Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran
1. Mengapakah kita ingin menjalankan kerja penyebaran dengan cara yang teratur?
1 Yesus memberikan teladan dengan memastikan kerja penyebaran Kerajaan Tuhan dijalankan secara teratur dan cekap. Begitu juga dewasa ini, mereka yang bertanggungjawab sangat ingin melihat kempen kerja penyebaran sedunia ini dijalankan dengan cara yang sama. Selaras dengan usaha ini, sidang-sidang di serata dunia mengaturkan kumpulan penyiar bagi kerja penyebaran. Salah satu cara mereka berbuat demikian ialah menerusi perjumpaan sebelum kerja penyebaran.—Mat. 24:45-47; 25:21; Luk. 10:1-7.
2. Apakah yang akan dibincangkan di perjumpaan sebelum kerja penyebaran?
2 Aturan yang Baik: Perjumpaan sebelum kerja penyebaran bertujuan untuk memberikan galakan, arahan, dan panduan bagi melengkapi mereka yang akan bergiat dalam aktiviti penyebaran. Ayat Bible harian boleh dibincangkan secara ringkas jika berkait langsung dengan kerja penyebaran. Adakala peringatan daripada Kerja Teokratik Kita, buku kecil Perbincangan, buku “Bertukar Fikiran” (Reasoning-E), atau buku “Sekolah Penyebaran” (Ministry School-E) dibincangkan bagi membantu semua yang hadir bersedia untuk kerja pada hari itu. Satu demonstrasi ringkas tentang cara menawarkan bahan bacaan boleh diadakan. Sebelum doa penutupan, semua harus tahu siapa rakan sekerja mereka dan lokasi kawasan penyebaran. Sebaik sahaja tamatnya perjumpaan ini yang memakan masa kurang daripada 15 minit, semua patut berangkat ke kawasan penyebaran.
3. Siapakah saudara-saudara yang bertanggungjawab atas pengaturan perjumpaan sebelum kerja penyebaran?
3 Siapakah yang Bertanggungjawab Mengaturkannya? Penyelia aktiviti penyebaran akan mengambil pimpinan. Dia bertanggungjawab atas penyeliaan perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Penyelia kumpulan atau pembantu mereka bertanggungjawab untuk menemani kumpulan masing-masing pada hujung minggu. Sesetengah penyelia atau pembantu sidang mungkin dapat menemani para penyiar yang bergiat dalam kerja penyebaran pada hari Isnin hingga Jumaat. Semua penyelia kumpulan berganding bahu dengan penyelia aktiviti penyebaran agar kumpulan mereka mempunyai kawasan yang mencukupi untuk kerja penyebaran dari rumah ke rumah pada hujung minggu. Penyelia aktiviti penyebaran bertanggungjawab untuk mengatur supaya seseorang mengetuai kumpulan penyebaran pada hari Isnin hingga Jumaat.
4-6. (a) Mengapakah kawasan penyebaran harus dipertimbangkan sebelum memilih lokasi perjumpaan sebelum kerja penyebaran? (b) Apakah yang boleh dipertimbangkan semasa menentukan masa dan kekerapan perjumpaan sebelum kerja penyebaran?
4 Di Mana dan Bila Perjumpaan-perjumpaan Ini Patut Diadakan: Seluruh sidang tidak digalakkan untuk bertemu di satu lokasi sahaja. Sebaliknya, adalah baik jika perjumpaan-perjumpaan ini diadakan di beberapa lokasi yang berdekatan, lazimnya di rumah kediaman, agar kawasan penyebaran sidang dapat diliputi secara berkesan. Dewan Perjumpaan juga boleh digunakan untuk tujuan ini, sebagaimana yang dilakukan oleh banyak sidang sejurus selepas ceramah umum dan Pembelajaran Majalah mereka pada hari Ahad. Berikhtiarlah untuk mengurangkan masa perjalanan ke kawasan penyebaran. Oleh itu, dari semasa ke semasa, buatlah tinjauan bagi memastikan bahawa perjumpaan sebelum kerja penyebaran diadakan di lokasi yang sesuai supaya kawasan penyebaran dapat diliputi dengan cekap dan menyeluruh.
5 Apakah masa yang terbaik untuk mengadakan perjumpaan-perjumpaan ini? Berapa kerapkah perjumpaan ini patut diadakan dalam seminggu? Semuanya bergantung pada kawasan yang akan dikunjungi. Soalan-soalan berikut boleh membantu anda menentukan tempat dan masa yang terbaik untuk mengadakan perjumpaan sebelum kerja penyebaran.
6 Kawasan penyebaran manakah yang lebih memerlukan perhatian? Apakah masa yang terbaik untuk melawat penghuni dari rumah ke rumah? Adakah sidang perlu menjadualkan masa pada waktu petang untuk menjalankan kerja penyebaran dari rumah ke rumah atau membuat kunjungan kembali? Semua aturan kerja penyebaran harus ditampal pada papan kenyataan sidang. Semua penyiar Kerajaan Tuhan berhasrat untuk meliputi kawasan penyebaran yang ditugaskan kepada mereka secara menyeluruh. Dengan itu, kita juga dapat berkata seperti hawari Paulus, “Sekarang kerjaku di daerah-daerah ini sudah selesai.”—Rm. 15:23.
7. Apakah tanggungjawab orang yang ditugaskan untuk memimpin kumpulan kerja penyebaran?
7 Mengendalikan Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran: Orang yang ditugaskan untuk mengendalikan perjumpaan ini menunjukkan hormat yang mendalam untuk aturan teokratik ini dengan membuat persiapan yang baik. Perjumpaan-perjumpaan ini harus mengandungi maklumat yang bermanfaat, bermula tepat pada masanya, dan singkat, antara 10 hingga 15 minit. Sebelum bermulanya perjumpaan, orang yang bertanggungjawab patut mempunyai kawasan penyebaran untuk hari itu. Meskipun kita tidak perlu menunggu mereka yang datang lewat selepas perjumpaan, namun, pesanan boleh ditinggalkan untuk memberitahu mereka tentang lokasi kawasan penyebaran. Semua patut bertolak ke kawasan penyebaran sebaik sahaja perjumpaan tamat. Perjumpaan sebelum kerja penyebaran yang diatur dengan baik dan mengandungi maklumat yang berguna tentunya akan memberikan bantuan yang diperlukan agar semua dapat menjalankan kerja penyebaran pada hari itu.—Ams. 11:14.
8. Bagaimanakah mereka yang menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran dapat bekerjasama dengan mereka yang mengambil pimpinan?
8 Menghadiri Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran: Kerjasama amatlah penting. (Ibr. 13:17) Orang yang memimpin kumpulan kerja penyebaran akan membantu sesiapa yang memerlukan rakan sekerja. Adalah baik jika penyiar yang berpengalaman hadir bagi membantu penyiar yang lebih baru dan yang kurang berpengalaman. Mereka yang sudi bekerja dengan orang yang berlainan dari semasa ke semasa mungkin dapat menuai hasil yang baik. (Ams. 27:17; Rm. 15:1, 2) Setiap orang harus bekerjasama dengan berusaha untuk tiba tepat pada waktunya. Rasa hormat kita terhadap aturan teokratik ini dan sikap bertimbang rasa terhadap rakan sekepercayaan akan mendorong kita untuk membuat penyesuaian yang perlu dalam hal ini.—2 Kor. 6:3, 4; Flp. 2:4.
9. Bagaimanakah para perintis dapat memberikan sokongan yang berharga untuk aturan ini?
9 Sokongan Perintis: Sokongan perintis di perjumpaan sebelum kerja penyebaran amat bernilai dan menggalakkan bagi semua. Maklumlah, para perintis memikul banyak tanggungjawab. Selain daripada mengadakan pembelajaran Bible dan membuat kunjungan kembali, jadual harian mereka mungkin merangkumi tanggungjawab keluarga dan kerja sekular. Oleh itu, para perintis tidak perlu berasa bahawa mereka perlu menghadiri setiap perjumpaan sebelum kerja penyebaran yang diaturkan oleh sidang, terutamanya jika perjumpaan sebegini diadakan setiap hari. Walaupun begitu, mereka tentu dapat menghadiri beberapa perjumpaan ini setiap minggu. Sebenarnya, perjumpaan sebelum kerja penyebaran merupakan salah satu cara untuk melatih ahli-ahli sidang. Latar belakang rohani serta pengalaman para perintis banyak membantu orang lain. Oleh sebab mereka sering bergiat dalam aktiviti penyebaran, mereka dapat memperoleh pengalaman yang dapat dikongsi dengan orang lain. Penyertaan mereka yang penuh semangat dalam aktiviti penyebaran dan di perjumpaan sebelum kerja penyebaran patut dicontohi. Kita sangat menghargai penyertaan mereka di perjumpaan-perjumpaan ini.
10. Mengapakah semua penyiar Kerajaan Tuhan patut menyokong aturan ini dengan sepenuh hati?
10 Sebahagian besar kerja penyebaran kita dilaksanakan menerusi kesaksian dari rumah ke rumah, seperti yang dilakukan oleh Yesus dan murid-muridnya. Perjumpaan sebelum kerja penyebaran diadakan supaya kita dapat saling memberi galakan dan menyertai kerja ini dengan berkesan. Semua penyiar berita baik patut menyokong aturan-aturan teokratik sebegini dengan sebaik mungkin. (Kis. 5:42; 20:20) Semoga kita masing-masing menyokong usaha ini dengan sepenuh hati. Dengan berbuat demikian, kita pasti akan dicucuri berkat Yehuwa dan dapat menggembirakan hati Pemimpin kita, Yesus Kristus, seraya kita menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan.—Mat. 25:34-40; 28:19, 20.