PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 September ms. 26-30
  • Yehuwa Membantu Kami untuk ‘Bermekar di Mana Kami Ditanam’

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yehuwa Membantu Kami untuk ‘Bermekar di Mana Kami Ditanam’
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Bahan yang Berkaitan
  • Berkat daripada Yehuwa Jauh Melebihi Jangkaan Saya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • Yehuwa Telah ‘Meluruskan Jalan Hidupku’
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Cara Menyesuaikan Diri dengan Tugasan Baharu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • Diajar oleh Pendidik Agung Seumur Hidup Kami
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 September ms. 26-30
Mats dan Ann-Catrin berdiri di sebelah kereta mereka di sebuah kawasan terpencil.

KISAH HIDUP

Yehuwa Membantu Kami untuk ‘Bermekar di Mana Kami Ditanam’

DICERITAKAN OLEH MATS DAN ANN-CATRIN KASSHOLM

“BERMEKARLAH di mana saja anda ditanam.” Nasihat ini mungkin kedengaran aneh. Tetapi Mats dan Ann-Catrin, satu pasangan dari Sweden, telah “ditanam” banyak kali. Mari kita lihat sebabnya dan bagaimana nasihat ini bantu mereka.

Saudara dan Saudari Kassholm telah menghadiri Sekolah Gilead pada 1979. Mereka seolah-olah ditanam semasa mereka ditugaskan ke banyak tempat seperti Iran, Mauritius, Myanmar, Tanzania, Uganda, dan Zaire. Salah seorang pengajar Gilead, iaitu Jack Redford, memberi mereka nasihat ini yang bantu mereka semasa mereka “ditanam,” “dicabut,” dan “ditanam semula” banyak kali sepanjang khidmat mereka. Biar mereka ceritakan kisah mereka.

Bolehkah kamu ceritakan bagaimana kamu mendapat kebenaran?

Mats: Bapa saya tinggal di Poland semasa Perang Dunia Kedua. Dia lihat banyak ahli Gereja Katolik hidup bermuka dua. Tapi dia selalu kata, “Saya yakin agama yang benar pasti wujud.” Pada kemudian hari, saya sedar kata-katanya memang benar. Saya membeli banyak buku dan salah satunya ialah buku biru yang bertajuk Kebenaran yang Membawa Kehidupan Abadi. Tajuknya sangat menarik dan saya habis membacanya pada malam saya mendapat buku itu. Kemudian, saya sedar inilah kebenaran!

Bermula April 1972, saya membaca lebih banyak bahan bacaan para Saksi dan menjumpai jawapan Bible kepada soalan-soalan saya. Saya rasa seperti saudagar dalam perumpamaan Yesus. Selepas dia menemui sebutir mutiara yang bermutu tinggi, dia segera menjual segala yang dimilikinya untuk membeli mutiara itu. Saya melepaskan cita-cita saya untuk pergi ke universiti dan menjadi seorang doktor agar saya dapat berkhidmat kepada Yehuwa. (Mat. 13:​45, 46) Kemudian, saya dibaptis pada 10 Disember 1972.

Dalam masa setahun, ibu bapa dan adik lelaki saya juga menerima kebenaran dan dibaptis. Pada Julai 1973, saya mula berkhidmat sebagai perintis biasa. Di sidang kami, ada seorang saudari yang cantik yang juga berkhidmat sebagai perintis biasa. Namanya Ann-Catrin. Kami jatuh cinta dan kemudian berkahwin pada 1975. Untuk empat tahun seterusnya, kami berkhidmat di Strömsund, iaitu sebuah pekan yang cantik di Sweden. Banyak orang di sana suka belajar Bible.

Ann-Catrin: Bapa saya mendapat kebenaran semasa dia masih belajar di universiti di Stockholm. Walaupun saya baru berumur tiga bulan pada masa itu, dia bawa saya ke perjumpaan dan keluar menginjil. Ibu saya tidak suka hal ini. Biarpun ibu saya cuba membuktikan ajaran para Saksi adalah salah, dia tidak berjaya. Akhirnya dia pun menerima kebenaran lalu dibaptis. Saya dibaptis semasa berumur 13 tahun dan semasa berumur 16 tahun, saya mula merintis. Selepas berkhidmat di Umeå, sebuah tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar, saya dilantik sebagai perintis khas.

Selepas saya dan Mats berkahwin, kami sangat gembira kerana dapat bantu beberapa orang mengenali kebenaran. Salah seorangnya ialah Maivor, seorang gadis remaja yang kemudiannya menjadi rakan perintis adik perempuan saya. Mereka berdua menghadiri Sekolah Gilead pada 1984 dan kemudian berkhidmat sebagai mubaligh di Ecuador.

Bagaimanakah kamu mengikut nasihat untuk ‘bermekar di mana saja kamu ditanam’ semasa berkhidmat sebagai mubaligh?

Mats: Kami seolah-olah ditanam semula banyak kali semasa kami berpindah ke tempat lain untuk tugasan baharu. Namun, salah satu hal yang membantu kami untuk buat penyesuaian ialah meniru teladan Yesus, terutamanya kerendahan hatinya. (Kol. 2:​6, 7) Contohnya, daripada mengharapkan saudara saudari tempatan untuk mengikut kebiasaan kami, kami berusaha untuk memahami pemikiran dan budaya mereka. Apabila kami meniru teladan Yesus, kami rasa seperti pokok yang “ditanam di tepi sungai” dan dapat “bertumbuh” dengan subur di mana saja kami ditugaskan.​—Mzm. 1:​2, 3.

Mats dan Ann-Catrin mengangkat beg dan makanan mereka.

Kami sering buat banyak perjalanan untuk melawat sidang-sidang

Ann-Catrin: Pokok perlukan cahaya matahari untuk tumbuh dengan sihat. Yehuwa merupakan “matahari” bagi kami. (Mzm. 84:11) Dia memberi kami sokongan melalui kasih yang hangat daripada saudara saudari. Contohnya, di sebuah sidang kecil di Tehran, Iran, kami merasai kasih sayang dan keramahan rakan seiman. Sedihnya, pada Julai 1980, kerja Saksi-Saksi Yehuwa di Iran diharamkan dan kami disuruh untuk meninggalkan negara itu dalam masa 48 jam. Oleh itu, kami ditugaskan ke Zaire (kini dikenali sebagai Republik Demokratik Congo) di Afrika.

Sebuah rumah yang sederhana di sebuah kampung terpencil di Zaire.

Kenangan manis semasa berkhidmat di Zaire, 1982

Apabila saya mendapat tahu bahawa kami ditugaskan ke Afrika, saya menangis kerana saya dengar ada banyak ular dan penyakit di sana. Namun, dua orang kawan baik kami yang sudah lama berkhidmat di sana beritahu kami, “Kamu belum pernah datang ke Afrika, jadi janganlah takut. Kami tahu kamu akan suka tempat ini!” Memang benar kata-kata mereka. Saudara saudari di Afrika sangat pengasih. Apabila kami terpaksa meninggalkan Zaire enam tahun kemudian kerana kerja Saksi di sana diharamkan, kami berasa sangat sedih dan tidak sampai hati untuk meninggalkan Afrika. Saya bahkan berdoa kepada Yehuwa agar kami dapat terus berkhidmat di sini.

Apakah sukacita yang telah kamu rasai dalam khidmat kamu?

Ann-Catrin duduk di kerusi di luar van kami.

“Bilik tidur” kami di Tanzania, 1988

Mats: Kami dapat mengenali dan menjalin persahabatan dengan mubaligh dari pelbagai negara. Selain itu, kami sangat gembira kerana dapat mulakan banyak pembelajaran Bible. Kadangkala kami masing-masing ada kira-kira 20 pembelajaran Bible! Saya juga tidak akan lupa kasih dan kebaikan hati saudara saudari di Afrika. Semasa kami melawat sidang-sidang di Tanzania, kami biasanya akan tidur di van kami. Walaupun saudara saudari sangat miskin, mereka menjaga keperluan kami dan memberi bahkan “melebihi kemampuan mereka.” (2 Kor. 8:3) Satu hal yang istimewa bagi saya dan Ann-Catrin ialah kami akan bercerita tentang aktiviti kami pada penghujung setiap hari. Kemudian, kami akan mengucapkan syukur kepada Yehuwa.

Ann-Catrin: Saya merasai sukacita yang besar kerana dapat mengenali saudara saudari dari pelbagai tempat. Kami dapat belajar pelbagai budaya dan bahasa baharu, termasuk bahasa Luganda, Parsi, Perancis, dan Swahili. Kami juga membantu untuk melatih saudara saudari yang baru dibaptis. Kami mendapat banyak kawan baik dan “berganding bahu” dengan mereka dalam khidmat Yehuwa.—Zef. 3:9.

Selain itu, kami dapat menikmati banyak ciptaan Yehuwa yang menakjubkan. Setiap kali kami menerima tugasan baharu, kami rasa seperti Yehuwa sedang membawa kami dalam pengembaraan yang baharu. Semua pengalaman ini sangat istimewa bagi kami.

Kolaj: 1. Mats dan Ann-Catrin menginjil kepada seorang ibu dan anak-anaknya. 2. Ann-Catrin memberikan kesaksian kepada seorang pemuda Maasai.

Menginjil di pelbagai kawasan di Tanzania

Apakah cabaran yang telah kamu hadapi, dan bagaimanakah kamu menanganinya?

Mats: Kami pernah menghidap beberapa penyakit, contohnya malaria. Ann-Catrin juga perlu menjalani beberapa pembedahan kecemasan. Selain itu, kami risau tentang ibu bapa kami yang semakin tua. Kami sangat menghargai adik-beradik kami yang bantu menjaga ibu bapa kami dengan gembira, sabar, dan pengasih. (1 Tim. 5:4) Kami cuba melakukan apa yang terdaya untuk membantu ibu bapa kami walaupun kami tinggal berjauhan. Namun, kami kadangkala rasa sedih dan bersalah kerana kami harap dapat buat lebih banyak bagi mereka.

Ann-Catrin: Pada 1983, semasa kami berkhidmat di Zaire, saya diserang penyakit kolera yang teruk. Doktor suruh saya dapatkan rawatan dengan segera. Jadi keesokan harinya, kami terpaksa pulang ke Sweden dengan menaiki kapal terbang kargo kerana itulah satu-satunya penerbangan yang ada.

Mats: Doktor kata bahawa Ann-Catrin tidak akan sembuh. Jadi, kami menangis kerana kami fikir khidmat mubaligh kami akan berakhir. Namun, dia telah sembuh dan setahun kemudian, kami kembali ke Zaire untuk berkhidmat di sebuah sidang bahasa Swahili di Lubumbashi.

Ann-Catrin: Semasa kami di Lubumbashi, saya mengalami keguguran anak dalam kandungan saya. Hal itu buat saya sangat sedih. Namun, kami merasai bantuan Yehuwa dalam cara yang luar biasa. Pada masa yang sedih itu, kami dapat memulakan banyak pembelajaran Bible. Dalam masa kurang daripada setahun, angka penyiar di sidang kami meningkat daripada 35 kepada 70 orang, dan bilangan hadirin perjumpaan meningkat daripada 40 kepada 220 orang. Kami sangat sibuk dan berkat Yehuwa itu melegakan hati saya. Namun, kami sering berfikir dan bercakap tentang anak kami itu. Kami tidak sabar menantikan masanya Yehuwa akan menyembuhkan luka di hati kami dengan sepenuhnya di Firdaus.

Mats: Buat suatu ketika, Ann-Catrin menjadi lemah dan sangat penat. Saya pula menghidap kanser usus tahap empat dan perlu menjalani pembedahan yang besar. Tapi syukurlah saya sudah sembuh dan Ann-Catrin sedang melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada Yehuwa.

Kami sedar bahawa bukan kami saja yang menghadapi cabaran. Selepas pembunuhan kaum di Rwanda pada 1994, kami melawat ramai saudara saudari di kem pelarian. Apabila kami melihat iman, ketabahan, dan kemurahan hati mereka biarpun hidup mereka susah, hal itu mengajar kami bahawa Yehuwa dapat menyokong umat-Nya untuk menghadapi apa saja cabaran.—Mzm. 55:22.

