Bantu Mereka yang Belum Bersedia Mempelajari buku Ajaran Bible
1. Dapatkah buku Ajaran Bible menarik minat semua orang? Jelaskan.
1 Seseorang perlu mempelajari ajaran Bible agar dapat menjadi penyembah Yehuwa. Namun, sesetengah orang mungkin menganuti agama lain dan tidak percaya bahawa Bible adalah Firman Tuhan. Yang lain pula langsung tidak percaya kepada Tuhan dan kurang menghormati Bible. Apakah alat yang terbukti dapat membantu mereka yang pada mulanya tidak mahu menerima buku Ajaran Bible? Cadangan berikut merupakan komen para penyiar dari 20 negara yang berlainan.
2. Apakah yang perlu kita lakukan jika seseorang mengatakan bahawa dia tidak percaya kepada Tuhan? Mengapa?
2 Tidak Percaya kepada Tuhan: Kita perlu mengetahui mengapa seseorang itu tidak percaya kepada Tuhan. Adakah dia mempercayai teori evolusi? Adakah ketidakadilan di dunia atau kemunafikan dalam agama menyebabkannya tidak lagi percaya kepada Tuhan? Adakah hal ini disebabkan oleh latar belakang atau budayanya? Mungkin dia tidak menafikan kewujudan Tuhan, tetapi berasa bahawa kepercayaan kepada Tuhan tidak penting. Ramai penyiar mendapati bahawa soalan, “Adakah anda selalu berasa begitu?” dapat menggalakkan orang untuk memberikan penjelasan. Dengarlah dan jangan mencela. Selepas memahami mengapa dia tidak percaya kepada Tuhan, kita akan tahu cara untuk menjawab dan bahan bacaan yang sesuai untuk ditawarkan.—Ams. 18:13.
3. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan hormat kepada seseorang dan kepercayaan mereka?
3 Berhati-hatilah sewaktu menjawab agar seseorang itu tidak berasa seperti sedang dikritik. Berikut adalah cadangan dari pejabat cawangan di Amerika Syarikat, “Menghormati kebebasan seseorang untuk memilih kepercayaan mereka amatlah penting. Mengajukan soalan yang dapat membantu mereka untuk berfikir dan membuat kesimpulan sendiri lebih baik daripada menunjukkan bahawa kita pandai bertikam lidah.” Selepas mendengar pendapat penghuni rumah, seorang penyelia distrik akan cuba menanyakan soalan, “Pernahkah anda fikir tentang pandangan yang lain mengenai topik ini?”
4. Bagaimanakah kita dapat membantu penganut agama Buddha?
4 Konsep tentang Tuhan merupakan sesuatu yang asing bagi penganut agama Buddha. Beberapa penyiar di Britain suka menggunakan brosur “Kedamaian Kekal” (Lasting Peace and Happiness—How to Find Them) semasa menginjil dengan penganut agama Buddha. Selepas memperkenalkan brosur itu, mereka bincang bahagian Is There Really a Most High Creator? dan bahagian A Guidebook for the Blessing of All Mankind. Kemudian, mereka boleh memperkenalkan buku Ajaran Bible dan berkata, “Walaupun anda tidak percaya kepada Tuhan, mempelajari Bible sangat bermanfaat kerana Bible mengandungi banyak bimbingan yang praktikal.” Seorang perintis di Amerika Syarikat yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa Cina berkata, “Ramai orang di kawasan kami suka membaca. Biasanya, sebelum kami kembali, mereka sudah habis membaca semua bahan bacaan yang kami tinggalkan. Tetapi, mereka mungkin tidak memahami konsep pembelajaran Bible. Jadi, saya suka menawarkan brosur Berita Baik pada kunjungan pertama kerana brosur ini dapat menggalakkan perbincangan.” Seorang penyelia litar yang berkhidmat di litar bahasa Cina di Amerika Syarikat melaporkan bahawa tidak mustahil untuk memperkenalkan buku Ajaran Bible pada kunjungan pertama. Namun, memulakan pembelajaran daripada bab 2 yang memperkenalkan Bible lebih baik daripada bab 1 yang membincangkan tentang Tuhan.
5. Mengapakah kesabaran sangat penting?
5 Seseorang memerlukan masa untuk membina iman terhadap Tuhan, jadi kesabaran sangat penting. Pada mulanya, mereka mungkin tidak setuju bahawa Pencipta itu wujud. Namun secara beransur-ansur, mereka mungkin menerima bahawa kewujudan Tuhan adalah sesuatu yang tidak mustahil atau mereka mungkin memahami mengapa seseorang boleh membuat kesimpulan seperti itu.
6. Mengapakah sesetengah orang kurang berminat pada Bible?
6 Kurang Berminat atau Kurang Percaya pada Bible: Orang yang percaya bahawa Tuhan mungkin wujud biasanya tidak berminat pada ajaran Bible. Mereka menganggap bahawa Bible bukannya Firman Tuhan. Barangkali, dia tinggal di kawasan yang penduduknya bukan beragama Kristian dan mengaitkan Bible dengan perkara-perkara terkutuk yang dilakukan oleh ahli gereja. Atau seseorang mungkin tinggal di kawasan yang penduduknya beragama Kristian, tetapi ramai orang tidak mementingkan agama, dan dia mungkin berfikir bahawa Bible tidak bermanfaat baginya. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka memupuk minat terhadap Bible, dan ingin menerima pembelajaran menggunakan buku Ajaran Bible?
7. Apakah cara terbaik untuk memupuk minat orang terhadap Bible?
7 Pejabat cawangan di Greece menulis, “Cara terbaik untuk membantu orang yang kurang berminat pada Bible adalah dengan membuka dan menunjukkan isi kandungan Bible. Ramai penyiar sedar bahawa mesej Bible dapat memberi kesan yang lebih berkuasa ke atas hati seseorang berbanding apa yang mereka katakan. (Ibr. 4:12) Ramai orang mula memupuk keinginan untuk mengkaji Bible apabila mereka melihat nama Tuhan di dalam Bible.” Pejabat cawangan di India menulis, “Kebenaran tentang kehidupan dan kematian serta janji Bible mengenai dunia tanpa prasangka, dapat menarik minat ramai penganut agama Hindu.” Apabila penyiar menyebut tentang masalah yang membimbangkan penduduk tempatan, mereka berpeluang membuka Bible dan menunjukkan apa yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan.
8. Apakah yang boleh kita katakan kepada mereka yang berpandangan negatif terhadap Bible disebabkan oleh gereja-gereja?
8 Jika seseorang berpandangan negatif terhadap Bible disebabkan oleh gereja-gereja, bantulah dia untuk sedar bahawa gereja-gereja telah memutarbalikkan Bible dan ajarannya. Pejabat cawangan di India menulis, “Adakala, kita perlu membantu seseorang untuk sedar bahawa gereja tidak dilantik untuk bertanggungjawab atas Bible.” Mereka melaporkan bahawa penganut agama Hindu selalu kagum dengan bahagian 4 daripada brosur “Tujuan Hidup” (What Is the Purpose of Life? How Can You Find It?) yang menjelaskan bagaimana gereja-gereja cuba mencemar dan memusnahkan Firman Tuhan. Seorang perintis di Brazil memberitahu penghuni rumah, “Sudikah anda mengetahui kandungan Bible? Ramai yang sedang berbuat demikian dengan fikiran yang terbuka tanpa dipaksa untuk mengikuti mana-mana agama. Anda mungkin kagum dengan apa yang akan anda pelajari.”
9. Mengapakah kita tidak patut berputus asa jika seseorang pada mulanya tidak berminat pada ajaran Bible?
9 Yehuwa melihat hati setiap orang. (1 Sam. 16:7; Ams. 21:2) Dia membimbing orang yang rendah hati ke ibadat sejati. (Yoh. 6:44) Ramai orang tidak mengenal Tuhan atau ajaran Bible. Melalui kerja penyebaran, mereka berpeluang untuk “diselamatkan serta mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:4) Oleh itu, jika seseorang pada mulanya tidak berminat pada ajaran Bible, janganlah putus asa! Gunakan alat lain yang terdapat dalam bahasa anda untuk memupuk minat mereka. Akhirnya, perbincangan anda dapat beralih kepada sebuah pembelajaran Bible dengan menggunakan alat utama kita, buku Ajaran Bible?
[Kotak pada muka surat 5]
Jika penghuni rumah tidak percaya pada Tuhan:
• Tanya, “Adakah anda selalu berasa begitu?” untuk mengetahui sebabnya.
• Jika dia penganut agama Buddha, gunakan brosur “Kedamaian Kekal” (Lasting Peace and Happiness—How to Find Them) muka surat 9-12.
• Jika dia mempercayai teori evolusi, rujukan ini mungkin dapat membantu:
“Was It Designed?” daripada siri rencana Majalah Berita
Video “Ketakjuban Ciptaan” (The Wonders of Creation Reveal God’s Glory)
Brosur “Kehidupan yang Memuaskan” (A Satisfying Life—How to Attain It), bahagian 4; Adakah Kehidupan Diciptakan?; dan “Asal Usul Kehidupan” (The Origin of Life—Five Questions Worth Asking)
• Jika ketidakadilan dan penderitaan menyebabkan seseorang tidak percaya kepada Tuhan, rujukan ini mungkin dapat membantu:
Buku “Pencipta” (Is There a Creator Who Cares About You?), bab 10
Brosur “Adakah Tuhan Mengambil Berat” (Does God Really Care About Us?), bahagian 6, dan “Tujuan Hidup” (What Is the Purpose of Life?), bahagian 6
• Gunakan buku Ajaran Bible sebaik sahaja penghuni rumah menerima pandangan bahawa Tuhan mungkin wujud. Adalah baik untuk memulakan pembelajaran daripada bab 2 atau tajuk lain yang sesuai dengan penghuni rumah.
[Kotak pada muka surat 6]
Cubalah cadangan ini jika penghuni rumah tidak percaya pada Bible:
• Bincangkan bab 17 dan 18 daripada buku “Penciptaan” (Life—How Did It Get Here? By Evolution or by Creation?)
• Bagi penganut Hindu, guna brosur “Mengapa Sembah Tuhan” (Why Should We Worship God in Love and Truth?)
• Bagi orang Yahudi, guna brosur “Dunia Tanpa Perang” (Will There Ever Be a World Without War?), muka surat 3-11.
• Bincangkan manfaat daripada menerapkan prinsip Bible. Bahan bacaan yang boleh digunakan untuk menunjukkan nilai praktikal Bible ialah:
“Help for the Family” daripada siri rencana majalah berita
Video “Bible—Kuasanya dalam Kehidupan Anda” (The Bible—Its Power in Your Life)
Brosur Berita Baik daripada Tuhan!, pelajaran 9 dan 11; “Buku bagi Semua Orang” (A Book for All People), muka surat 22-26; dan “Kehidupan yang Memuaskan” (A Satisfying Life—How to Attain It), bahagian 2
Bagi penganut agama Buddha, guna brosur “Haluan” (The Pathway to Peace and Happiness), muka surat 3-7.
Jika ramai orang di kawasan penyebaran anda memiliki prasangka terhadap Bible, adalah baik untuk tidak menyebutkan bahawa apa yang anda kongsikan berasal daripada Bible sehingga beberapa kunjungan telah dibuat.
• Jelaskan bagaimana nubuat Bible telah menjadi kenyataan. Bahan yang boleh digunakan ialah:
Video “Bible—Sejarah yang Tepat, Nubuat yang Boleh Dipercayai” (The Bible—Accurate History, Reliable Prophecy)
Brosur “Buku bagi Semua Orang” (A Book for All People) muka surat 27-29
• Gunakan buku Ajaran Bible sebaik sahaja penghuni rumah mula bertanya tentang ajaran Bible mengenai topik-topik tertentu.
[Kotak pada muka surat 6]
Jika penghuni rumah kata, “Saya tidak percaya kepada Tuhan,” anda boleh jawab:
• “Bolehkah saya jelaskan dengan ringkas apa yang meyakinkan saya untuk percaya kepada Pencipta?” Selepas itu, gunakan maklumat yang terdapat dalam buku “Bertukar Fikiran” (Reasoning), muka surat 84-86, atau buat aturan untuk menawarkan kepada penghuni rumah, bahan bacaan yang telah menarik minat anda.
• “Jika Tuhan benar-benar wujud, apakah sifat-sifat yang anda mahu Dia perlihatkan?” Ramai penghuni rumah mengatakan bahawa mereka ingin mendekat kepada Tuhan yang menunjukkan sifat kasih, adil, berbelas kasihan, dan tidak berat sebelah. Tunjukkan daripada Bible bahawa Tuhan memiliki sifat-sifat tersebut. (Anda boleh menggunakan bab 1 daripada buku Ajaran Bible, bermula dari perenggan 6.)
Jika penghuni rumah kata, “Saya tidak percaya pada Bible,” anda boleh jawab:
• “Ramai orang juga berasa begitu. Ada yang menganggap bahawa Bible tidak tepat secara saintifik atau piawaian Bible tidak praktikal. Pernahkah anda membaca Bible sebelum ini? [Izinkan maklum balas. Kemudian tunjukkan bahagian pengenalan daripada brosur “Buku bagi Semua Orang” (A Book for All People), muka surat 3, dan tawarkan brosur itu.] Ramai orang meragui Bible kerana ajarannya telah diputarbelitkan oleh ahli-ahli agama. Lain kali, saya ingin bincang dengan anda contoh yang terdapat pada muka surat 4 dan 5.”
• “Ramai orang memiliki pandangan yang sama seperti anda. Bolehkah saya tunjukkan sesuatu yang menarik perhatian saya tentang Bible? [Baca Ayub 26:7 atau Yesaya 40:22, yang menunjukkan bahawa Bible tepat dari segi sains.] Bible juga mengandungi kata-kata hikmat yang dapat membantu keluarga. Lain kali, saya ingin berkongsi dengan anda satu contoh tentang hal ini.”
• “Terima kasih kerana beritahu saya pandangan anda. Pada pendapat anda, jika Tuhan menulis sebuah buku untuk manusia, apakah isi kandungannya?” Kemudian tunjukkan kepada penghuni rumah ayat Bible yang sesuai dengan komennya.