Surat Jemputan Peringatan akan Diedarkan Bermula 2 April
1. Pada tahun ini, bilakah kita akan mengedarkan surat jemputan Peringatan? Mengapakah kita mengadakan kempen tahunan ini?
1 Bermula 2 April hingga 17 April, kita akan mengedarkan surat jemputan untuk peristiwa yang terpenting dalam setahun—Peringatan kematian Kristus. Seperti masa yang lalu, ramai yang berminat telah menyambut baik kempen tahunan ini. Contohnya, pada hari Peringatan, seorang wanita menelefon pejabat cawangan dan berkata, “Saya baru pulang dan ternampak surat jemputan di bawah pintu saya. Saya ingin hadir, tetapi tidak pasti akan masanya.” Saudara kita menjelaskan kepadanya cara mendapatkan maklumat itu daripada surat jemputan. Pada penghujung perbualan, wanita itu berjanji, “Malam ini saya akan datang!”
2. Apakah yang boleh kita katakan semasa menawarkan surat jemputan?
2 Cara Kita Melakukannya: Kita mempunyai masa yang terhad untuk meliputi kawasan penyebaran, maka adalah baik untuk menggunakan penyampaian yang singkat. Kita boleh berkata, “Pada 17 April, hari Ahad, satu sambutan tahunan yang penting akan diadakan di serata dunia. Kami ingin menjemput anda sekeluarga untuk menghadirinya. Anda tidak perlu membayar apa-apa. [Berikan surat jemputan kepada penghuni rumah.] Inilah tarikh ulang tahun kematian Yesus. Pada hari itu, sebuah ceramah yang berdasarkan Bible akan menjelaskan bagaimana kita boleh memanfaatkan tebusan Kristus. Masa dan tempatnya tertera pada jemputan ini.”
3. Bagaimanakah kita boleh mengundang seberapa ramai orang yang mungkin untuk menghadiri sambutan Peringatan?
3 Jika sidang anda mempunyai kawasan penyebaran yang luas, para penatua mungkin menyuruh anda untuk meninggalkan surat jemputan bagi mereka yang tiada di rumah. Semasa berbuat demikian, pastikan surat jemputan yang ditinggalkan tidak kelihatan oleh orang lain. Jangan lupa menjemput kunjungan kembali, saudara mara, rakan sekerja, rakan sekolah, dan kenalan anda yang lain. Semasa mengedarkan surat jemputan pada hujung minggu, anda boleh menawarkan majalah jika sesuai. Bolehkah anda menjadi perintis sokongan pada bulan April agar dapat lebih bergiat dalam kempen yang menyeronokkan ini?
4. Mengapakah kita ingin orang yang berminat menghadiri sambutan Peringatan?
4 Orang yang berminat dan hadir pasti akan menerima kesaksian yang cukup berkesan! Mereka akan mendengar tentang kasih Yehuwa yang agung dalam memberikan tebusan. (Yoh. 3:16) Mereka akan mengetahui bagaimana Kerajaan Tuhan akan membawa manfaat kepada umat manusia. (Yes. 65:21-23) Mereka juga akan dijemput untuk memaklumkan atendan supaya mereka dapat mempelajari Bible dengan selanjutnya. Kami berdoa agar ramai yang berhati jujur akan menyambut baik kempen ini dan menyertai kami pada hari Peringatan!