Cara Memanfaatkan Kumpulan Menginjil Anda
1. Apakah manfaat daripada Kumpulan Pembelajaran Buku yang masih boleh dinikmati menerusi kumpulan menginjil?
1 Adakah anda merindui aspek tertentu daripada Kumpulan Pembelajaran Buku? Kumpulan kecil dan suasana yang kurang formal memudahkan kita menjalin persahabatan yang membantu mengukuhkan kerohanian. (Ams. 18:24) Penyelia kumpulan boleh mengenali situasi setiap orang dan dapat memberikan galakan peribadi. (Ams. 27:23; 1 Ptr. 5:2, 3) Manfaat ini masih boleh dinikmati menerusi kumpulan menginjil kita.
2. Bagaimanakah kita boleh mengambil inisiatif untuk menjalin persahabatan dalam kumpulan menginjil agar kerohanian kita dikukuhkan?
2 Ambillah Inisiatif: Saiz kumpulan menginjil lazimnya sama dengan kumpulan pembelajaran buku. Semasa menginjil bersama penyiar lain, hubungan persahabatan yang erat terjalin. (Flp. 1:27) Siapakah dalam kumpulan anda yang pernah menginjil bersama anda? Dapatkah anda bekerja dengan orang lain? (2 Kor. 6:13) Di samping itu, ada kalanya kita boleh menjemput penyiar daripada kumpulan kita untuk menyertai malam Penyembahan Keluarga atau makan bersama. Di sesetengah sidang, kumpulan menginjil bergilir-gilir menyediakan makanan untuk penceramah undangan. Pada minggu yang ditugaskan, kumpulan itu akan makan bersama dan saling menggalakkan, tidak kira penceramah dapat ikut serta atau tidak.
3. Bagaimanakah anda boleh memanfaatkan bantuan para penyelia dalam kumpulan menginjil?
3 Meskipun sidang kini berjumpa dua kali seminggu, penyelia masih boleh memberi perhatian kepada penyiar. Setiap kumpulan menginjil mempunyai penyelia yang dapat memberikan galakan peribadi dan latihan untuk kerja menginjil. Jika anda belum pernah menginjil dengan penyelia kumpulan, bolehkah anda membuat temu janji untuk bekerja dengannya? Selain itu, sekali dalam sebulan, penyelia aktiviti penyebaran akan menginjil bersama kumpulan yang berlainan pada hujung minggu. Dia boleh melawat setiap kumpulan dua kali setahun dalam sidang kecil yang tidak mempunyai banyak kumpulan menginjil. Adakah anda menyusun jadual untuk menginjil semasa dia melawat kumpulan anda?
4. (a) Bagaimanakah perjumpaan sebelum menginjil diaturkan? (b) Mengapakah kita patut mempertimbangkan sama ada rumah kita boleh digunakan untuk perjumpaan sebelum menginjil?
4 Pada hujung minggu, adalah lebih baik jika setiap kumpulan berkumpul di tempat yang berlainan sebelum menginjil. Dengan ini, penyiar dapat membuat perjalanan ke perjumpaan sebelum menginjil dan kawasan penyebaran dengan lebih mudah. Kumpulan boleh diaturkan dengan cepat dan beredar ke kawasan menginjil tanpa membuang masa. Penyelia kumpulan juga dapat menjaga kumpulannya dengan lebih mudah. Namun, di bawah keadaan tertentu, dua atau lebih kumpulan mungkin perlu bergabung. Jika seluruh sidang berkumpul bersama untuk menginjil selepas Pembelajaran Majalah, adalah baik jika setiap kumpulan duduk bersama dan penyelia kumpulan mengambil beberapa minit untuk mengaturkan kumpulannya sebelum doa penutupan.—Lihat kotak “Bolehkah Rumah Anda Digunakan?”
5. Biarpun aturan Kumpulan Pembelajaran Buku sudah ditamatkan, apakah keyakinan kita?
5 Biarpun aturan Kumpulan Pembelajaran Buku sudah ditamatkan, Yehuwa terus melengkapi kita untuk melakukan kehendak-Nya. (Ibr. 13:20, 21) Di bawah jagaan-Nya, kita tidak kekurangan apa-apa. (Mzm. 23:1) Banyak berkat tersedia menerusi kumpulan menginjil. Jika kita mengambil inisiatif untuk “menanam banyak benih,” kita akan “mendapat tuaian yang banyak juga.”—2 Kor. 9:6.
[Kotak pada muka surat 6]
Bolehkah Rumah Anda Digunakan?
Sesetengah sidang menggabungkan kumpulan pada hujung minggu kerana kekurangan tempat perjumpaan sebelum menginjil. Perjumpaan ini ialah salah satu aturan sidang, jadi penggunaan rumah kita untuk tujuan ini merupakan penghormatan yang besar. Bolehkah rumah anda digunakan? Janganlah segan jika rumah anda sederhana sahaja. Para penatua akan mengambil kira lokasi rumah anda dan faktor lain seperti yang pernah dibuat semasa memilih lokasi Kumpulan Pembelajaran Buku. Sila maklumkan penyelia kumpulan jika rumah anda boleh digunakan.