Peringatan untuk Konvensyen
Masa Program: Pintu akan dibuka pada jam 8:00 pagi. Selingan muzik akan bermula pada jam 9:20 pagi bagi ketiga-tiga hari. Kita semua patut mengambil tempat duduk masing-masing pada masa itu supaya program boleh bermula tepat pada masanya dan dalam cara yang teratur. Program akan berakhir sekitar jam 5:00 petang bagi hari Jumaat dan Sabtu, serta sekitar jam 4:00 petang bagi hari Ahad.
‘Memuji Yehuwa dengan Lagu’: Sejak zaman kuno, umat Tuhan memuji Yehuwa dengan lagu. Hari ini, muzik juga memainkan peranan penting dalam ibadat sejati. (Mzm. 28:7) Selingan muzik dimainkan sebelum bermulanya setiap sesi konvensyen. Muzik ini bukan sekadar muzik latar, tetapi disediakan untuk membantu kita mempelajari tentang Yehuwa dan menyembah-Nya. Jadi, apabila pengerusi sesi mengumumkan bahawa selingan muzik akan bermula, kita harus kembali ke tempat duduk masing-masing. Pada masa itu, adalah baik untuk menikmati selingan muzik tersebut, dan bukannya berbual-bual dengan orang. Dengan demikian, kita menunjukkan penghargaan kepada ahli orkestra Watchtower. Dua kali setahun, saudara saudari dari pelbagai negara membiayai kos perjalanan sendiri ke Paterson, New York, untuk menghasilkan muzik. Selepas menikmati selingan muzik, semua hadirin patut memuji Yehuwa dengan menyanyikan lagu teokratik kita.
Tempat Letak Kereta: Bagi semua lokasi konvensyen yang menyediakan tempat letak kereta, ruangan disediakan untuk sesiapa yang datang dahulu. Memandangkan ruangan yang disediakan biasanya terhad, kita digalakkan untuk berkongsi kereta.
Tempat Duduk: Apabila pintu dewan dibuka setiap pagi, janganlah tergesa-gesa untuk mengambil tempat duduk yang diinginkan, seolah-olah anda sedang berebut dengan hadirin lain. Tunjukkanlah semangat rela berkorban dan sikap bertimbang rasa. Hal ini menjadi tanda pengenal kita sebagai orang Kristian sejati dan mendorong para pemerhati untuk memuji Tuhan. (Yoh. 13:34, 35; 1 Kor. 13:5; 1 Ptr. 2:12) Anda hanya boleh mengekhaskan tempat duduk bagi mereka yang tinggal serumah dengan anda, menaiki kenderaan yang sama dengan anda, atau yang sedang mempelajari Bible dengan anda. Jangan tinggalkan barang-barang anda di atas tempat duduk yang lain. Kerjasama anda dapat memudahkan orang lain untuk mencari tempat duduk. Tempat duduk yang dikhaskan bagi mereka yang lanjut usia dan kurang upaya adalah terhad. Jadi hanya satu atau dua orang yang membantu mereka dibenarkan untuk duduk bersama mereka.
Pakaian yang Sopan: Pakaian kita semasa konvensyen haruslah sesuai dan sopan, bukannya mencerminkan fesyen yang keterlaluan. (1 Tim. 2:9) Kita mahu mengelakkan pakaian yang terlalu kasual atau selekeh semasa mendaftar masuk dan keluar dari hotel serta pada waktu lapang sebelum dan selepas sesi konvensyen. Dengan itu, kita akan bangga memakai lencana konvensyen dan tidak berasa malu jika berpeluang memberikan kesaksian. Penampilan dan tingkah laku yang baik semasa menghadiri konvensyen bukan sahaja mendorong orang yang berhati jujur untuk mendengar mesej Bible yang menyelamatkan hidup, tetapi juga dapat menggembirakan Yehuwa.—Zef. 3:17.
Bertimbang Rasa semasa Menggunakan Alat Elektronik: Semasa sesi berlangsung, kita ingin bertimbang rasa dengan memastikan telefon bimbit atau alat elektronik kita tidak mengganggu hadirin yang lain. Jika kita menggunakan kamera, perakam video, tablet elektronik, atau alat lain, pastikan kita tidak mengganggu atau menghalang pandangan mereka. Semasa sesi berlangsung, kita mahu mengelakkan daripada menghantar SMS atau e-mel jika tidak perlu.
Makanan Tengah Hari: Sila bawa makanan tengah hari ke dewan konvensyen dan bukannya keluar untuk membeli makanan semasa rehat tengah hari. Anda boleh menggunakan bekas kecil yang dapat diletakkan di bawah tempat duduk. Bekas besar yang digunakan untuk berkelah, dan bekas kaca tidak dibenarkan dalam dewan konvensyen.
Derma: Kita dapat menunjukkan penghargaan untuk konvensyen yang diaturkan dengan memberikan derma sukarela untuk kerja sedunia di konvensyen. Cek-cek yang disumbangkan harus dibuat atas nama “Pertubuhan Bible dan Risalah Watchtower Malaysia.”
