KEHIDUPAN KRISTIAN KITA
Petua untuk Mengadakan Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran yang Membawa Manfaat
Seperti perjumpaan sidang yang lain, perjumpaan sebelum kerja penyebaran ialah aturan daripada Yehuwa yang membolehkan kita untuk saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. (Ibr 10:24, 25) Perjumpaan ini harus merangkumi membuat aturan untuk kumpulan penyebaran, menugaskan kawasan penyebaran, dan doa. Perjumpaan ini harus dikendalikan dalam masa lima hingga tujuh minit. (Jika perjumpaan ini diadakan selepas perjumpaan sidang yang lain, masa bagi perjumpaan ini patut lebih singkat.) Saudara yang mengendalikan perjumpaan ini harus membuat persiapan agar dapat menyampaikan maklumat yang praktikal kepada para penyiar. Misalnya, kebanyakan penyiar yang menyertai kerja penyebaran pada hari Sabtu tidak dapat keluar menginjil pada hari-hari lain. Jadi, saudara yang mengambil pimpinan pada hari itu boleh membincangkan cadangan penyampaian. Apakah hal-hal yang boleh dibincangkan semasa perjumpaan sebelum kerja penyebaran?
Cadangan topik perbualan daripada Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita
Cara memulakan perbualan dengan menggunakan isu atau berita semasa
Cara mengatasi penghalang perbualan yang biasa didengar
Cara untuk memulakan perbualan dengan ateis, orang yang mempercayai evolusi, orang yang bertutur dalam bahasa asing, atau penganut agama yang jarang ditemui di kawasan tempatan
Cara menggunakan ciri-ciri di laman web jw.org, aplikasi JW Library®, atau Bible
Cara menggunakan salah satu bahan daripada Bahan Utama untuk Mengajar
Cara untuk menginjil menerusi telefon atau surat, melakukan kesaksian awam, kunjungan kembali, atau pembelajaran Bible
Cara untuk menjaga keselamatan, bersikap munasabah dan positif, berkelakuan baik, dan sebagainya
Maklumat atau video daripada brosur Curahkan Usaha untuk Membaca dan Mengajar
Cara menggalakkan dan membantu rakan penyebaran anda
Ayat Bible yang berkaitan dengan kerja penyebaran atau pengalaman menginjil yang menggalakkan