Konvensyen Distrik—Masa untuk Menyembah Yehuwa dengan Gembira
1. Apakah persamaan antara perayaan di Israel dengan konvensyen distrik kita pada masa kini?
1 Setiap tahun, Yusuf, Maria, anak-anak mereka, dan orang lain akan ke Yerusalem secara tetap untuk menghadiri perayaan-perayaan. Pada masa itu, mereka dan para penyembah Yehuwa yang lain akan mengetepikan kekhuatiran seharian mereka dan menumpukan perhatian pada hal-hal rohani yang lebih penting. Perayaan-perayaan di Israel memberi mereka peluang untuk merenungkan dan membincangkan kebaikan Yehuwa dan untuk memikirkan Hukum-Nya secara mendalam. Begitu juga, semasa konvensyen distrik yang akan datang, kita akan berpeluang untuk menyembah Yehuwa dengan gembira.
2. Apakah persiapan yang perlu kita lakukan bagi menghadiri konvensyen distrik yang akan datang?
2 Persiapan Diperlukan: Keluarga Yesus perlu berjalan kira-kira 200 km dalam perjalanan pergi balik di antara Nasaret dan Yerusalem. Meskipun kita tidak mengetahui bilangan adik-beradik dalam keluarga Yesus, kita dapat membayangkan persiapan dan usaha yang perlu dilakukan oleh Yusuf dan Maria. Sudahkah anda membuat persiapan untuk menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen distrik yang akan datang? Anda mungkin perlu memohon cuti daripada majikan atau memberitahu guru anak anda bahawa anak anda tidak dapat ke sekolah pada masa itu. Jika perlu, sudahkah anda menempah bilik hotel? Bolehkah anda menawarkan diri untuk membantu sesiapa dalam sidang yang memerlukan bantuan untuk menghadiri konvensyen?—1 Yoh. 3:17, 18.
3. Bagaimanakah perayaan di Israel mewujudkan peluang untuk pergaulan yang menggalakkan?
3 Pergaulan yang Menggalakkan: Semasa perayaan-perayaan Yahudi, para penyembah Yehuwa pastinya berpeluang untuk menikmati pergaulan yang menggalakkan antara satu sama lain. Keluarga Yesus sudah pasti menanti-nantikan masanya untuk menemui sahabat lama mereka. Mereka juga berpeluang menjalin persahabatan baru dalam kalangan beribu-ribu orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang berada di Yerusalem atau yang sedang dalam perjalanan pergi dan balik dari situ.
4. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai persaudaraan Kristian kita yang bersatupadu?
4 Mengapakah hamba yang setia dan bijaksana mengaturkan supaya kita berhimpun bersama untuk mendengar ceramah di konvensyen distrik, dan bukannya menyediakan maklumat yang sama dalam bahan bacaan? Sebabnya adalah supaya kita dapat saling menggalakkan. (Ibr. 10:24, 25) Maka, rancanglah untuk tiba awal di konvensyen setiap hari untuk menikmati pergaulan dengan orang lain sebelum pengerusi sesi memperkenalkan selingan muzik dan menjemput kita ke tempat duduk masing-masing. Kita digalakkan untuk membawa bekalan makanan tengah hari yang ringkas dan bukannya meninggalkan dewan untuk mendapatkan makanan. Dengan ini, kita dapat berjumpa dan berbual dengan orang lain di dewan konvensyen. Persaudaraan Kristian kita yang bersatu-padu merupakan kurniaan daripada Yehuwa yang patut dihargai selalu.—Mi. 2:12.
5. Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan program konvensyen dengan sepenuhnya?
5 Waktu untuk Belajar: Sejak kecil lagi, Yesus menggunakan kesempatan yang ada semasa perayaan untuk belajar tentang Bapanya di syurga. (Luk. 2:41-49) Bagaimanakah kita dan ahli keluarga dapat memanfaatkan program konvensyen dengan sepenuhnya? Elakkan daripada bersembang atau meninggalkan tempat duduk anda semasa sesi berlangsung. Jangan membiarkan telefon bimbit, alat kelui, atau alat yang lain mengganggu anda atau orang lain. Pandanglah penceramah dan buat catatan yang ringkas. Duduk bersama ahli keluarga untuk memastikan bahawa anak-anak anda turut memasang telinga. Pada lewat petang, luangkan masa bersama-sama untuk membincangkan isi-isi konvensyen yang anda hargai.
6. Apakah yang patut kita ingati sehubungan dengan pakaian dan dandanan kita?
6 Pakaian dan Dandanan: Saudagar-saudagar asing dalam perjalanan dapat mengenali keluarga Yesus dan para penyembah berbangsa Yahudi semasa mereka pergi dan balik dari perayaan kerana rumbai-rumbai pada hujung pakaian mereka dan tali biru yang dijahitkan pada bahagian atas rumbai. (Bil. 15:37-41) Meskipun orang Kristian tidak mengenakan pakaian yang istimewa, kita dikenali kerana pakaian kita sopan, kemas, dan rapi. Kita patut memberi perhatian kepada pakaian kita terutamanya semasa dalam perjalanan pergi dan balik dari konvensyen, dan semasa di bandar konvensyen. Biarpun kita menukar pakaian selepas program tamat, kita harus memakai lencana konvensyen dan memastikan agar penampilan kita memuliakan nama Yehuwa. Dengan ini, kita kelihatan berbeza daripada orang yang bukan Saksi dan memberi tanggapan yang baik kepada para pemerhati.
7. Mengapakah kita patut menawarkan diri sebagai sukarelawan di konvensyen?
7 Sukarelawan Diperlukan: Ramai pekerja diperlukan supaya konvensyen dapat berlangsung dengan lancar. Bolehkah anda menawarkan diri sebagai sukarelawan? (Mzm. 110:3) Kerja yang dilakukan semasa di konvensyen merupakan sebahagian daripada khidmat suci kita dan dapat memberi kesaksian yang baik. Seorang pengurus di dewan konvensyen begitu kagum dengan para sukarelawan yang membersihkan dewan. Dia menulis, “Saya ingin mengucapkan terima kasih atas majlis terbaik yang pernah saya saksikan. Saya selalu mendengar bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah kumpulan istimewa yang sudah lama terkenal dalam bidang kami kerana kemudahan yang digunakan oleh mereka selalu menjadi lebih bersih daripada sebelumnya. Anda dan organisasi anda telah memberi sumbangan yang berharga kepada masyarakat, dan anda telah melakukannya dengan sekumpulan orang yang berbudi pekerti sekali. Kami cukup berbesar hati untuk mengenali anda.”
8. Semasa kita di bandar konvensyen, apakah peluang yang ada untuk memberi kesaksian?
8 Peluang untuk Memberi Kesaksian: Banyak orang di bandar konvensyen mungkin tertanya-tanya mengapa terdapat ramai pelawat yang berpakaian kemas dan rapi serta memakai lencana konvensyen. Dengan ini, kita berpeluang untuk memberitahu mereka tentang konvensyen. Selepas tamatnya program konvensyen, seorang budak lelaki yang berusia empat tahun telah membawa penerbitan baru konvensyen ke restoran lalu menunjukkannya kepada pelayan di situ. Perbuatan budak itu telah membuka peluang kepada ibu bapanya untuk mengundang wanita tersebut ke konvensyen.
9. Keluarga Yesus menghargai pemberian rohani daripada Yehuwa. Bagaimanakah kita dapat meniru mereka?
9 Perayaan-perayaan pada masa kuno adalah detik gembira yang dinanti-nantikan oleh orang Yahudi yang berfikiran rohani. (Ul. 16:15) Keluarga Yesus sudi membuat apa saja pengorbanan agar dapat menghadiri dan memanfaatkan perayaan tersebut dengan sepenuhnya. Begitu juga, kita menghargai konvensyen distrik dan memandangnya sebagai pemberian daripada Bapa kita yang pengasih. (Yak. 1:17) Buatlah persediaan sekarang supaya anda dapat menghadiri konvensyen tahunan untuk menyembah Yehuwa dengan gembira!
[Box on page 6, 7]
Peringatan untuk Konvensyen Distrik
◼ Masa Program: Program akan bermula pada jam 9:20 pagi untuk kesemua tiga hari. Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Apabila pengerusi mengumumkan bahawa selingan muzik akan bermula, kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing supaya program boleh bermula tepat pada masanya. Program akan berakhir pada jam 4:55 petang pada hari Jumaat dan Sabtu, dan pada jam 3:40 petang pada hari Ahad.
◼ Tempat Letak Kereta: Bagi semua lokasi konvensyen yang menyediakan tempat letak kereta, ruangan disediakan untuk sesiapa yang datang dahulu. Lencana konvensyen anda akan digunakan sebagai tanda pengenal untuk membantu anda mendapatkan ruang letak kereta. Memandangkan ruangan yang disediakan biasanya terhad, kita semua digalakkan untuk berkongsi kereta.
◼ Tempat Duduk: Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk untuk mereka yang menaiki kenderaan yang sama dengan anda, yang tinggal serumah dengan anda, atau yang merupakan pelajar Bible anda.—1 Kor. 13:5.
◼ Makan Tengah Hari: Sila bawa makanan tengah hari untuk dinikmati dalam dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Anda boleh menggunakan bekas penyejuk yang kecil yang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk. Bekas penyejuk besar yang digunakan semasa perkelahan dan bekas kaca tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.
◼ Derma: Kita dapat menunjukkan penghargaan untuk kerja penyelenggaraan konvensyen dengan memberikan derma sukarela untuk kerja sedunia di Dewan Perjumpaan kita atau di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan di konvensyen harus dibuat atas nama “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”
◼ Kemalangan dan Kecemasan: Jika berlakunya suatu kecemasan perubatan di lokasi konvensyen, sila hubungi seorang atendan yang berdekatan supaya dia dapat memaklumkan Bahagian Pertolongan Cemas dengan segera. Saudara berkelayakan yang bertugas di bahagian ini dapat menilai tahap kecemasan dan menghulurkan bantuan. Jika perlu, saudara tersebut akan menghubungi 999. Dengan ini, jabatan perkhidmatan kecemasan tidak akan menerima banyak panggilan telefon bimbit tentang perkara-perkara yang remeh.
◼ Kasut: Setiap tahun, banyak kecederaan berlaku disebabkan kasut. Sebaik-baiknya, pilihlah kasut yang sesuai dengan keadaan dan ukuran kaki supaya anda tidak mudah tercedera apabila berjalan di atas tangga, kekisi, dan sebagainya.
◼ Rakaman: Alat-alat rakaman tidak patut disambungkan ke sistem elektrik atau sistem pembesar suara dewan konvensyen dan hanya boleh digunakan dengan cara yang tidak mengganggu orang lain.
◼ Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang memerlukan sistem pengalihan udara mekanikal. Oleh itu, kita dapat menunjukkan sikap bertimbang rasa terhadap mereka yang mempunyai masalah-masalah yang berkaitan dengan pernafasan, dengan membatasi penggunaan haruman yang kuat dan minyak wangi yang mungkin memudaratkan mereka.—1 Kor. 10:24.
◼ Borang Kunjungan Susulan: Borang “Kunjungan Susulan” (S-43) patut digunakan untuk mencatatkan maklumat tentang sesiapa yang menunjukkan minat hasil daripada kesaksian tidak formal yang diberikan semasa konvensyen. Para penyiar patut membawa satu atau dua helai borang ini ke konvensyen. Borang yang telah dilengkapkan boleh diserahkan kepada Bahagian Bahan Bacaan atau kepada setiausaha sidang selepas anda pulang dari konvensyen.—Lihat Kerja Teokratik Kita, November 2009, ms. 4.
◼ Restoran: Kelakuan baik anda semasa di restoran dapat memuliakan nama Yehuwa. Di sesetengah tempat, tip harus diberikan bergantung pada layanan yang diterima.
◼ Hotel: (1) Jangan tempah bilik melebihi bilangan yang diperlukan dan pastikan bilangan orang yang menginap di bilik anda tidak melebihi jumlah yang dibenarkan. (2) Jika anda betul-betul terpaksa membatalkan tempahan anda, maklumkan pihak hotel dengan segera. (3) Ambil rak bagasi hanya apabila anda bersedia menggunakan rak tersebut dan pulangkan dengan segera agar dapat digunakan oleh orang lain. (4) Jangan memasak di dalam bilik kecuali jika diizinkan. (5) Tinggalkan tip setiap hari untuk kakitangan yang membersihkan bilik anda. (6) Sarapan, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel hanyalah untuk kegunaan tetamu semasa mereka berada di hotel dan tidak patut disalahgunakan. (7) Sentiasa perlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. Mereka perlu melayan banyak tetamu hotel. Jadi, mereka sangat menghargai kebaikan hati, kesabaran, dan sikap timbang rasa yang kita tunjukkan. (8) Kadar sewa bilik yang terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” (Recommended Lodging List) merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, tidak termasuk cukai. Jika anda dikenakan bayaran tambahan untuk sesuatu yang anda tidak minta atau tidak gunakan, jangan bayar bil tersebut dan maklumkan Bahagian Penginapan di konvensyen secepat mungkin. (9) Jika terdapat masalah dengan bilik hotel anda, maklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen agar mereka dapat membantu anda.
◼ Khidmat Sukarela: Jika kita menawarkan diri untuk membantu dalam kerja-kerja konvensyen, kita akan lebih bersukacita. (Kis. 20:35) Sesiapa yang ingin berbuat demikian boleh melaporkan diri di Bahagian Khidmat Sukarela konvensyen. Anak-anak di bawah 16 tahun juga boleh menyertai kerja ini bersama ibu bapa, penjaga, atau orang dewasa lain yang diizinkan oleh mereka.