Ubat-ubatan: Jika anda memerlukan ubat preskripsi, sila pastikan bahawa anda membawa bekalan yang mencukupi. Pihak konvensyen tidak akan menyediakannya. Jarum dan picagari yang digunakan oleh pesakit diabetes adalah berbahaya dan harus dibuang dengan cara yang betul. Jangan buang ke dalam tong sampah yang terdapat di tapak konvensyen atau hotel.
Langkah Keselamatan: Sila berjaga-jaga supaya tidak tergelincir atau terjatuh. Setiap tahun, banyak orang tercedera disebabkan kasut, terutamanya kasut bertumit tinggi. Pilihlah kasut yang sesuai supaya anda tidak mudah terjatuh apabila berjalan di atas tangga, kekisi, dan sebagainya.
Masalah Pendengaran: Program konvensyen akan disiarkan di dalam dewan menerusi frekuensi radio FM. Untuk mendengar program tersebut, anda memerlukan fon telinga dan alat penerima FM yang menggunakan bateri.
Kereta Sorong Bayi dan Kerusi Malas: Kereta sorong bayi dan kerusi malas tidak patut dibawa ke tapak konvensyen. Tetapi, kerusi keselamatan bayi boleh digunakan jika dapat dipasang pada tempat duduk di sebelah ibu bapa.
Pewangi: Kebanyakan konvensyen diadakan di dewan tertutup yang menggunakan sistem pengalihan udara. Oleh itu, kita patut bertimbang rasa dengan tidak menggunakan terlalu banyak minyak wangi agar tidak memudaratkan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.—1 Kor. 10:24.
Borang Kunjungan Susulan (S-43): Jika anda berjumpa dengan orang yang berminat semasa melakukan kesaksian tidak formal di konvensyen, catatkanlah maklumat mereka dengan menggunakan borang Kunjungan Susulan. Kemudian, serahkan borang yang lengkap kepada Bahagian Bahan Bacaan atau kepada setiausaha sidang selepas anda pulang daripada konvensyen.
Restoran: Semasa di restoran, tingkah laku kita harus memuliakan nama Yehuwa. Cara pemakaian kita harus selaras dengan piawaian Tuhan. Jika sesuai, anda boleh memberikan tip kepada pekerja restoran.
Hotel:
Jangan tempah bilik melebihi bilangan yang diperlukan, dan pastikan bilangan penginap di bilik anda tidak melebihi jumlah yang dibenarkan.
Jangan membatalkan tempahan anda sesuka hati. Sekiranya anda perlu berbuat demikian, maklumkanlah pihak hotel dengan segera agar orang lain yang memerlukan penginapan boleh membuat tempahan. (Mat. 5:37) Jika anda perlu membatalkan tempahan, pastikan anda mendapat nombor pembatalan. Jika pembatalan dibuat kurang daripada 48 jam sebelum mendaftar masuk, deposit anda tidak akan dikembalikan.
Jika anda menggunakan kad kredit atau debit, pihak hotel akan menahan sejumlah wang dalam akaun anda semasa anda mendaftar masuk. Tujuannya adalah untuk menutupi kos penginapan, mengganti rugi kerosakan yang mungkin berlaku, atau perbelanjaan yang lain. Anda tidak dapat menggunakan wang ini sehingga beberapa hari selepas pembayaran penuh dibuat.
Ambil troli bagasi hanya apabila anda bersedia untuk menggunakannya, dan pulangkan dengan segera agar orang lain dapat menggunakannya.
Jika sesuai, anda boleh memberikan tip kepada kakitangan hotel yang mengangkat beg anda dan pekerja yang membersihkan bilik anda.
Jangan memasak di dalam bilik, kecuali diizinkan oleh pihak hotel.
Sarapan, kopi, atau ais yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel hanyalah untuk kegunaan tetamu semasa di hotel dan tidak patut dibazirkan atau disalahgunakan.
Sentiasa memperlihatkan buah daya aktif Tuhan semasa berurusan dengan kakitangan hotel. Mereka perlu melayan banyak tetamu. Jadi, mereka sangat menghargai kebaikan hati, kesabaran, dan sikap timbang rasa yang kita tunjukkan.
Semasa di hotel, ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka, termasuk di lif, kolam renang, lobi hotel, gim, dan sebagainya.
Harga bilik yang terdapat pada “Senarai Penginapan yang Disyorkan” (Recommended Lodging List) merupakan kos penuh untuk penginapan satu hari, tidak termasuk cukai. Jika anda dikenakan bayaran tambahan, jangan bayar bil tersebut. Maklumkan Bahagian Penginapan di konvensyen secepat mungkin.
Jika terdapat masalah dengan bilik anda, sila maklumkan Bahagian Penginapan semasa di konvensyen agar mereka dapat membantu anda.
Khidmat Sukarela: Sesiapa yang ingin berkhidmat sebagai sukarelawan boleh melaporkan diri di Bahagian Khidmat Sukarela konvensyen. Anak-anak di bawah 16 tahun juga boleh menyertai khidmat sukarela ini bersama ibu bapa, penjaga, atau orang dewasa lain yang dibenarkan untuk menjaga mereka.