Tahukah Anda Pilihan-pilihan yang Ada?
Semakin banyak pusat perubatan di serata dunia melakukan pembedahan tanpa penggunaan darah. Adakah anda mengetahui dan memahami sepenuhnya pilihan-pilihan yang ada dalam bidang rawatan tanpa darah? Maklumat sebegini penting agar anda dapat membuat keputusan sehubungan dengan rawatan perubatan dan pembedahan. Tontoni video “Kejayaan Bidang Perubatan dalam Rawatan Tanpa Darah” (No Blood—Medicine Meets the Challenge). Kemudian, berdoa dan merenungi apa yang telah anda pelajari dengan menggunakan soalan-soalan di bawah.—Perhatian: Video ini mempunyai adegan pembedahan yang ringkas, maka ibu bapa harus memutuskan jika video ini sesuai untuk ditonton bersama anak-anak kecil.
(1) Apakah sebab utama Saksi-Saksi Yehuwa enggan menerima transfusi darah? (2) Apakah rawatan perubatan yang diingini oleh Saksi-Saksi Yehuwa? (3) Apakah hak asasi seorang pesakit? (4) Mengapakah alternatif transfusi adalah pilihan yang rasional dan bertanggungjawab? (5) Apakah dua hal yang mesti dilakukan oleh doktor dengan segera apabila pesakit kehilangan banyak darah? (6) Apakah empat prinsip bagi alternatif transfusi? (7) Bagaimanakah doktor dapat (a) mengurangkan kehilangan darah, (b) memulihara sel darah merah, (c) merangsang penghasilan darah, dan (d) memperoleh semula darah yang telah hilang? (8) Jelaskan kaedah-kaedah (a) pencairan darah (hemodilution) dan (b) penyelamatan sel (cell salvage). (9) Apakah yang patut anda ketahui tentang mana-mana alternatif transfusi? (10) Dapatkah pembedahan yang besar dan rumit dilakukan tanpa transfusi darah? (11) Apakah perkembangan positif yang sedang berlaku dalam kalangan komuniti perubatan?
Setiap individu mesti membuat keputusan peribadi sama ada untuk menerima atau menolak sesetengah kaedah rawatan yang ditayangkan dalam video ini. Keputusan ini mestilah dibuat berdasarkan hati nurani masing-masing yang dilatih oleh prinsip Bible. Sudahkah anda memutuskan jenis rawatan dan kaedah perubatan yang sanggup anda terima untuk diri anda dan anak-anak anda? Sudahkah anda mencatatkan keputusan itu pada kad “Arahan Penjagaan Kesihatan” (HCD)? Untuk keterangan yang lengkap dan terperinci, sila rujuk “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah pembelajaran, 15 Jun 2004 dan 15 Oktober 2000. Kemudian gunakan lembaran kerja yang terdapat dalam sisipan Kerja Teokratik Kita, November 2009 yang bertajuk “Apakah Pandangan Saya terhadap Pecahan Kecil Darah dan Kaedah Rawatan yang Melibatkan Penggunaan Darah Saya?” untuk membuat keputusan peribadi tentang apa yang akan anda terima atau tolak. Selepas itu, pastikan anda menuliskan keputusan peribadi anda pada kad HCD anda. Maklumkan keputusan anda kepada wakil yang anda pilih sebagai orang untuk dihubungi semasa kecemasan dan ahli-ahli keluarga yang tidak sekepercayaan.