Ikutlah Kristus dengan Memperlihatkan Kemuliaan
1 Bible menggambarkan Yehuwa sebagai Pemerintah Alam Semesta yang Berdaulat yang diliputi dengan kemuliaan. (Mzm. 104:1) Yesus sentiasa bercakap dan berkelakuan dengan cara yang memberikan sanjungan kepada Bapanya dan aturan-aturan Bapanya. (Yoh. 17:4) Kita masing-masing akan mempunyai peluang untuk meniru Yesus dan mendatangkan pujian kepada Yehuwa semasa Konvensyen-konvensyen Distrik “Ikutlah Kristus!” yang akan datang.
2 Penyembahan yang Mulia: Kita dapat menyanjung Yehuwa dengan merancang untuk hadir pada jamuan rohani yang telah disediakan oleh-Nya buat kita. Sudahkah anda memohon cuti daripada majikan anda dan mengatur jadual anda supaya dapat menghadiri kesemua tiga hari konvensyen, termasuk hari Jumaat? Sudahkah anda merancang supaya tiba lebih awal untuk mencari tempat duduk dan menyertai lagu dan doa pembuka? Sudahkah anda merancang untuk membawa makanan tengah hari supaya anda dapat makan di dewan konvensyen bersama saudara saudari anda? Pada permulaan setiap sesi, apabila pengerusi mempersilakan kita untuk mengambil tempat duduk masing-masing sebelum muzik bermula, kita patut menamatkan perbualan kita dengan serta-merta dan berada di tempat duduk bagi permulaan program.
3 Kita juga menyanjung Bapa kita di syurga dengan memberikan sepenuh perhatian pada program. Selepas memerhatikan suatu konvensyen distrik tempatan, seorang wartawan melaporkan bahawa para pemerhati akan kagum dengan “kelakuan baik mereka yang hadir kerana mereka mengikut apa yang diperkatakan dengan senyap dan penuh hormat serta menunjukkan bahawa mereka tertarik kepada perkara-perkara rohani.” Dia juga memberi komen tentang “bilangan kanak-kanak yang banyak . . . , kesemuanya menunjukkan kelakuan baik yang jarang dilihat. Malah ada yang sibuk merujuk ayat-ayat dalam Kitab Bible.” Semasa program sedang berlangsung, bukanlah masanya untuk bercakap, menghantar mesej melalui telefon bimbit, makan, atau merayau-rayau di koridor dewan. Belia-belia patut duduk bersama ibu bapa mereka supaya ibu bapa dapat membantu mereka untuk memanfaatkan program. (Ul. 31:12; Ams. 29:15) Usaha-usaha sebegini menunjukkan rasa hormat untuk orang lain dan menunjukkan kesyukuran untuk makanan rohani penting yang dihidangkan.
4 Penampilan yang Mulia: Ramai yang telah meluahkan rasa terima kasih atas peringatan-peringatan dalam ceramah “Perlihatkan Kemuliaan Kristian Setiap Masa,” yang disampaikan di konvensyen distrik tahun lepas. Ceramah ini telah menekankan bahawa hamba-hamba Tuhan patut berikhtiar untuk memperlihatkan kemuliaan Kristian dari aspek pakaian dan dandanan mereka. Pada tahun ini kita patut memberikan perhatian yang serius sekali lagi pada perkara ini. Penampilan kita mencerminkan perasaan kita terhadap Yehuwa dan terhadap penghormatan menjadi Saksi-Saksi-Nya. Kita harus sentiasa berpakaian seperti mereka yang “mengabdikan diri kepada [Tuhan].”—1 Tim. 2:9, 10.
5 Adakah kita patut memperlihatkan penampilan yang mulia hanya semasa menghadiri program konvensyen? Ingatlah bahawa ramai orang akan memerhatikan lencana konvensyen kita semasa kita berada di bandar di mana konvensyen diadakan. Penampilan kita harus membuat kita menonjol di khalayak ramai. Oleh itu, meskipun pada waktu lapang, misalnya semasa kita keluar untuk makan selepas program, kita patut berpakaian sesuai dengan gaya seorang penyebar Kristian yang berada di bandar konvensyen bagi tujuan menghadiri konvensyen Kristian. Kita tidak patut mengenakan pakaian seperti pakaian jean, seluar pendek, atau baju-T. Bayangkan betapa hebatnya kesaksian yang akan diberikan kepada komuniti hasil daripada penampilan kita! Yehuwa berasa gembira apabila penampilan kita mencerminkan peranan kita sebagai penyebar Kristian.
6 Hasil yang Memuaskan: Dengan memperlihatkan kemuliaan Kristian di konvensyen-konvensyen kita, kita mewujudkan banyak peluang untuk memberikan kesaksian tidak formal dan hal ini akan memberi para pemerhati tanggapan yang baik tentang kita. Pada penghujung suatu konvensyen, seorang pegawai telah berkata, “Kami tidak pernah melihat orang yang berkelakuan baik seperti ini. Anda berkelakuan sepertimana yang diharapkan oleh Tuhan.” Dengan memperlihatkan kemuliaan, kita menunjukkan rasa hormat dan kasih sesama kita dan perbuatan ini mendatangkan pujian kepada Yehuwa. (1 Ptr. 2:12) Hal ini menunjukkan bahawa kita mempunyai rasa takut yang soleh dan menunjukkan kesyukuran kita kerana diberi peluang istimewa untuk diajar oleh Bapa kita. (Ibr. 12:28) Semoga kita berikhtiar untuk memperlihatkan kemuliaan seraya kita menanti-nantikan Konvensyen Distrik “Ikutlah Kristus!” pada tahun ini.
[Soalan Pembelajaran]
1. Bagaimanakah tema konvensyen tahun ini berkaitan dengan usaha untuk memperlihatkan kemuliaan?
2. Bagaimanakah persediaan kita untuk menghadiri setiap sesi konvensyen menyanjung Yehuwa?
3. Bagaimanakah penyembahan kita dimuliakan apabila kita memberikan sepenuh perhatian pada program?
4. Mengapakah kita patut mempunyai penampilan yang mulia semasa menghadiri konvensyen?
5. Bagaimanakah kita boleh mengekalkan penampilan yang mulia pada waktu lapang di bandar konvensyen?
6. Apakah kesan-kesan positif kerana memperlihatkan kemuliaan Kristian?
[Kotak pada muka surat 6]
Peringatan untuk Konvensyen Distrik
◼ Masa Program: Program akan bermula pada jam 9:20 pagi untuk kesemua tiga hari. Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Apabila muzik pengenalan bermula, kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing supaya program boleh bermula dalam suasana yang mulia. Program akan berakhir pada jam 5:05 petang pada hari Jumaat dan Sabtu dan pada jam 4:10 petang pada hari Ahad.
◼ Tempat Letak Kereta: Di semua dewan konvensyen di mana kami telah mendapat peruntukan untuk kemudahan tempat letak kereta, ruangan disediakan untuk sesiapa sahaja yang datang dahulu. Kad-kad konvensyen khas akan diberikan untuk mengidentifikasikan kenderaan anda. Memandangkan ruang letak kereta biasanya terhad, anda patut berkongsi kenderaan.
◼ Tempat Duduk: Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk untuk mereka yang menaiki kenderaan yang sama dengan anda atau yang tinggal dengan anda dalam rumah yang sama.
◼ Makan Tengah Hari: Sila bawa makanan tengah hari anda dan jangan meninggalkan dewan konvensyen untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Bekas makanan kecil yang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk anda boleh digunakan. Bekas makanan besar seperti yang digunakan semasa perkelahan, bekas kaca, dan minuman beralkohol tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.
◼ Derma: Kerja penyelenggaraan untuk satu konvensyen distrik melibatkan perbelanjaan yang besar. Kita dapat menunjukkan rasa terima kasih dengan memberikan sumbangan sukarela untuk kerja sedunia di Dewan Perjumpaan kita atau di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan di konvensyen patut ditujukan kepada “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”
◼ Kemalangan dan Kecemasan: Jabatan-jabatan perkhidmatan kecemasan telah mengadu bahawa mereka menerima banyak panggilan menerusi telefon bimbit tentang perkara-perkara yang remeh. Jika suatu kecemasan perubatan timbul di dewan konvensyen, sila hubungi seorang atendan yang berdekatan supaya dia dapat memaklumkan Bahagian Pertolongan Cemas dengan segera. Saudara berkelayakan yang bertugas di bahagian ini dapat menilai tahap kecemasan dan menghulurkan bantuan. Jika perlu, saudara tersebut akan menghubungi 999.
◼ Rakaman: Apa sahaja jenis alat rakaman tidak patut disambungkan ke sistem elektrik atau sistem pembesar suara dewan konvensyen dan hanya boleh digunakan dengan cara yang tidak mengganggu orang lain.
◼ Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang memerlukan sistem pengalihan udara mekanikal. Oleh itu, kita dapat bertimbang rasa dengan membatasi penggunaan minyak wangi yang boleh memudaratkan mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau masalah lain.—1 Kor. 10:24.
◼ Borang Kunjungan Susulan: Borang Please Follow Up (S-43) [Kunjungan Susulan] patut digunakan untuk mencatatkan maklumat tentang sesiapa yang menunjukkan minat hasil daripada kesaksian tidak formal yang diberikan semasa konvensyen. Para penyiar patut membawa satu atau dua helai borang ini ke konvensyen. Borang-borang ini juga boleh didapati di Bahagian Bahan Bacaan konvensyen. Borang yang telah diisi boleh diserahkan ke Bahagian Bahan Bacaan untuk pengendalian atau kepada setiausaha sidang anda selepas anda pulang dari konvensyen.—Lihat Kerja Teokratik Kita (E) Februari 2005, ms. 6.
◼ Restoran: Di sesetengah tempat, tip biasanya diberikan bergantung pada pelayanan.
◼ Hotel: (1) Jangan menempah bilik melebihi apa yang sebenarnya diperlukan dan pastikan bilangan orang yang menginap di bilik anda tidak melebihi apa yang dibenarkan. (2) Jika anda betul-betul terpaksa membatalkan tempahan anda, maklumkan pihak hotel dengan segera. (3) Ambil rak bagasi hanya apabila anda bersedia menggunakan rak itu dan pulangkan rak itu dengan segera supaya orang lain dapat menggunakan rak itu. (4) Jangan memasak di dalam bilik kecuali jika diizinkan. (5) Tinggalkan tip setiap hari untuk staf yang membersihkan bilik anda. (6) Sebagai orang Kristian, kita tentu tidak akan menyalahgunakan sarapan pagi, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma untuk kegunaan tetamu semasa mereka berada di hotel. (7) Sentiasa perlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. (8) Kadar sewa bilik yang terdapat pada Recommended Lodging List [Senarai Penginapan yang Disyorkan] merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, termasuk cukai. Jika anda dikenakan bayaran tambahan untuk sesuatu yang anda tidak minta atau tidak gunakan, jangan terima caj-caj ini dan maklumkan Bahagian Penginapan konvensyen secepat mungkin. (9) Jika terdapat masalah dengan bilik hotel anda, pastikan anda memaklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen.