Kekalkan ‘Kelakuan Baik di antara Orang yang Tidak Mengenal Tuhan’
1. Mengapakah penting untuk kekalkan kelakuan baik semasa konvensyen?
1 Semasa konvensyen tahunan, banyak orang memerhatikan kita. Jadi, kelakuan kita harus mencerminkan Tuhan yang kita sembah. (Im. 20:26) Tingkah laku serta pakaian dan dandanan patut menunjukkan bahawa kita ialah pengikut sejati Kristus. Semasa konvensyen distrik atau konvensyen antarabangsa, bagaimanakah kita dapat kekalkan ‘kelakuan baik di antara orang yang tidak mengenal Tuhan’ agar memuliakan Bapa kita di Syurga?—1 Ptr. 2:12.
2. Bagaimanakah kita dapat tunjukkan keperibadian Kristian semasa konvensyen?
2 Tunjukkan Keperibadian Kristian: Kasih terhadap satu sama lain dan cara kita memperlakukan “orang yang tidak percaya kepada Kristus” membezakan kita daripada semangat dunia ini. (Kol. 3:10; 4:5; 2 Tim. 3:1-5) Walaupun masalah timbul, kita harus sopan dan sabar semasa berurusan dengan kakitangan hotel dan pekerja restoran. Tingkah laku yang baik juga mendorong kita memberikan tip kepada pekerja yang menyediakan perkhidmatan peribadi.
3. Apakah peringatan yang diberikan kepada ibu bapa? Mengapa?
3 Ibu bapa harus mengawasi anak-anak dengan baik semasa di dewan konvensyen, restoran, dan hotel. (Ams. 29:15) Pengurus restoran di sebuah hotel memberitahu sepasang suami isteri, “Kami sangat menyukai kamu. Kamu sekeluarga berkelakuan baik dan sopan. Semua pekerja kami bercakap tentang keluarga kamu, dan kami harap kamu tinggal di sini setiap hujung minggu.”
4. Apakah perhatian yang perlu diberikan mengenai penampilan kita semasa di bandar konvensyen?
4 Pakaian yang Sopan: Pakaian kita semasa konvensyen haruslah sesuai dan sopan, bukannya mencerminkan fesyen yang keterlaluan. (1 Tim. 2:9) Kita mahu elakkan pakaian yang terlalu kasual atau selekeh semasa mendaftar masuk dan keluar dari hotel serta pada waktu lapang sebelum dan selepas sesi konvensyen. Dengan itu, kita akan bangga memakai lencana konvensyen dan tidak berasa malu jika berpeluang memberikan kesaksian. Penampilan dan tingkah laku yang baik semasa menghadiri konvensyen bukan sahaja mendorong orang yang berhati jujur untuk mendengar mesej Bible yang menyelamatkan hidup, tetapi juga dapat menggembirakan Yehuwa.—Zef. 3:17.
[Kotak pada muka surat 2-5]
Peringatan untuk Konvensyen 2014
◼ Masa Program: Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Selingan muzik akan bermula pada jam 9:20 pagi bagi ketiga-tiga hari. Kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing pada masa itu supaya program boleh bermula tepat pada masanya. Program akan berakhir dengan lagu dan doa penutupan pada jam 4:50 petang pada hari Jumaat dan Sabtu, dan pada jam 3:45 petang bagi hari Ahad.
◼ Konvensyen Antarabangsa: Beberapa lokasi akan menjadi tuan rumah bagi konvensyen antarabangsa. Ingatlah bahawa pejabat cawangan telah menjemput sidang tertentu dan wakil-wakil dari negara lain selepas mempertimbangkan bilangan tempat duduk, tempat letak kereta, dan bilik hotel yang terhad. Kesesakan boleh berlaku jika para penyiar yang tidak dijemput menghadiri konvensyen antarabangsa. Jika anda perlu menghadiri konvensyen yang tidak ditugaskan kepada sidang anda kerana situasi tertentu, anda tidak patut memilih untuk menghadiri konvensyen antarabangsa.
◼ Tempat Letak Kereta: Bagi semua lokasi konvensyen yang menyediakan tempat letak kereta, ruangan disediakan untuk sesiapa yang datang dahulu. Memandangkan ruangan yang disediakan biasanya terhad, kita semua digalakkan untuk berkongsi kereta.
◼ Tempat Duduk: Apabila pintu dewan konvensyen dibuka setiap pagi, janganlah tergesa-gesa mengambil tempat duduk yang diinginkan seolah-olah anda sedang berebut dengan hadirin lain. Semangat rela berkorban mendorong kita berbuat baik kepada orang lain. Hal ini menjadi tanda pengenal kita sebagai orang Kristian sejati dan mendorong para pemerhati untuk memuji Tuhan. (Yoh. 13:34, 35; 1 Kor. 13:4, 5; 1 Ptr. 2:12) Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk bagi mereka yang tinggal serumah dengan anda, menaiki kenderaan yang sama dengan anda, atau yang sedang mempelajari Bible dengan anda. Tempat duduk bagi mereka yang lanjut usia dan kurang upaya telah dikhaskan. Tempat duduk ini terhad, jadi hanya satu atau dua orang yang membantu mereka yang lanjut usia atau kurang upaya dibenarkan untuk duduk bersama mereka.
◼ Makan Tengah Hari: Sila bawa makanan tengah hari ke dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Anda boleh menggunakan bekas kecil yang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk. Bekas besar yang digunakan semasa perkelahan dan bekas kaca tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.
◼ Derma: Kita dapat menunjukkan penghargaan untuk penyelenggaraan konvensyen dengan memberikan derma sukarela untuk kerja sedunia di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan harus dibuat atas nama “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”
◼ Ubat-ubatan: Jika anda memerlukan ubat preskripsi, sila pastikan bahawa anda membawa bekalan yang mencukupi. Pihak konvensyen tidak akan menyediakannya. Pesakit diabetes yang menggunakan jarum dan picagari mesti membuangkannya dengan cara yang betul. Jangan buangkannya ke dalam tong sampah yang terdapat di tapak konvensyen atau hotel.
◼ Langkah Berjaga-jaga: Sila berjaga-jaga untuk mengelakkan kecederaan disebabkan tergelincir dan tersandung. Setiap tahun, banyak kecederaan berlaku disebabkan kasut, terutamanya kasut bertumit tinggi. Pilihlah kasut yang sesuai supaya anda tidak mudah tercedera apabila berjalan di atas tangga, kekisi, dan sebagainya.
◼ Kereta Sorong Bayi dan Kerusi Malas: Kereta sorong bayi dan kerusi malas tidak patut dibawa ke tapak konvensyen. Tetapi, kerusi keselamatan bayi yang boleh dipasang pada tempat duduk di sebelah ibu bapa dibenarkan.
◼ Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang memerlukan sistem pengalihan udara. Oleh itu, kita patut bertimbang rasa dengan tidak menggunakan terlalu banyak haruman dan minyak wangi yang kuat agar tidak memudaratkan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.—1 Kor. 10:24.
◼ Borang Kunjungan Susulan (S-43): Borang Kunjungan Susulan patut digunakan untuk mencatatkan maklumat tentang mereka yang menunjukkan minat hasil daripada kesaksian tidak formal yang diberikan semasa konvensyen. Borang yang telah dilengkapkan boleh diserahkan kepada Bahagian Bahan Bacaan atau kepada setiausaha sidang selepas anda pulang dari konvensyen.
◼ Restoran: Muliakan nama Yehuwa melalui tingkah laku yang baik semasa di restoran. Pilihlah pakaian yang bersesuaian dengan piawaian orang Kristian.
◼ Hotel:
(1) Jangan tempah bilik melebihi bilangan yang diperlukan dan pastikan bilangan penginap di bilik anda tidak melebihi jumlah yang dibenarkan.
(2) Jangan batalkan tempahan anda sesuka hati. Sekiranya anda terpaksa berbuat demikian, maklumkan pihak hotel dengan segera supaya orang lain yang memerlukan penginapan boleh membuat tempahan. (Mat. 5:37) Jika anda perlu membatalkan tempahan, pastikan anda mendapat nombor pembatalan. Jika pembatalan dibuat kurang dari 48 jam sebelum mendaftar masuk, deposit anda tidak akan dikembalikan.
(3) Sila ambil perhatian jika anda menggunakan kad kredit atau debit. Semasa anda mendaftar masuk ke hotel, pihak hotel akan menahan sejumlah wang dalam akaun anda untuk menutupi kos penginapan, mengganti rugi kerosakan yang mungkin berlaku, atau perbelanjaan yang lain. Anda tidak dapat menggunakan wang ini sehingga beberapa hari selepas pembayaran penuh dibuat.
(4) Ambil troli bagasi hanya apabila anda bersedia menggunakannya, dan pulangkannya dengan segera agar dapat digunakan oleh orang lain.
(5) Anda tidak wajib memberikan tip, namun anda boleh berbuat demikian untuk menunjukkan kebaikan hati terhadap pekerja hotel.
(6) Jangan memasak di dalam bilik, kecuali diizinkan oleh pihak hotel.
(7) Sarapan, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel hanyalah untuk kegunaan tetamu semasa di hotel dan tidak patut dibazirkan atau dibawa ke dewan konvensyen.
(8) Sentiasa perlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. Mereka perlu melayan banyak tetamu. Jadi, mereka sangat menghargai kebaikan hati, kesabaran, dan sikap timbang rasa yang kita tunjukkan.
(9) Ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa di kawasan hotel termasuk di lif, kolam renang, lobi hotel, bilik senaman, dan lain-lain.
(10) Kadar sewa bilik yang terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” (Recommended Lodging List) merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, tidak termasuk cukai. Jika anda dikenakan bayaran tambahan, jangan bayar bil tersebut. Maklumkan Bahagian Penginapan di konvensyen secepat mungkin.
(11) Jika terdapat masalah dengan bilik hotel anda, maklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen agar mereka dapat membantu anda.
◼ Khidmat Sukarela: Sesiapa yang ingin berkhidmat sebagai sukarelawan boleh melaporkan diri di Bahagian Khidmat Sukarela konvensyen. Anak-anak di bawah 16 tahun juga boleh menyertai kerja ini bersama ibu bapa, penjaga, atau orang dewasa lain yang diizinkan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.