Ann-Catrin: Satu lagi cabaran berlaku selepas program pentahbisan pejabat cawangan Uganda pada 2007. Kami bersama kira-kira 25 orang mubaligh dan pekhidmat Bethel mengadakan perjalanan ke Nairobi, Kenya. Tapi sebelum kami sampai di sempadan Kenya, sebuah lori dari arah yang bertentangan tiba-tiba masuk lorong kami dan melanggar bas kami. Sedihnya, pemandu bas dan lima orang kawan kami mati di tempat kejadian. Seorang lagi saudari kemudiannya meninggal di hospital. Kami menantikan saatnya kami dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan kami itu di Firdaus.—Ayb. 14:​13-15.

Walaupun kecederaan fizikal kami sembuh, kami dan beberapa penumpang lain masih mengalami trauma selepas kemalangan itu. Bagi saya, saya mengalami serangan panik. Saya akan tiba-tiba terjaga pada waktu malam dan rasa seperti saya mengalami serangan jantung. Hal itu sangat menakutkan. Apa yang membantu kami ialah doa yang tekun kepada Yehuwa dan ayat-ayat Bible kegemaran kami. Kami juga mendapatkan bantuan doktor. Keadaan kami sekarang lebih baik dan kami mahu bantu orang lain yang juga mengalami masalah yang sama.

Bagaimanakah kamu akan menggambarkan cara Yehuwa membantu kamu semasa menghadapi situasi yang mencabar?

Mats: Dalam bahasa Swahili, ada satu pepatah yang kata, “Kami dibawa seperti telur di dalam tangan.” Semasa membawa telur, kita selalunya berhati-hati agar telur itu tidak pecah. Gambaran ini menunjukkan bagaimana Yehuwa membantu kami dengan penuh kasih sayang dalam setiap tugasan kami. Yehuwa sentiasa memberi kami lebih daripada apa yang kami perlukan. Satu cara kami merasai kasih dan sokongan Yehuwa adalah melalui empati yang ditunjukkan oleh Badan Pimpinan.

Ann-Catrin: Saya ingin menyebut satu contoh tentang bagaimana Yehuwa membantu kami dengan penuh belas kasihan. Pada suatu hari, saya menerima panggilan telefon yang memberitahu saya bahawa bapa saya di Sweden berada di unit penjagaan rapi. Pada masa itu, Mats baru sembuh daripada malaria. Kami tidak mampu membeli tiket penerbangan untuk balik. Jadi kami membuat keputusan untuk menjual kereta kami. Kemudian, kami menerima dua lagi panggilan telefon. Satu daripada satu pasangan Saksi yang mendengar tentang situasi kami dan ingin membayar harga untuk satu tiket. Satu lagi panggilan ialah daripada seorang saudari yang lebih tua yang telah mengumpulkan sejumlah wang di dalam sebuah kotak yang berlabel “Untuk seseorang yang memerlukannya.” Dalam beberapa minit saja, Yehuwa telah membantu kami dalam cara yang menakjubkan!—Ibr. 13:6.

Mengenang kembali khidmat sepenuh masa kamu selama lebih daripada 50 tahun, apakah yang telah kamu belajar?

Mats dan Ann-Catrin berdiri bersama-sama dengan gembira.

Di tugasan baharu kami di Myanmar

Ann-Catrin: Saya belajar bahawa saya dapat menjadi kuat, jika saya ‘bertenang dan percaya kepada Yehuwa.’ Apabila kami percaya kepada Yehuwa, Dia akan berjuang demi kami. (Yes. 30:15; 2 Taw. 20:​15, 17) Dengan melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan kami, kami menerima banyak berkat yang tidak kami jangkakan.

Mats: Saya belajar pentingnya bergantung pada Yehuwa dalam setiap situasi dan melihat bagaimana Dia akan bertindak bagi pihak saya. (Mzm. 37:5) Dia sentiasa menunaikan janji-Nya untuk menjaga saya. Sampai sekarang, Yehuwa masih membantu kami dalam tugasan Bethel kami di Myanmar.

Kami harap saudara saudari muda yang ingin melakukan lebih banyak untuk Yehuwa akan merasai kasih setia-Nya. Sebenarnya, kami yakin jika mereka mengizinkannya, Yehuwa pasti akan bantu mereka bermekar di mana saja mereka ditanam.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi