Ogos
Jumaat, 1 Ogos
Orang yang melakukan apa yang benar mengalami banyak kesusahan, tetapi Yehuwa menyelamatkannya daripada semua itu.—Mzm. 34:19.
Ada dua isi utama dalam mazmur ini: (1) Orang yang berbuat benar akan mengalami kesusahan. (2) Yehuwa akan menyelamatkan kita daripada cubaan. Bagaimana? Satu cara adalah dengan membantu kita berpandangan realistik tentang kehidupan. Yehuwa berjanji bahawa kita akan bersukacita kerana menyembah-Nya, tetapi Dia tidak berkata bahawa hidup kita sekarang akan bebas daripada masalah. (Yes. 66:14) Dia mahu kita bertumpu kepada masa depan, iaitu masanya kita dapat menikmati kehidupan kekal. (2 Kor. 4:16-18) Sementara itu, Dia membantu kita untuk terus bertabah. (Rat. 3:22-24) Apakah yang dapat kita belajar daripada umat Yehuwa yang setia pada zaman Bible dan zaman kita? Kita mungkin menghadapi masalah yang tidak terduga, tetapi jika kita bergantung pada Yehuwa, Dia pasti membantu kita.—Mzm. 55:22. w23.04 14-15 ¶3-4
Sabtu, 2 Ogos
Taat kepada pihak berkuasa.—Rm. 13:1.
Perhatikan bagaimana Yusuf dan Maria sedia mematuhi pihak berkuasa biarpun tidak senang. (Luk. 2:1-6) Semasa Maria mengandung hampir sembilan bulan, Agustus, maharaja Empayar Roma, memerintahkan agar semua rakyatnya dibanci. Maka, Yusuf dan Maria perlu membuat perjalanan kira-kira 150 kilometer melalui kawasan yang berbukit ke Betlehem. Perjalanan itu pasti tidak mudah, terutamanya bagi Maria. Yusuf juga mungkin risau tentang keselamatan Maria dan anak dalam rahimnya, yang merupakan Mesias yang dijanjikan. Selain itu, mereka mungkin risau jika Maria tiba-tiba hendak bersalin semasa dalam perjalanan. Adakah Yusuf dan Maria akan menggunakan hal-hal ini sebagai alasan untuk tidak mematuhi perintah tersebut? Walaupun Yusuf dan Maria mungkin risau, mereka tetap mematuhi perintah raja. Hasilnya, Yehuwa memberkati kepatuhan mereka. Maria sampai ke Betlehem dan melahirkan anaknya dengan selamat. Oleh sebab mereka patuh, mereka telah membantu untuk memenuhi nubuat Bible!—Mi. 5:2. w23.10 8 ¶9; 9 ¶11-12
Ahad, 3 Ogos
Galakkan satu sama lain.—Ibr. 10:25.
Adakah anda gementar untuk memberikan komen di perjumpaan? Buatlah persiapan baik. (Ams. 21:5) Dengan memahami bahan yang akan dibincangkan, anda akan lebih yakin untuk memberikan komen. Pastikan komen anda singkat. (Ams. 15:23; 17:27) Dengan itu, anda tidak perlu begitu risau tentang apa yang hendak anda katakan. Apabila anda memberikan komen singkat dengan kata-kata sendiri, anda menunjukkan bahawa anda telah membuat persiapan rapi dan benar-benar memahami bahan itu. Bagaimana pula jika anda telah mengikut cadangan yang diberikan tetapi masih hanya dapat memberikan satu atau dua komen? Yakinlah jika anda sudah berusaha, Yehuwa menghargai usaha anda. (Luk. 21:1-4) Memberi Yehuwa yang terbaik tidak bermaksud melakukan apa yang di luar kemampuan anda. (Flp. 4:5) Maka tentukan apa yang dapat anda lakukan, tetapkan matlamat, dan mohonlah hati yang tenang. Pada mulanya, anda boleh cuba untuk memberikan satu komen yang ringkas. w23.04 21 ¶6-8
Isnin, 4 Ogos
Mengenakan perisai dada dan topi besi.—1 Tes. 5:8.
Paulus menyamakan kita dengan askar yang sentiasa bersedia dan memakai perlengkapan perang. Seperti askar, kita bersedia menghadapi hari Yehuwa dengan memakai perisai dada, iaitu iman dan kasih, dan topi besi, iaitu harapan. Sebagaimana perisai dada melindungi organ penting seorang askar, iman dan kasih melindungi hati kita supaya kita dapat terus menyembah Tuhan dan mengikut Yesus. Dengan iman, kita yakin bahawa Yehuwa akan memberi kita ganjaran apabila kita tekun mencari-Nya. (Ibr. 11:6) Iman juga membantu kita tetap setia kepada Pemimpin kita Yesus, bahkan semasa dilanda kesusahan. Kita dapat membina iman yang kuat dengan belajar daripada teladan mereka yang tetap setia meskipun dianiaya atau menghadapi masalah kewangan. Kita juga dapat mengelakkan sikap cinta akan wang dengan mengikut teladan rakan seiman yang hidup sederhana supaya dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan. w23.06 10 ¶8-9
Selasa, 5 Ogos
Orang yang asyik memerhatikan awan tidak akan menuai apa-apa.—Pkh. 11:4.
