PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • km 6/08 ms. 3-4
  • Masa untuk Menikmati Makanan Rohani dan Bersukacita

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Masa untuk Menikmati Makanan Rohani dan Bersukacita
  • Kerja Teokratik Kita—2008
  • Bahan yang Berkaitan
  • Sudahkah Anda Bersedia untuk Menghadiri Perjamuan Rohani?
    Kerja Teokratik Kita—2009
  • Ikutlah Kristus dengan Memperlihatkan Kemuliaan
    Kerja Teokratik Kita—2007
  • Konvensyen Distrik—Masa untuk Menyembah Yehuwa dengan Gembira
    Kerja Teokratik Kita—2010
  • Konvensyen Distrik Kita—Kesaksian untuk Kebenaran
    Kerja Teokratik Kita—2012
Lihat Selanjutnya
Kerja Teokratik Kita—2008
km 6/08 ms. 3-4

Masa untuk Menikmati Makanan Rohani dan Bersukacita

1 Yehuwa dengan penuh kasih memenuhi keperluan rohani hamba-hamba-Nya. Sewaktu kebanyakan orang dalam dunia ini mengalami kebuluran rohani, kita menikmati makanan rohani yang melimpah. (Yes. 65:13) Satu cara Yehuwa memberi kita khasiat rohani adalah melalui konvensyen distrik tahunan kita. Adakah anda sedang membuat persediaan untuk menghadiri semua sesi Konvensyen Distrik “Dibimbing oleh Daya Aktif Tuhan” yang akan datang ini? Satu jamuan yang penuh dengan makanan rohani yang sedap dan berkhasiat telah disediakan.

2 Merancang Terlebih Dahulu: “Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah.” (Ams. 21:⁠5) Oleh demikian, semasa membuat perancangan anda untuk menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen, jangan bertangguh untuk memberitahu majikan anda jika anda perlu mengambil hari cuti. Jika anda memerlukan tempat penginapan, sudahkah anda menempah bilik? Anda juga harus merancang makanan tengah hari anda supaya dapat makan bersama-sama saudara saudari di tempat konvensyen. Buatlah perancangan untuk tiba awal di tempat konvensyen pada setiap hari untuk mencari tempat duduk dan mengambil bahagian dalam lagu dan doa pembukaan.

3 Kita mahu memastikan pakaian kita adalah sopan dan kemas. (1 Tim. 2:​9, 10) Konvensyen-konvensyen distrik memberikan peluang yang amat baik untuk kita memberi kesaksian kepada orang ramai. Dengan mengekalkan penampilan yang menunjukkan rasa hormat semasa di bandar konvensyen dan dengan memakai lencana konvensyen, perbezaan kita dengan orang lain yang bukan penyembah Yehuwa akan jelas kelihatan dan memberikan tanggapan yang baik kepada para pemerhati.

4 Mendengar dengan Penuh Perhatian: Sudah tentu, kita tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati biarpun secebis makanan rohani yang dihidangkan pada jamuan rohani ini! (Ams. 22:​17, 18) Semasa ayat-ayat Bible dibaca, membuka dan mengikuti pembacaan Bible dan mengambil nota ringkas akan membantu kita menumpukan fikiran pada program. Pada lewat petang, kita boleh menggunakan nota-nota kita untuk membincangkan sorotan-sorotan program dengan orang lain. Pada tahun-tahun yang lepas, telah diperhatikan bahawa sesetengah orang muda duduk bersama-sama semasa konvensyen. Semasa program sedang berlangsung, mereka berbual-bual atau menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Jika kita mempunyai anak-anak, termasuk remaja, adalah baik untuk kita duduk bersama dengan mereka dan mendengar program sebagai satu keluarga. Hal ini lebih bermanfaat daripada membenarkan mereka duduk bersama dengan golongan muda yang lain.

5 Menikmati Persaudaraan Kristian: Nikmat satu hidangan yang enak dapat dipertingkatkan apabila dimakan bersama-sama sahabat. (Ams. 15:17) Begitu juga, pergaulan dengan saudara dan saudari akan membantu kita untuk lebih menikmati konvensyen. Oleh itu, betapa menyenangkannya untuk kita mengambil inisiatif bagi memperkenalkan diri kepada hadirin yang lain dan menikmati persaudaraan Kristian sebelum dan selepas program serta pada waktu rehat! (Mzm. 133:⁠1) Semasa pengerusi menjemput kita untuk duduk sebelum muzik bermula, kita harus menamatkan perbualan dan duduk untuk permulaan program tersebut.

6 Gunakan Setiap Peluang untuk Memberi Kesaksian: Konvensyen biasanya memberi kita peluang yang baik untuk memberi kesaksian. Ramai orang yang menghadiri konvensyen dan pergi ke restoran selepas program telah ditanya oleh pelayan-pelayan di restoran dan orang lain tentang tema yang ditunjukkan pada lencana konvensyen mereka. Dengan ini, satu peluang telah dibuka untuk memulakan perbualan dan memberi kesaksian yang baik tentang kebenaran. Sesetengah orang yang bertanya tentang tema pada lencana konvensyen telah menerima jemputan dan menghadiri konvensyen.

7 Beribu-ribu jam telah dihabiskan untuk menyediakan program ini, mengaturkan tempat konvensyen, mengorganisasikan bahagian-bahagian konvensyen, dan menyediakan ceramah-ceramah. Kasih dan kerja keras yang telah dicurahkan untuk menyediakan jamuan rohani ini memberi bukti akan kasih sayang Yehuwa terhadap umat-Nya. Semoga kita semua hadir dan menikmati hidangan rohani dengan sepuas-puasnya! Berbeza daripada dunia ini, kita akan ‘menyanyi dengan hati yang gembira’ seraya kita berbuat demikian.​—Yes. 65:⁠14.

[Soalan Pembelajaran]

1. Bagaimanakah Yehuwa memenuhi keperluan rohani hamba-hamba-Nya?

2. Apakah persiapan awal yang perlu kita lakukan untuk menghadiri konvensyen?

3. Apakah yang harus kita ingat apabila memilih pakaian?

4. Bagaimanakah kita sekeluarga boleh memperoleh sebanyak manfaat yang mungkin daripada konvensyen?

5. Bagaimanakah kita boleh menambahkan kenikmatan kita di konvensyen?

6. Nyatakan satu pengalaman peribadi yang menunjukkan bagaimana kita boleh memberi kesaksian kepada orang lain di bandar konvensyen.

7. Mengapakah kita harus menghadiri konvensyen distrik yang akan datang ini?

[Kotak pada muka surat 3]

Peringatan untuk Konvensyen Distrik

◼ Masa Program: Program akan bermula pada jam 9:20 pagi untuk kesemua tiga hari. Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Apabila muzik pengenalan bermula, kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing supaya program boleh bermula tepat pada masanya. Program akan berakhir pada jam 4:55 petang pada hari Jumaat dan Sabtu dan pada jam 4:00 petang pada hari Ahad.

◼ Tempat Letak Kereta: Di semua lokasi konvensyen di mana kami telah mendapat peruntukan untuk kemudahan tempat letak kereta, ruangan akan disediakan untuk sesiapa sahaja yang datang dahulu. Lencana konvensyen anda akan digunakan sebagai tanda pengenal untuk membantu anda mendapatkan ruang letak kereta.

◼ Tempat Duduk: Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk untuk mereka yang menaiki kenderaan yang sama dengan anda atau yang tinggal dalam rumah yang sama dengan anda.

◼ Makan Tengah Hari: Anda digalakkan untuk membawa makanan tengah hari anda daripada meninggalkan dewan konvensyen untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Anda boleh menggunakan bekas penyejuk yang kecil yang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk anda. Bekas penyejuk besar yang digunakan semasa perkelahan, bekas kaca, dan minuman beralkohol tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.

◼ Derma: Kita dapat menunjukkan penghargaan untuk kerja penyelenggaraan konvensyen dengan memberikan derma sukarela untuk kerja sedunia di Dewan Perjumpaan kita atau di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan di konvensyen harus dibuat atas nama “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”

◼ Kemalangan dan Kecemasan: Jabatan-jabatan perkhidmatan kecemasan telah mengadu bahawa mereka menerima banyak panggilan menerusi telefon bimbit tentang perkara-perkara yang remeh. Jika suatu kecemasan perubatan timbul di lokasi konvensyen, sila hubungi seorang atendan yang berdekatan supaya dia dapat memaklumkan Bahagian Pertolongan Cemas dengan segera. Saudara berkelayakan yang bertugas di bahagian ini dapat menilai tahap kecemasan dan menghulurkan bantuan. Jika perlu, saudara tersebut akan menghubungi 999.

◼ Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang memerlukan sistem pengalihan udara mekanikal. Oleh itu, dengan membatasi penggunaan haruman yang kuat dan minyak wangi yang mungkin memudaratkan mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau masalah lain, kita dapat menunjukkan sikap bertimbang rasa terhadap orang lain.​—1 Kor. 10:⁠24.

◼ Borang Kunjungan Susulan: Borang Please Follow Up (S-43) (Kunjungan Susulan) patut digunakan untuk mencatatkan maklumat tentang sesiapa yang menunjukkan minat hasil daripada kesaksian tidak formal yang diberikan semasa konvensyen. Para penyiar patut membawa satu atau dua helai borang ini ke konvensyen. Borang yang telah dilengkapkan boleh diserahkan kepada Bahagian Bahan Bacaan atau kepada setiausaha sidang anda selepas anda pulang dari konvensyen.​—Lihat Kerja Teokratik Kita (E), Februari 2005, ms. 6.

◼ Restoran: Muliakan nama Yehuwa dengan berkelakuan baik semasa di restoran. Di sesetengah tempat, tip biasanya diberikan berdasarkan layanan yang diberikan.

◼ Hotel: (1) Jangan menempah bilik melebihi apa yang sebenarnya diperlukan dan pastikan bilangan orang yang menginap di bilik anda tidak melebihi jumlah yang dibenarkan. (2) Jika anda betul-betul terpaksa membatalkan tempahan anda, maklumkan pihak hotel dengan segera. (3) Ambil rak bagasi hanya apabila anda bersedia menggunakan rak tersebut dan pulangkan dengan segera supaya dapat digunakan oleh orang lain. (4) Jangan memasak di dalam bilik kecuali jika diizinkan. (5) Tinggalkan tip setiap hari untuk pekerja yang membersihkan bilik anda. (6) Sarapan pagi, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel hanyalah untuk kegunaan tetamu semasa mereka berada di hotel dan tidak patut disalahgunakan. (7) Sentiasa perlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. (8) Kadar sewa bilik yang terdapat pada Recommended Lodging List (Senarai Penginapan yang Disyorkan) merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, termasuk cukai. Jika anda dikenakan bayaran tambahan untuk sesuatu yang anda tidak minta atau tidak gunakan, jangan bayar bil tersebut dan maklumkan Bahagian Penginapan di konvensyen secepat mungkin. (9) Jika terdapat masalah dengan bilik hotel anda, pastikan anda memaklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi