Sudahkah Anda Bersedia untuk Menghadiri Perjamuan Rohani?
1. Apakah persediaan-persediaan yang perlu dibuat sebelum berlangsungnya sebuah jamuan?
1 Banyak persediaan perlu dibuat sebelum berlangsungnya sebuah jamuan. Bahan makanan perlu diperoleh dan dijadikan hidangan yang lazat untuk disajikan. Cara dan tempat untuk menghidangkan makanan perlu diaturkan dan disediakan. Para tetamu mesti membuat persediaan juga, terutamanya jika mereka perlu membuat perjalanan jauh untuk tiba di sana. Walaupun banyak usaha diperlukan, namun semua ini berbaloi kerana kita dapat menikmati hidangan yang lazat dan berkhasiat bersama dengan sahabat dan keluarga. Tidak lama lagi, Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia akan berhimpun dalam kumpulan yang kecil dan besar untuk menikmati satu perjamuan rohani yang telah lama dinanti-nantikan, iaitu Konvensyen Distrik “Berjaga-jagalah!” Banyak usaha telah pun dicurahkan untuk persiapan program dan kerja-kerja penyelenggaraan. Kita semua telah dijemput. Jika kita ingin hadir dan memperoleh manfaat sepenuhnya, kita juga mesti membuat persediaan peribadi.—Ams. 21:5.
2. Jika kita hendak menghadiri setiap sesi perjamuan rohani kita, apakah yang perlu dilakukan?
2 Dapatkan Manfaat Sepenuhnya: Sudahkah anda memuktamadkan perancangan anda agar dapat menghadiri dan menikmati setiap “sajian” perjamuan rohani ini? Jika perlu, maklumkan majikan anda bahawa anda akan menghadiri setiap sesi konvensyen, termasuk hari yang pertama. Sudahkah anda memastikan bahawa anda mempunyai pengangkutan dan penginapan? Para penatua perlu memastikan bahawa mereka yang lanjut usia dan uzur serta orang yang memerlukan bantuan dapat menghadiri setiap sesi konvensyen.—Yer. 23:4; Gal. 6:10.
3. Mengapakah kita tidak seharusnya menghadiri konvensyen antarabangsa jika kita tidak dijemput?
3 Beberapa buah negara akan mengadakan konvensyen antarabangsa. Ingatlah bahawa sidang tertentu dan wakil-wakil dari negara lain telah dijemput untuk menghadiri konvensyen ini. Semasa membuat aturan ini, pejabat cawangan telah menghitung jumlah orang yang boleh dijemput kerana bilangan tempat duduk dan bilik hotel yang tersedia adalah terhad. Jika para penyiar menghadiri konvensyen antarabangsa sedangkan mereka tidak dijemput, kesesakan boleh berlaku.
4. Bagaimanakah kita dapat bersedia untuk permulaan program setiap hari?
4 Buatlah persediaan untuk tiba awal di lokasi konvensyen setiap hari sebelum program bermula supaya anda dapat mencari tempat duduk. Gunakanlah beberapa minit sebelum sesi bermula untuk membaca atur cara konvensyen. Dengan berbuat demikian, anda dapat menyiapkan hati untuk menerima maklumat yang akan disampaikan. (Ezr. 7:10) Apabila pengerusi sesi memperkenalkan selingan muzik, nikmatilah muzik yang dimainkan dan bersedia untuk lagu pembukaan dan doa.
5. Bagaimanakah seisi keluarga dapat memanfaatkan program dengan sepenuhnya?
5 Jika seisi keluarga duduk bersama semasa konvensyen, ibu bapa dapat memastikan bahawa anak-anak mereka menumpukan perhatian pada program. (Ul. 31:12) Semua digalakkan untuk mengikuti pembacaan ayat Bible dari Bible sendiri. Jika anda membuat catatan ringkas, anda bukan sahaja dapat menumpukan perhatian, malah anda dapat mengingati isi-isi penting ceramah pada kemudian hari. Elakkan daripada bersembang semasa sesi berlangsung atau meninggalkan tempat duduk anda. Jangan biarkan telefon bimbit anda mengganggu anda atau orang lain semasa program berlangsung. Selepas sesi tamat setiap hari, bincangkanlah apa yang telah anda nikmati daripada program dengan orang lain.
6. Apakah keistimewaan konvensyen kita? Bagaimanakah kita dapat menikmati keistimewaan ini dengan sepenuhnya?
6 Semasa konvensyen distrik, kita berpeluang untuk bergaul dengan saudara saudari kita dan menikmati hubungan silaturahim yang sungguh istimewa yang tidak dapat ditemui di dunia. (Mzm. 133:1-3; Mrk. 10:29, 30) Dapatkah anda berkenalan dengan mereka yang duduk berdekatan dengan anda dan berbual dengan mereka semasa rehat tengah hari? Kita boleh berbuat demikian jika kita membawa bekalan makanan tengah hari yang ringkas untuk dinikmati di dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk makan di restoran. Pastikan anda tidak melepaskan peluang sebegini untuk saling memberi galakan.—Rm. 1:11, 12.
7. Apakah persediaan yang perlu kita buat berkenaan dengan pakaian kita?
7 Pakaian: Yehuwa telah memerintah orang Israel untuk membuat rumbai-rumbai pada hujung pakaian mereka dan menjahitkan tali biru pada bahagian atas rumbai. (Bil. 15:37-41) Dengan ini, orang Israel diingatkan bahawa mereka ialah bangsa yang terpilih untuk menjadi penyembah Yehuwa setiap kali mereka melihat pakaian mereka. Hari ini, pakaian kita yang sopan dan mulia semasa konvensyen membezakan kita daripada dunia. Hal ini juga memberikan kesaksian yang berkesan kepada masyarakat umum semasa kita menjamu selera di luar selepas tamatnya program. Oleh itu, pastikanlah anda memilih pakaian anda dengan sewajarnya.
8. Bagaimanakah kita dapat memberikan kesaksian kepada orang lain semasa di bandar konvensyen?
8 Berikan Kesaksian: Jika kita membuat perancangan awal, kita dapat memberikan kesaksian kepada orang lain semasa di bandar konvensyen. Selepas tamatnya program, seorang saudara pergi ke sebuah restoran dengan isterinya. Dia menunjukkan lencana konvensyennya kepada pelayan restoran dan bertanya, “Adakah anda nampak ramai orang memakai lencana ini?” Pelayan tersebut menjawab ‘Ya’ dan menanyakan sebabnya. Dengan ini, saudara tersebut dapat memulakan perbualan dan menjemput pelayan itu ke konvensyen.
9. Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan rasa syukur kepada Tuan Rumah kita, Yehuwa?
9 Walaupun semua ceramah, temu ramah, dan demonstrasi disampaikan oleh saudara saudari kita, namun ingatlah bahawa perjamuan rohani yang kita nikmati setiap tahun sebenarnya disediakan oleh Yehuwa, Bapa kita yang penyayang di syurga. (Yes. 65:13, 14) Kita memperlihatkan rasa syukur kepada Tuan Rumah kita dengan menghadirkan diri setiap hari dan menikmati setiap hidangan makanan rohani yang disajikan. Sudahkah anda memuktamadkan persediaan anda untuk berbuat demikian?
[Gambar pada muka surat 6]
Peringatan untuk Konvensyen Distrik
◼ Masa Program: Program akan bermula pada jam 9:20 pagi untuk kesemua tiga hari. Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Apabila pengerusi mengumumkan bahawa selingan muzik akan bermula, kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing supaya program boleh bermula tepat pada masanya. Program akan berakhir pada jam 4:55 petang pada hari Jumaat dan Sabtu, dan pada jam 4:00 petang pada hari Ahad. Bagi konvensyen antarabangsa, program hari Khamis akan bermula pada jam 1:20 petang dan tamat pada jam 4:45 petang.
◼ Tempat Letak Kereta: Bagi semua lokasi konvensyen yang menyediakan tempat letak kereta, ruangan disediakan untuk sesiapa yang datang dahulu. Lencana konvensyen anda akan digunakan sebagai tanda pengenal untuk membantu anda mendapatkan ruang letak kereta. Memandangkan ruangan yang disediakan biasanya terhad, kita semua digalakkan untuk berkongsi kereta.
◼ Tempat Duduk: Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk untuk mereka yang menaiki kenderaan yang sama dengan anda atau yang tinggal serumah dengan anda.
◼ Makan Tengah Hari: Sila bawa makanan tengah hari untuk dinikmati dalam dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Anda boleh menggunakan bekas penyejuk yang kecil yang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk. Bekas penyejuk besar yang digunakan semasa perkelahan dan bekas kaca tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.
◼ Derma: Kita dapat menunjukkan penghargaan untuk kerja penyelenggaraan konvensyen dengan memberikan derma sukarela untuk kerja sedunia di Dewan Perjumpaan kita atau di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan di konvensyen harus dibuat atas nama “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”
◼ Kemalangan dan Kecemasan: Jabatan perkhidmatan kecemasan menerima banyak panggilan telefon bimbit tentang perkara-perkara yang remeh. Jika berlakunya suatu kecemasan perubatan di lokasi konvensyen, sila hubungi seorang atendan yang berdekatan supaya dia dapat memaklumkan Bahagian Pertolongan Cemas dengan segera. Saudara berkelayakan yang bertugas di bahagian ini dapat menilai tahap kecemasan dan menghulurkan bantuan. Jika perlu, saudara tersebut akan menghubungi 999.
◼ Kasut: Setiap tahun, banyak kecederaan berlaku disebabkan kasut. Sebaik-baiknya, pilihlah kasut yang sesuai dengan keadaan dan ukuran kaki supaya anda tidak mudah tercedera apabila berjalan di atas tangga, kekisi, dan sebagainya.
◼ Rakaman: Alat-alat rakaman tidak patut disambungkan ke sistem elektrik atau sistem pembesar suara dewan konvensyen dan hanya boleh digunakan dengan cara yang tidak mengganggu orang lain.
◼ Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang memerlukan sistem pengalihan udara mekanikal. Oleh itu, kita dapat menunjukkan sikap bertimbang rasa terhadap mereka yang mempunyai masalah-masalah yang berkaitan dengan pernafasan, dengan membatasi penggunaan haruman yang kuat dan minyak wangi yang mungkin memudaratkan mereka.—1Kor. 10:24.
◼ Borang Kunjungan Susulan: Borang “Kunjungan Susulan” (S-43) patut digunakan untuk mencatatkan maklumat tentang sesiapa yang menunjukkan minat hasil daripada kesaksian tidak formal yang diberikan semasa konvensyen. Para penyiar patut membawa satu atau dua helai borang ini ke konvensyen. Borang yang telah dilengkapkan boleh diserahkan kepada Bahagian Bahan Bacaan atau kepada setiausaha sidang selepas anda pulang dari konvensyen.—Lihat Kerja Teokratik Kita (E), Februari 2005, ms. 6.
◼ Restoran: Kelakuan baik anda semasa di restoran dapat memuliakan nama Yehuwa. Di banyak tempat, tip harus diberikan bergantung pada layanan yang diterima.
◼ Hotel: (1) Jangan tempah bilik melebihi bilangan yang diperlukan dan pastikan bilangan orang yang menginap di bilik anda tidak melebihi jumlah yang dibenarkan. (2) Jika anda betul-betul terpaksa membatalkan tempahan anda, maklumkan pihak hotel dengan segera. (3) Ambil rak bagasi hanya apabila anda bersedia menggunakan rak tersebut dan pulangkan dengan segera agar dapat digunakan oleh orang lain. (4) Jangan memasak di dalam bilik kecuali jika diizinkan. (5) Tinggalkan tip setiap hari untuk kakitangan yang membersihkan bilik anda. (6) Sarapan, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel hanyalah untuk kegunaan tetamu semasa mereka berada di hotel dan tidak patut disalahgunakan. (7) Sentiasa perlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. Mereka perlu melayan banyak tetamu hotel. Jadi, mereka sangat menghargai kebaikan hati, kesabaran, dan sikap timbang rasa yang kita tunjukkan. (8) Kadar sewa bilik yang terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” (Recommended Lodging List) merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, termasuk cukai. Jika anda dikenakan bayaran tambahan untuk sesuatu yang anda tidak minta atau tidak gunakan, jangan bayar bil tersebut dan maklumkan Bahagian Penginapan di konvensyen secepat mungkin. (9) Jika terdapat masalah dengan bilik hotel anda, maklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen.