mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran, mulakan perjumpaan ini tepat pada masanya. Pastikan perjumpaan ini ringkas—tidak melebihi 15 minit. Sebelum perjumpaan ini disuraikan, pastikan bahawa setiap penyiar tahu lokasi kawasan penyebaran dan dengan siapa dia akan menjalankan kerja penyebaran.
4 Semasa Kerja Penyebaran: Sebaik sahaja perjumpaan sebelum kerja penyebaran tamat, jangan berlengah-lengah tetapi mulakan perjalanan anda ke kawasan penyebaran. Jika anda menumpang kenderaan penyiar yang lain dan menjangka bahawa anda terpaksa meninggalkan kawasan penyebaran dengan lebih awal, buatlah rancangan sendiri tanpa mengganggu penyiar-penyiar yang ingin meneruskan kerja penyebaran. Apabila anda bekerja sebagai sebuah kumpulan, tunjukkan timbang rasa terhadap penyiar lain yang mungkin sedang menunggu anda untuk menamatkan perbualan anda. Anda mungkin perlu meminta diri dengan sopan jika penghuni rumah hanya ingin bertikam lidah. Jika seseorang menunjukkan minat, anda boleh membuat janji temu untuk mengunjunginya lagi.—Mat. 10:11.
5 Semasa membuat kunjungan kembali, kunjungilah mereka yang tinggal di kawasan yang sama sebelum bertolak ke kawasan lain supaya masa tidak dibazirkan. Mungkin kita boleh menelefon individu-individu yang akan kita kunjungi untuk memastikan bahawa mereka akan berada di rumah. (Ams. 21:5) Jika anda menjangka kunjungan kembali yang tertentu akan mengambil masa yang banyak, aturan boleh dibuat agar penyiar-penyiar yang lain dapat meneruskan kerja penyebaran di kawasan yang berdekatan atau membuat kunjungan kembali yang lain.
6 Kita sedang hidup pada musim pengumpulan tuaian rohani yang amat besar. (Mat. 9:37, 38) Kerja penuaian ini akan tamat tidak lama lagi. Maka, kita harus bertekad untuk menggunakan masa yang dihabiskan dalam aktiviti penyebaran dengan sepenuhnya.