Kawalan diri dapat membantu kita mengawal fikiran dan tindakan sendiri. Kita memerlukan sifat ini untuk mencapai matlamat kita, terutamanya yang susah dicapai atau jika kita kurang motivasi. Ingatlah, kawalan diri ialah sebahagian daripada buah kuasa suci Yehuwa, jadi mintalah kuasa suci-Nya untuk membantu anda memupuk sifat ini. (Luk. 11:13; Gal. 5:22, 23) Dunia sekarang tiada keadaan yang sempurna. Jika kita asyik menunggu keadaan sempurna, kita mungkin tidak akan mencapai matlamat kita. Jika matlamat kita nampaknya sangat besar, kita mungkin tiada motivasi untuk mencapainya. Maka, bahagikan matlamat besar itu menjadi beberapa matlamat kecil. Contohnya, jika anda ingin memupuk suatu sifat Kristian, cubalah menunjukkan sifat itu menerusi perbuatan kecil. Jika matlamat anda ialah membaca seluruh Bible, luangkanlah masa yang lebih pendek untuk berbuat demikian terlebih dahulu. w23.05 29-30 ¶11-13
Rabu, 6 Ogos
Jalan orang yang melakukan apa yang benar bagaikan sinaran mentari pada waktu fajar; kian lama kian cerah sehingga sinarannya terang-benderang.—Ams. 4:18.
Sepanjang hari-hari terakhir, Yehuwa terus menggunakan organisasi-Nya untuk menyediakan makanan rohani, agar kita dapat terus mengikut “Jalan Kesucian.” (Yes. 35:8; 48:17; 60:17) Apabila seseorang mula belajar Bible, dia mula mengikut “Jalan Kesucian.” Ada yang meninggalkan jalan ini tidak lama selepas mula mengikutnya. Yang lain pula bertekad untuk terus mengikut jalan ini sehingga ke destinasinya. Namun, jalan ini membawa kita ke mana? Bagi mereka yang ada harapan ke syurga, “Jalan Kesucian” membawa mereka ke “firdaus Tuhan” di syurga. (Why. 2:7) Bagi mereka yang ada harapan hidup di bumi pula, jalan ini membantu mereka mencapai kesempurnaan pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Jika anda sudah mula berjalan mengikut jalan ini, janganlah menoleh ke belakang. Teruslah ikut jalan ini sehingga sampai di dunia baharu. w23.05 17 ¶15; 19 ¶16-18
Khamis, 7 Ogos
Kita menunjukkan kasih, kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.—1 Yoh. 4:19.
Apabila anda memikirkan semua yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk anda, rasa syukur akan mendorong anda untuk membaktikan diri kepada-Nya. (Mzm. 116:12-14) Bible berkata bahawa Yehuwa ialah Sumber “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.” (Yak. 1:17) Kurniaan-Nya yang paling istimewa ialah korban tebusan Anak-Nya, Yesus. Dengan adanya kurniaan ini, anda dapat menghampiri Yehuwa dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya. (1 Yoh. 4:9, 10) Apabila anda menghargai korban tebusan dan berkat-berkat lain yang diberikan oleh Yehuwa, anda akan terdorong untuk membaktikan diri kepada-Nya.—Ul. 16:17; 2 Kor. 5:15. w24.03 5 ¶8
Jumaat, 8 Ogos
Orang yang mengikut haluan yang benar takut akan Yehuwa.—Ams. 14:2.
Semasa melihat standard moral dunia ini, kita mempunyai perasaan yang sama seperti Lot. Dia “sangat susah hati” semasa melihat orang jahat berkelakuan buruk tanpa rasa malu, kerana dia tahu perbuatan mereka sangat menjijikkan di mata Yehuwa. (2 Ptr. 2:7, 8) Oleh sebab Lot mengasihi Tuhan dan takut kepada-Nya, dia enggan terikut-ikut dengan orang yang tidak bermoral di sekelilingnya. Seperti Lot, kita dikelilingi orang yang tidak menghormati standard moral Yehuwa. Walaupun begitu, jika kita sentiasa mengasihi Yehuwa dan takut kepada-Nya, kita dapat tetap bersih secara moral. Untuk membantu kita berbuat demikian, Yehuwa telah menyediakan galakan menerusi buku Amsal. Semua orang Kristian dapat meraih manfaat daripada nasihat yang bijak dalam buku itu. Rasa takut akan Yehuwa juga dapat membantu kita menjauhi pergaulan buruk. w23.06 20 ¶1-2; 21 ¶5
Sabtu, 9 Ogos
Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya setiap hari, dan terus mengikut aku.—Luk. 9:23.
Agar dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan, anda mungkin sudah menghadapi tentangan daripada ahli keluarga atau mengorbankan peluang untuk menikmati hidup yang lebih selesa. (Mat. 6:33) Jika begitu, yakinlah bahawa Yehuwa menghargai usaha anda. (Ibr. 6:10) Barangkali, anda telah merasai kebenaran kata-kata Yesus yang berikut: “Sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak, atau tanah, demi aku dan demi berita baik, akan menerima seratus kali ganda pada zaman ini—rumah, adik-beradik, ibu, anak, dan tanah, serta penganiayaan—dan pada sistem yang akan datang, dia akan menerima kehidupan yang kekal.” (Mrk. 10:29, 30) Sememangnya, berkat yang anda terima jauh lebih besar daripada pengorbanan yang telah anda buat.—Mzm. 37:4. w24.03 9 ¶5
Ahad, 10 Ogos
Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.—Ams. 17:17.
Semasa orang Kristian di Yudea dilanda kebuluran yang teruk, saudara saudari dari Antiokhia “membuat keputusan untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara yang tinggal di Yudea.” (Kis. 11:27-30) Walaupun Antiokhia agak jauh dari Yudea, mereka bertekad untuk menghulurkan bantuan. (1 Yoh. 3:17, 18) Apabila rakan seiman kita ditimpa bencana, kita dapat menunjukkan belas kasihan dengan sentiasa bersedia untuk membantu. Kita dapat menyumbangkan duit untuk kerja sedunia, berdoa bagi mangsa bencana, atau menanya para penatua jika kita dapat menyertai projek untuk membantu mangsa bencana. Saudara saudari kita mungkin memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asas mereka. Semasa Raja kita, Kristus Yesus, menghakimi dunia ini, semoga dia mendapati kita menunjukkan belas kasihan dan berkata kepada kita, “Warisilah Kerajaan Tuhan.”—Mat. 25:34-40. w23.07 4 ¶9-10; 6 ¶12
Isnin, 11 Ogos
Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.—Flp. 4:5.
Yesus meniru sikap munasabah Yehuwa. Dia diutus untuk menginjil “hanya kepada orang Israel, yang bagaikan biri-biri yang sesat.” Tetapi Yesus juga bersikap munasabah. Pernah sekali, seorang wanita bangsa asing merayu agar Yesus menyembuhkan anak perempuannya yang “sangat terseksa kerana dirasuk roh jahat.” Yesus menunjukkan belas kasihan dan menyembuhkan anaknya. (Mat. 15:21-28) Fikirkan satu lagi contoh. Yesus pernah berkata, “Sesiapa yang menyangkal aku di hadapan umum, aku pun akan menyangkal dia.” (Mat. 10:33) Tetapi adakah dia berbuat demikian semasa Petrus menyangkalnya sebanyak tiga kali? Tidak. Yesus tahu Petrus sudah bertaubat dan memang setia. Selepas dibangkitkan, Yesus menampakkan diri kepada Petrus. Yesus mungkin meyakinkan Petrus bahawa dia sudah memaafkannya dan masih mengasihinya. (Luk. 24:33, 34) Yehuwa dan Yesus bersikap munasabah. Maka, Dia juga mahu kita bersikap munasabah. w23.07 21-22 ¶6-7
Selasa, 12 Ogos
Kematian tidak akan ada lagi.—Why. 21:4.
Bagaimanakah kita dapat meyakinkan orang bahawa bumi akan menjadi Firdaus? Pertama, Yehuwalah yang membuat janji ini. Buku Wahyu menyatakan, “Dia yang duduk di atas takhta berfirman, ‘Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.’” Yehuwa memiliki kebijaksanaan, kuasa, dan keinginan untuk menunaikan janji-Nya. Kedua, Yehuwa yakin janji-Nya pasti ditunaikan sehingga Dia berkata hal itu sudah berlaku. Yehuwa berkata, “Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai. . . . Hal-hal itu sudah terlaksana!” Ketiga, apabila Yehuwa memulakan sesuatu, tiada yang dapat menghalang-Nya daripada mencapai tujuan-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Aku ialah Alfa dan Omega.” (Why. 21:6) Yehuwa akan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Jika orang tidak percaya janji ini, anda dapat membaca dan menjelaskan Wahyu 21:5, 6 kepadanya. Jelaskanlah bahawa Tuhan seolah-olah telah menurunkan tandatangan pada janji-Nya dan menjamin bahawa janji-Nya pasti ditunaikan.—Yes. 65:16. w23.11 7 ¶18-19
Rabu, 13 Ogos
Aku akan membuat keturunanmu menjadi bangsa yang besar.—Kej. 12:2.
Yehuwa membuat janji itu dengan Abraham semasa dia berumur 75 tahun, dan masih tiada anak. Adakah Abraham melihat janji itu menjadi kenyataan? Ya, tetapi tidak sepenuhnya. Selepas menyeberangi Sungai Efrat, dia perlu menunggu selama 25 tahun sebelum anaknya Ishak dilahirkan, dan menunggu 60 tahun lagi sebelum cucunya Esau dan Yakub lahir. (Ibr. 6:15) Tetapi Abraham tidak pernah melihat keturunannya menjadi bangsa besar yang mewarisi Tanah yang Dijanjikan. Namun, dia setia kepada Penciptanya dan menikmati hubungan erat dengan-Nya. (Yak. 2:23) Semasa Abraham dibangkitkan, dia pasti gembira kerana tahu bahawa iman dan kesabarannya telah membawa berkat kepada semua bangsa! (Kej. 22:18) Apakah pengajarannya? Kita mungkin tidak melihat semua janji Yehuwa menjadi kenyataan. Namun, jika kita sabar seperti Abraham, Yehuwa pasti memberkati kita sekarang dan di dunia baharu nanti.—Mrk. 10:29, 30. w23.08 24 ¶14
Khamis, 14 Ogos
Sepanjang masa dia menyembah Yehuwa, dia hidup makmur.—2 Taw. 26:5.
Semasa muda, Raja Uzia rendah hati, dan dia “takut kepada Tuhan yang benar.” Dia hidup selama 68 tahun, dan hampir seumur hidupnya dia diberkati Yehuwa. (2 Taw. 26:1-4) Uzia mengalahkan banyak musuh orang Israel dan menguatkan pertahanan Yerusalem. (2 Taw. 26:6-15) Uzia pasti gembira kerana Tuhan memberinya kejayaan dalam banyak hal. (Pkh. 3:12, 13) Sebagai raja, perintah Uzia selalu dituruti rakyat. Adakah hal itu membuatnya berfikir bahawa dia berhak bertindak sesuka hati? Suatu hari, Uzia memasuki Rumah Yehuwa dan cuba membakar kemenyan di atas mazbah, sedangkan raja-raja tidak dibenarkan berbuat demikian. (2 Taw. 26:16-18) Imam Agung Azarya cuba menasihatinya, tetapi Uzia naik marah pula. Sedihnya, setelah menyembah Tuhan dengan setia selama bertahun-tahun, Uzia melanggar perintah Tuhan. Akibatnya, dia dijangkiti penyakit kusta. (2 Taw. 26:19-21) Jika Uzia tetap rendah hati, kesudahannya pasti sangat berbeza! w23.09 10 ¶9-10
Jumaat, 15 Ogos
Dia mengasingkan dirinya, kerana dia takut akan orang daripada golongan bersunat.—Gal. 2:12.
Selepas diurapi, Petrus masih bergelut dengan kelemahannya. Pada 36 Masihi, dia melihat Kornelius, seorang lelaki bukan Yahudi yang tidak bersunat, diurapi kuasa suci Tuhan. Peristiwa itu membuktikan bahawa “Tuhan tidak berat sebelah” dan menerima orang bukan Yahudi sebagai ahli sidang Kristian. (Kis. 10:34, 44, 45) Maka, Petrus mengubah pandangannya dan makan bersama orang bukan Yahudi. Namun, ada orang Kristian Yahudi berasa bahawa orang Yahudi dan orang bukan Yahudi tidak patut makan bersama. Apabila mereka datang ke Antiokhia, Petrus takut menyinggung perasaan mereka, jadi dia tidak lagi makan bersama orang bukan Yahudi. Ketika Paulus melihat hal itu, dia menegur Petrus di hadapan orang ramai dan berkata Petrus bermuka dua. (Gal. 2:13, 14) Meskipun melakukan kesilapan besar ini, Petrus tidak berputus asa. w23.09 22 ¶8
Sabtu, 16 Ogos
Dia akan mengukuhkan kamu.—1 Ptr. 5:10.
Jika anda memeriksa diri dan mendapati bahawa ada sesetengah hal yang perlu anda perbaiki, janganlah putus asa. “Tuan kita baik hati,” dan dia pasti membantu anda. (1 Ptr. 2:3) Petrus menulis, ‘Tuhan akan menyempurnakan latihan kamu. Dia akan meneguhkan kamu.’ Petrus pernah berasa bahawa dia tidak layak berada bersama Yesus. (Luk. 5:8) Tetapi dengan sokongan dan kasih Yehuwa dan Yesus, Petrus dapat terus menjadi pengikut Kristus dan “memasuki Kerajaan kekal Tuan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus.” (2 Ptr. 1:11) Alangkah hebatnya ganjaran Petrus! Seperti Petrus, jika anda tidak berputus asa dan membiarkan Yehuwa melatih anda, ‘iman anda akan membawa penyelamatan,’ dan anda juga akan menerima ganjaran berupa kehidupan kekal.—1 Ptr. 1:9. w23.09 31 ¶16-17
Ahad, 17 Ogos
Sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi.—Why. 14:7.
Khemah suci pada zaman kuno hanya ada satu halaman. Halaman itu ialah sebuah kawasan terbuka yang dikelilingi pagar dan para imam berkhidmat di sana. Ada sebuah mazbah tembaga yang besar untuk korban bakar dan sebuah besen tembaga yang berisi air untuk para imam membersihkan diri sebelum menjalankan khidmat suci. (Kel. 30:17-20; 40:6-8) Hari ini, orang Kristian terurap di bumi berkhidmat dengan setia di halaman dalam Rumah Rohani Tuhan. Besen besar yang berisi air ialah peringatan penting kepada mereka dan semua orang Kristian bahawa mereka mesti tetap bersih dari segi moral dan rohani. Jadi, di manakah “kumpulan besar manusia” menyembah Yehuwa? Yohanes nampak “mereka berdiri di hadapan takhta.” Hal ini melambangkan halaman luar yang terletak di bumi. Di sana, mereka “menjalankan khidmat suci kepada Tuhan di Rumah-Nya siang dan malam.” (Why. 7:9, 13-15) Alangkah besarnya penghormatan kita kerana dapat menyembah Tuhan dalam aturan-Nya untuk ibadat sejati! w23.10 28 ¶15-16
Isnin, 18 Ogos
Dia sama sekali tidak ragu akan janji Tuhan. Sebaliknya dia menjadi kuat kerana imannya.—Rm. 4:20.
Satu cara Yehuwa menguatkan kita adalah melalui para penatua. (Yes. 32:1, 2) Jadi apabila anda risau, luahkanlah kepada mereka. Apabila para penatua menawarkan bantuan, janganlah teragak-agak untuk menerimanya. Melalui para penatua, Yehuwa dapat menguatkan anda. Harapan Bible untuk hidup selama-lamanya, sama ada di bumi Firdaus atau di syurga, juga dapat menguatkan kita. (Rm. 4:3, 18, 19) Harapan Bible dapat menguatkan kita untuk menghadapi cubaan dengan tabah, menginjil, atau melakukan tugasan lain di sidang. (1 Tes. 1:3) Harapan itu juga telah menguatkan Paulus. Dia berkata bahawa dia “diasak,” “kebingungan,” “dianiaya,” dan “dihempas ke tanah.” Bahkan nyawanya terancam. (2 Kor. 4:8-10) Paulus mendapat kekuatan dengan bertumpu pada harapannya. (2 Kor. 4:16-18) Dia bertumpu pada harapannya untuk hidup selamanya di syurga. Paulus merenungkan harapan itu dan hasilnya, dia berasa bahawa dia “dibaharui setiap hari.” w23.10 15-16 ¶14-17
Selasa, 19 Ogos
Yehuwa akan memberikan kekuatan kepada umat-Nya; Yehuwa akan memberkati mereka dengan kesejahteraan.—Mzm. 29:11.
Semasa berdoa, fikirkan jika sekarang masa yang sesuai bagi Yehuwa mengabulkan doa anda. Kita mungkin mahu doa kita segera dijawab. Namun, Yehuwa tahu bila masa terbaik untuk membantu kita. (Ibr. 4:16) Jika doa kita tidak terus dijawab, kita mungkin fikir jawapan Yehuwa ialah “Tidak.” Namun, jawapan Yehuwa mungkin ialah “Sila tunggu.” Misalnya, seorang saudara muda berdoa agar penyakitnya disembuhkan. Tetapi kesihatannya tidak bertambah baik. Jika Yehuwa menyembuhkannya secara mukjizat, Syaitan boleh mendakwa bahawa dia hanya menyembah Yehuwa kerana disembuhkan. (Ayb. 1:9-11; 2:4) Selain itu, Yehuwa telah menentukan masa untuk menyembuhkan semua penyakit. (Yes. 33:24; Why. 21:3, 4) Jika masa itu belum sampai, kita tidak boleh mengharapkan penyembuhan secara mukjizat. Jadi saudara itu boleh meminta Yehuwa memberinya kekuatan dan ketenangan minda untuk tabah menghadapi penyakitnya dan tetap setia. w23.11 23 ¶13
Rabu, 20 Ogos
Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita, dan Dia tidak membalas kita setimpal dengan kesalahan kita.—Mzm. 103:10.
Simson telah melakukan kesilapan besar, tetapi dia tidak berputus asa. Dia masih mencari peluang untuk menjalankan tugas daripada Tuhan, iaitu melawan orang Filistin. (Hak. 16:28-30) Simson merayu kepada Yehuwa, “Biarlah aku membalas dendam terhadap orang Filistin.” Tuhan mengabulkan permintaannya dan memulihkan kekuatannya yang luar biasa. Hasilnya, Simson membunuh lebih ramai orang Filistin berbanding sebelumnya. Walaupun Simson menanggung akibat kesilapannya, dia terus melakukan kehendak Yehuwa. Apakah pengajarannya? Biarpun kita perlu dibetulkan atau hilang tanggungjawab kerana kesilapan kita, janganlah berputus asa. Yehuwa juga tidak berputus asa terhadap kita. (Mzm. 103:8, 9) Biarpun buat silap, kita masih dapat digunakan oleh Yehuwa seperti Simson. w23.09 6 ¶15-16
Khamis, 21 Ogos
Ketabahan membantu kita mendapat perkenan Tuhan; dan perkenan Tuhan membawa harapan.—Rm. 5:4.
Ketabahan anda akan menggembirakan Yehuwa. Namun hal ini tidak bermaksud bahawa Yehuwa gembira melihat anda menghadapi cubaan atau masalah. Sebaliknya, Dia berkenan kepada anda kerana anda bertabah. Tidakkah anda digalakkan kerana mengetahui bahawa ketabahan anda dapat menggembirakan Yehuwa? (Mzm. 5:12) Ingatlah bahawa Yehuwa senang hati dengan Abraham kerana dia tabah menghadapi cubaan. Yehuwa menganggapnya sebagai sahabat dan memperkenankannya. (Kej. 15:6; Rm. 4:13, 22) Yehuwa juga akan senang hati dengan kita, bukan kerana berapa banyak kerja yang kita lakukan atau di mana kita berkhidmat. Sebaliknya, Dia senang hati jika kita setia dan tabah menghadapi cubaan. Hal itu pasti menggalakkan kerana tidak kira umur, situasi, atau kebolehan kita, kita semua dapat bertabah. Adakah anda sedang tabah menghadapi cabaran? Apabila anda ingat bahawa anda mendapat perkenan Tuhan, harapan anda akan bertambah kukuh. w23.12 11 ¶13-14
Jumaat, 22 Ogos
Hendaklah kamu berkelakuan seperti lelaki sejati.—1 Kor. 16:13, nota kaki.
Seorang lelaki Kristian harus belajar cara berkomunikasi dengan baik. Maksudnya, dia perlu mendengar dan memahami fikiran dan perasaan orang. (Ams. 20:5) Dia juga harus memahami maksud di sebalik nada suara, raut wajah, dan gerak tubuh orang. Jadi, anda perlu meluangkan masa dengan orang lain. Namun, jika anda selalu berkomunikasi dengan orang menerusi alat elektronik, seperti menghantar e-mel atau SMS, anda mungkin susah untuk berkomunikasi secara bersemuka. Jadi, carilah peluang untuk berjumpa dengan orang dan bercakap dengan mereka. (2 Yoh. 12) Seorang lelaki Kristian yang matang juga harus mampu menyara diri dan keluarganya. (1 Tim. 5:8) Belajarlah kemahiran yang akan membantu anda mencari kerja. (Kis. 18:2, 3; 20:34; Ef. 4:28) Berusahalah agar dikenali sebagai seorang yang rajin dan selalu menyiapkan kerja. Maka, anda akan senang mencari kerja dan disukai majikan anda. w23.12 27 ¶12-13
Sabtu, 23 Ogos
Hari Yehuwa akan datang seperti pencuri datang pada waktu malam.—1 Tes. 5:2.
Bible menggunakan ungkapan “hari Yehuwa” untuk menggambarkan masanya Yehuwa membinasakan musuh-Nya dan menyelamatkan umat-Nya. Dahulu, semasa “hari Yehuwa,” sesetengah bangsa telah dihukum. (Yes. 13:1, 6; Yeh. 13:5; Zef. 1:8) Pada zaman kita pula, “hari Yehuwa” bermula semasa Babilon Besar diserang dan berakhir dengan perang Armagedon. Jika kita ingin terselamat semasa “kesengsaraan besar,” kita mesti bersiap sedia mulai sekarang. (Mat. 24:21) Yesus mengajar kita bahawa kita perlu “sentiasa bersedia.” (Luk. 12:40) Dalam suratnya yang pertama kepada sidang Tesalonika, Paulus menggunakan beberapa perumpamaan untuk membantu mereka bersiap sedia bagi hari besar Yehuwa. Paulus tahu bahawa hari Yehuwa tidak akan datang pada zamannya. (2 Tes. 2:1-3) Namun, dia menggalakkan saudara saudari untuk bersedia seolah-olah hari itu akan datang esok. Kita juga dapat meraih manfaat daripada nasihatnya. w23.06 8 ¶1-2
Ahad, 24 Ogos
Saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh dan tidak tergoyah.—1 Kor. 15:58.
Pada lewat tahun 1970-an, sebuah bangunan pencakar langit yang mempunyai 60 tingkat dibina di Tokyo, Jepun. Memandangkan bandar itu sering dilanda gempa bumi, bagaimanakah bangunan itu dapat bertahan? Para jurutera telah mereka bangunan itu agar cukup kuat, tetapi pada masa yang sama cukup fleksibel supaya dapat menyerap gegaran. Orang Kristian adalah seperti bangunan pencakar langit itu. Bagaimana? Orang Kristian mesti tahu bila mereka harus tetap teguh, dan bila mereka harus bersikap fleksibel. Mereka harus tetap teguh semasa menjunjung hukum dan standard Yehuwa. Mereka akan “sedia mematuhi” perintah Tuhan dan tidak akan berkompromi. Namun, mereka akan bersikap “munasabah,” atau fleksibel, jika perlu. (Yak. 3:17) Orang Kristian yang bersikap seimbang dalam hal ini tidak akan terlalu tegas atau terlalu berlembut. w23.07 14 ¶1-2
Isnin, 25 Ogos
Meskipun kamu tidak pernah melihat Kristus, kamu mengasihinya.—1 Ptr. 1:8.
Yesus perlu melawan godaan Syaitan, bahkan apabila Syaitan terang-terang menyuruhnya mengingkari Yehuwa. (Mat. 4:1-11) Syaitan bertekad untuk membuat Yesus berdosa agar tebusan tidak dapat dibayar. Semasa menginjil di bumi, Yesus menghadapi cabaran lain. Dia dianiaya dan nyawanya terancam. (Luk. 4:28, 29; 13:31) Dia juga perlu bersabar dengan ketidaksempurnaan para pengikutnya. (Mrk. 9:33, 34) Semasa dibicarakan, dia diseksa dan dihina. Kemudian, dia dihukum mati dalam cara yang kejam dan memalukan. (Ibr. 12:1-3) Dia juga perlu mengharungi detik-detik akhir hayatnya tanpa perlindungan Yehuwa. (Mat. 27:46) Ya, Yesus telah mengharungi banyak penderitaan untuk menyediakan tebusan. Semasa memikirkan bahawa Yesus begitu rela membuat banyak pengorbanan demi kita, tidakkah kita terdorong untuk mengasihinya secara mendalam? w24.01 10-11 ¶7-9
Selasa, 26 Ogos
Tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.—Ams. 21:5.
Kesabaran membantu kita menjalin hubungan yang baik dengan orang lain. Kita akan mendengar dengan teliti semasa orang bercakap. (Yak. 1:19) Sifat ini juga menyumbang kepada kedamaian. Jika kita sabar, kita tidak cepat naik marah dan mengatakan sesuatu yang pedas semasa tertekan. Selain itu, kita tidak akan ambil hati jika orang lain menyinggung kita. Daripada membalas dendam, kita akan terus “bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati.” (Kol. 3:12, 13) Kesabaran juga membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak. Daripada bertindak secara terburu-buru, kita akan meluangkan masa untuk mengkaji dan menilai pilihan yang ada. Contohnya, semasa mencari kerja, kita mungkin ingin terima sahaja tawaran kerja yang pertama. Namun jika kita bersabar, kita akan memikirkan kesan kerja itu terhadap keluarga dan rutin rohani kita. Dengan bersabar, kita dapat membuat keputusan bijak. w23.08 22 ¶8-9
Rabu, 27 Ogos
Aku mendapati bahawa terdapat hukum lain yang berperang melawan hukum akal fikiranku, dan hukum itu ialah dosa dalam tubuhku yang menguasai aku.—Rm. 7:23.
Jika anda tawar hati kerana anda cenderung berdosa, ingatlah janji anda kepada Yehuwa semasa anda membaktikan diri kepada-Nya. Anda akan lebih bertekad untuk melawan godaan. Bagaimana? Semasa membaktikan diri, anda berjanji untuk menolak kepentingan diri. Maksudnya, anda akan menolak apa sahaja keinginan yang tidak disukai Yehuwa. (Mat. 16:24) Bagaimanakah ikrar pembaktian dapat membantu anda tetap setia kepada Yehuwa? Semasa digoda, anda tidak perlu berfikir panjang lagi tentang apa yang akan anda buat kerana anda hanya akan memilih untuk mematuhi Yehuwa. Apabila anda bertekad untuk menggembirakan Yehuwa, anda sedang meniru Ayub. Biarpun ditimpa banyak cubaan yang berat, dia berkata dengan yakin, “Aku akan tetap setia kepada Tuhan!”—Ayb. 27:5. w24.03 9 ¶6-7
Khamis, 28 Ogos
Yehuwa dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya; Dia menghampiri semua orang yang berseru kepada-Nya dengan ikhlas.—Mzm. 145:18.
Yehuwa, “Tuhan yang penuh dengan kasih,” menyertai kita! (2 Kor. 13:11) Dia mengambil berat terhadap kita, dan kita yakin bahawa kita “dilimpahi kasih setia-Nya.” (Mzm. 32:10) Semakin kerap kita merenungkan cara Yehuwa menunjukkan kasih kepada kita, semakin nyata Dia bagi kita, dan kita semakin akrab dengan-Nya. Kita dapat berdoa secara terbuka dan memberitahu-Nya bahawa kita amat memerlukan kasih-Nya. Kita juga dapat meluahkan kerisauan kita dan yakin bahawa Dia memahami dan mahu membantu kita. (Mzm. 145:19) Sepertimana api memanaskan badan pada hari yang sejuk, kasih Yehuwa melegakan hati kita semasa hadapi cubaan. Jadi, marilah kita menerima kasih Yehuwa dan berseru, “Aku mengasihi Yehuwa”!—Mzm. 116:1. w24.01 31 ¶19-20
Jumaat, 29 Ogos
Aku sudah membuat nama-Mu nyata.—Yoh. 17:26.
Orang Yahudi sudah tahu nama Tuhan. Maka Yesus tidak sekadar memberitahu bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa. Sebaliknya, dia “telah menyingkapkan” keperibadian Yehuwa dengan lebih jelas. (Yoh. 1:17, 18) Misalnya, Kitab Ibrani menyatakan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. (Kel. 34:5-7) Tetapi Yesus menjadikan kebenaran itu lebih nyata dengan menceritakan tentang anak yang sesat. Apabila bapa dalam cerita itu nampak anaknya yang sudah bertaubat itu dari jauh, bapanya berlari untuk menyambutnya, memeluknya, dan memaafkannya. Melalui cerita ini, kita lebih faham mengapa Yehuwa dipanggil Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. (Luk. 15:11-32) Ya, Yesus telah membantu orang lain untuk memahami keperibadian Yehuwa. w24.02 10 ¶8-9
Sabtu, 30 Ogos
Dengan kelegaan hati yang kita terima daripada Tuhan, kita juga dapat melegakan hati orang lain.—2 Kor. 1:4.
Yehuwa menyegarkan dan melegakan hati orang yang menderita. Bagaimanakah kita dapat meniru belas kasihan Yehuwa dan melegakan hati orang lain? Satu cara adalah dengan memupuk sifat-sifat baik. Apakah yang dapat membantu kita mengekalkan kasih kita dan terus “melegakan hati satu sama lain” setiap hari? (1 Tes. 4:18) Kita perlu memupuk sifat seperti kasih sayang terhadap satu sama lain, belas kasihan, dan kebaikan hati. (Kol. 3:12; 1 Ptr. 3:8) Bagaimanakah sifat-sifat ini membantu kita? Apabila hati kita dipenuhi belas kasihan dan sifat-sifat baik yang lain, kita tidak akan menahan diri daripada memberikan kelegaan hati kepada mereka yang menderita. Seperti yang dinyatakan Yesus, “apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut. Orang yang baik menyimpan apa yang baik dalam hati.” (Mat. 12:34, 35) Apabila kita mengatakan atau melakukan sesuatu untuk melegakan hati rakan seiman yang memerlukan bantuan, kita sedang menunjukkan kasih kepada mereka. w23.11 10 ¶10-11
Ahad, 31 Ogos
Orang yang berpengertian akan memahaminya.—Dan. 12:10.
Kita perlu meminta bantuan untuk memahami nubuat Bible. Bayangkan anda melawat ke sebuah tempat buat kali pertama, tetapi seorang kawan yang sangat mengenali tempat itu pergi bersama anda. Dia tahu semua jalan di situ dan ke mana hala tuju anda. Anda tentu bersyukur kerana ada kawan sebegitu, bukan? Begitu juga, Yehuwa tahu nubuat apa yang sedang berlaku dan apa yang bakal berlaku pada masa depan. Maka, untuk memahami nubuat Bible, kita mesti bersikap rendah hati dan meminta bantuan Yehuwa. (Dan. 2:28; 2 Ptr. 1:19, 20) Seperti ibu atau bapa yang penyayang, Yehuwa mahu kita mempunyai masa depan yang baik. (Yer. 29:11) Namun, tidak seperti ibu bapa manusia, Yehuwa dapat memberitahu kita secara tepat tentang masa depan. Dia memastikan agar nubuat dicatatkan dalam Firman-Nya supaya kita dapat tahu peristiwa penting yang akan berlaku.—Yes. 46:10. w23.08 8 ¶3-4