Siri Rencana Baru untuk Memulakan Pembelajaran Bible
1. Apakah siri rencana baru yang akan diterbitkan dalam majalah Malaysia? Apakah tujuannya?
1 Bermula dengan majalah Malaysia edisi April, satu siri rencana baru akan diterbitkan. Tajuknya ialah “Belajarlah daripada Firman Tuhan” (Learn From God’s Word). Meskipun ada sesetengah orang dalam kawasan kita yang suka membaca rencana sebegini, siri rencana ini sebenarnya disediakan untuk perbincangan.
2. Apakah ciri-ciri siri rencana ini?
2 Ciri-ciri: Tajuk dan tajuk kecil dalam rencana ini berbentuk soalan. Anda boleh menggunakannya untuk berbincang dengan penghuni rumah. Rencana ini tidak mempunyai petikan ayat Bible. Sebaliknya, terdapat ayat-ayat Bible rujukan di hujung setiap perenggan agar penghuni rumah dapat membacanya terus daripada halaman Bible. Perenggannya pendek, jadi anda boleh membincangkannya di depan pintu. Setiap rencana merujuk kepada buku “Bible Ajarkan” agar anda dapat beralih kepada buku itu apabila sesuai.
3. Dalam kerja penyebaran dari rumah ke rumah, bagaimanakah kita boleh menggunakan siri rencana ini untuk memulakan pembelajaran Bible di depan pintu?
3 Cara Menggunakannya: Semasa anda menawarkan majalah, tanyakan satu soalan yang menarik tentang topik rencana. Contohnya, majalah terbitan April membincangkan nilai Bible. Anda boleh bertanya, “Pada pendapat anda, adakah Bible Firman Tuhan atau hanya sebuah buku yang bagus?” [Izinkan maklum balas.] Saya ingin berkongsi maklumat yang menarik tentang topik ini.” Tunjukkan soalan pertama, bacakan perenggan pertama, dan bacakan ayat-ayat rujukan daripada Bible. Ulangi soalan tadi, dan minta penghuni rumah menyuarakan pendapatnya. Soalan-soalan berhuruf tebal boleh digunakan sebagai isi penting perbincangan. Bergantung pada keadaan, bincangkan seberapa banyak maklumat yang boleh. Sebelum beredar, tunjukkan soalan yang seterusnya dan buatlah temu janji untuk kembali dan membincangkannya. Kunjunginya setiap minggu untuk membincangkan rencana itu dengan lebih lanjut sehingga anda memberinya terbitan yang seterusnya. Anda juga boleh bertanya kepada penghuni rumah secara terus terang sama ada dia ingin mempelajari Bible. Kemudian, gunakan rencana dalam majalah untuk mendemonstrasikan caranya.
4. Bagaimanakah kita dapat menggunakan siri rencana ini semasa membuat kunjungan kembali?
4 Siri rencana ini juga dapat membantu anda semasa membuat kunjungan kembali dan litar majalah. Anda boleh berkata, “Majalah ini mengandungi satu siri rencana yang baru. Biar saya tunjukkan cara menggunakannya.” Kami berharap agar siri rencana baru ini akan membantu lebih ramai orang “mengetahui ajaran benar.”—1 Tim. 2:4.