Kempen untuk Menghebahkan Sambutan Peringatan Bermula 17 Mac
1. Apakah kempen yang akan bermula pada 17 Mac?
1 Sambutan Peringatan diadakan setiap tahun untuk memberitakan kematian Yesus. (1 Kor. 11:26) Maka, kita ingin menjemput orang ramai menghadiri sambutan ini dan mendengar tentang pemberian Yehuwa, iaitu korban tebusan Kristus. (Yoh. 3:16) Tahun ini, kempen kita untuk menjemput orang menghadiri Peringatan akan bermula pada hari Sabtu, 17 Mac. Adakah anda ingin menyertai kempen ini dengan bersungguh-sungguh?
2. Apakah yang boleh kita katakan semasa menawarkan surat jemputan?
2 Apa yang Boleh Kita Katakan: Penyampaian yang ringkas adalah yang terbaik. Kita boleh berkata, “Anda sekeluarga dijemput untuk menghadiri sambutan tahunan penting yang diadakan di serata dunia pada 5 April. Sebuah ceramah Bible akan menjelaskan bagaimana kematian Yesus mempengaruhi kita dan apa yang dilakukannya sekarang. Masuk adalah percuma. Masa dan tempatnya tertera pada jemputan ini.” Semasa mengedarkan surat jemputan ini pada hujung minggu, tawarkan majalah jika sesuai.
3. Bagaimanakah kita dapat menjemput seberapa ramai orang yang mungkin?
3 Jemput Seberapa Ramai yang Mungkin: Matlamat kita ialah menjemput seberapa ramai orang yang mungkin. Jadi, pastikan anda menjemput pelajar Bible, kunjungan kembali, saudara-mara, rakan sekerja, rakan sekolah, jiran tetangga, dan orang lain yang dikenali. Para penatua dalam sidang akan memberitahu anda cara meliputi kawasan penyebaran tempatan. Setiap tahun, kempen untuk menjemput orang membawa hasil yang baik. Pada tahun lalu, seorang wanita telah menghadiri sambutan Peringatan. Semasa dia memasuki dewan, atendan di situ ingin membantunya mencari penyiar yang menjemputnya. Tetapi, wanita itu tidak mengenali sesiapa pun kerana dia baru mendapat surat jemputan pada hari itu daripada seorang Saksi yang menginjil dari rumah ke rumah.
4. Mengapakah kita perlu gigih dalam kempen ini?
4 Seseorang mungkin menghadiri sambutan Peringatan setelah mendapat surat jemputan yang anda berikan. Tidak kira dia hadir atau tidak, usaha gigih anda pasti telah memberikan kesaksian yang baik. Surat jemputan yang anda tawarkan menghebahkan bahawa Yesus adalah Raja yang sedang berkuasa. Jika anda menyertai kempen ini dengan penuh semangat, orang dalam kawasan penyebaran, saudara saudari, dan yang terpenting Yehuwa, akan tahu bahawa anda sangat menghargai pemberian korban tebusan ini.—Kol. 3:15.