Bantu Orang Mendengar Cakap Tuhan
1. Namakan brosur-brosur yang dikeluarkan semasa Konvensyen Distrik “Datanglah Kerajaan Tuhan!,” dan mengapakah kedua-dua brosur ini amat berguna?
1 Semasa Konvensyen Distrik “Datanglah Kerajaan Tuhan!,” dua brosur baru telah dikeluarkan, iaitu Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya berserta terbitan yang dipermudah, Dengarlah Cakap Tuhan. Kedua-dua brosur ini boleh diterjemahkan dengan cepat dan mudah kerana perkataannya sedikit. Semasa Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya dikeluarkan, brosur ini telah mendapat kelulusan untuk diterjemahkan ke dalam 431 bahasa.
2. Brosur-brosur ini dapat membantu siapa?
2 Brosur-brosur ini dapat membantu siapa? Pertimbangkan keadaan berikut yang sering terjadi di seluas dunia:
• Penyiar mengadakan perbincangan dengan penghuni rumah semasa kunjungan pertama atau kunjungan kembali, dan sedar bahawa penghuni rumah buta huruf atau tidak pandai membaca.
• Penyiar menginjil kepada penghuni rumah, tetapi bahan bacaan dalam bahasanya kurang atau tidak ada. Atau penghuni rumah tidak pandai membaca bahasa yang dituturkannya.
• Penyiar menggunakan bahasa isyarat semasa menginjil kepada orang pekak di kawasannya.
• Ibu bapa ingin mengajarkan kebenaran kepada anak kecil yang belum pandai membaca.
3. Apakah reka bentuk Dengarlah Cakap Tuhan?
3 Reka Bentuk Brosur-brosur Ini: Dengarlah Cakap Tuhan mengandungi sedikit perkataan. Kebanyakan muka surat hanya mengandungi satu ayat ringkas dan satu ayat rujukan Bible pada bahagian bawah yang menonjolkan isi utama. Mengapa? Bayangkan anda mendapat senaskhah brosur yang mengandungi gambar yang cantik tetapi ditulis dalam bahasa asing. Adakah anda berminat untuk membacanya? Mungkin tidak. Begitu juga, orang yang buta huruf biasanya tidak berminat dengan bahan bacaan yang mengandungi perkataan. Maka, setiap muka surat brosur ini dipenuhi gambar-gambar yang disertakan anak panah untuk membimbing perbincangan anda.
4. Apakah reka bentuk Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya?
4 Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya mengandungi gambar yang sama dengan Dengarlah Cakap Tuhan. Brosur ini direka untuk pembelajaran dengan orang yang tidak begitu pandai membaca atau sedang belajar membaca. Brosur ini juga boleh digunakan sebagai panduan semasa anda mengajar pelajar yang menggunakan brosur Dengarlah Cakap Tuhan. Setiap pelajaran yang panjangnya dua muka surat akan menjawab soalan yang tertera di bahagian atas sudut kirinya. Gambar-gambarnya disertai penerangan dan ayat rujukan Bible. Terdapat sebuah kotak yang mengandungi isi-isi tambahan dan ayat rujukan Bible di bahagian bawah kebanyakan muka surat. Anda boleh membincangkannya jika sesuai dengan tahap pemahaman pelajar.
5. Bilakah dan bagaimanakah kita boleh menawarkan brosur-brosur ini?
5 Cara Menggunakannya: Jika sesuai, anda boleh menawarkan salah satu brosur ini semasa menginjil dari rumah ke rumah, meskipun brosur ini bukanlah tawaran bulan tersebut. (Lihat kotak “Cara Menawarkan Brosur.”) Anda boleh menawarkannya semasa kunjungan kembali dengan memberitahu penghuni rumah bahawa anda ingin menunjukkan sesuatu yang menarik lalu memberinya brosur ini.
6. Bagaimanakah kita mengadakan pembelajaran Bible dengan menggunakan brosur-brosur ini?
6 Memandangkan Dengarlah Cakap Tuhan tidak mengandungi soalan, anda tidak dapat mengadakan perbincangan dalam bentuk soal jawab seperti semasa membincangkan buku Ajaran Bible. Setiap orang dari semua lapisan masyarakat suka mendengar cerita. Jadi gunakanlah gambar-gambarnya untuk menceritakan kisah Bible yang terilham. Jelaskan gambarnya dengan bersemangat. Tanya pendapat pelajar. Baca dan bincangkan ayat Bible yang tertera di bahagian bawah muka surat bersama pelajar anda. Ajukanlah soalan untuk melibatkannya dalam perbincangan dan untuk memastikan bahawa dia faham. Jika dia menggunakan Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya, bacakan keterangan dan ayat Bible yang disertakan dengan setiap gambar.
7. Bagaimanakah kita membantu pelajar Bible membuat kemajuan?
7 Bantu Pelajar Membuat Kemajuan: Semoga perbincangan anda membangkitkan minat pelajar untuk belajar membaca agar dia sendiri dapat menimba pengetahuan tentang Tuhan. (Mat. 5:3; Yoh. 17:3) Oleh itu, jika dia menggunakan Dengarlah Cakap Tuhan, anda boleh mengajarnya cara membaca apabila dia sudah bersedia, dan beralih kepada Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya. Tidak kira brosur mana yang digunakan, pelajar anda belum bersedia untuk dibaptis meskipun dia telah habis mempelajarinya. Anda patut menyambung pembelajarannya dengan buku Ajaran Bible atau bahan bacaan lain yang sesuai agar dia mendapat pengetahuan yang lebih lengkap tentang Bible.
8. Mengapakah anda berasa syukur atas brosur-brosur baru yang disediakan untuk kerja penyebaran?
8 Semua yang ingin hidup selama-lamanya harus mendengar cakap Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. (Yes. 55:3) Yehuwa menghendaki “semua orang,” termasuk mereka yang buta huruf, untuk belajar mendengar cakap-Nya. (1 Tim. 2:3, 4) Betapa syukurnya kita kerana memiliki brosur-brosur baru yang membantu kita mengajar orang caranya untuk mendengar cakap Tuhan!
[Kotak pada muka surat 3]
Cara Menawarkan Brosur
Tunjukkan muka 2-3 kepada penghuni rumah lalu berkata, “Inginkah anda hidup dalam dunia begini? [Izinkan maklum balas.] Bible [atau, kitab suci ini] berjanji bahawa tidak lama lagi Tuhan akan menjadikan dunia ini tempat yang cantik dan damai. Tiada lagi orang yang miskin atau sakit. Apakah yang perlu kita lakukan untuk hidup di situ? [Baca Yesaya 55:3 di bahagian atas muka 3.] Ayat ini menyuruh kita ‘mendengar’ cakap Tuhan. Tapi apa caranya?” Tunjukkan muka 4-5 dan bincangkan jawapannya bersama penghuni rumah. Jika dia sibuk, tinggalkan brosur ini lalu buat aturan untuk kembali dan membincangkan jawapannya.