Aturan demi Manfaat Keluarga
1. Bagaimanakah keluarga Israel mendapat manfaat dengan menyambut hari Sabat setiap minggu?
1 Yehuwa menyuruh orang Israel menyambut hari Sabat, aturan yang pengasih ini telah mendatangkan manfaat kepada keluarga mereka. Pada hari Sabat, orang Israel berhenti bekerja dan meluangkan masa untuk merenungkan kebaikan Yehuwa dan hubungan mereka dengan-Nya. Ibu bapa berpeluang mengajar anak-anak berulang kali supaya Hukum Musa tertanam di hati mereka. (Ul. 6:6, 7) Hari Sabat setiap minggu merupakan masa bagi umat Tuhan untuk bertumpu pada hal-hal rohani.
2. Apakah sifat Yehuwa yang disingkapkan menerusi aturan Sabat?
2 Meskipun Yehuwa tidak lagi menghendaki keluarga Kristian mematuhi aturan Sabat, hukum ini mengajar kita bahawa Tuhan kita betul-betul prihatin dengan keadaan rohani umat-Nya. (Yes. 48:17, 18) Dewasa ini, salah satu cara Yehuwa memperlihatkan keprihatinan dan kasih-Nya adalah menerusi malam Penyembahan Keluarga.
3. Apakah tujuan malam Penyembahan Keluarga?
3 Apakah Tujuan Malam Penyembahan Keluarga? Tujuan aturan ini diadakan adalah supaya setiap keluarga dapat mengekhaskan satu malam setiap minggu untuk mengadakan penyembahan keluarga. Dengan ini, kerohanian sekeluarga dapat dikuatkan. Setiap keluarga digalakkan untuk memilih masa yang sesuai untuk perbincangan dan pembelajaran Bible. Luangkan masa yang secukupnya untuk membincangkan keperluan keluarga.
4. Adakah masa bagi malam Penyembahan Keluarga terhad kepada satu jam sahaja? Jelaskan.
4 Perlukah kita mengehadkan masa malam Penyembahan Keluarga kita kepada satu jam sahaja? Tidak. Sebaliknya, kita patut memikirkan keperluan dan keterbatasan keluarga kita semasa menentukan tempoh masanya.
5. Adakah malam ini hanya untuk perbincangan secara berkumpulan? Jelaskan.
5 Adakah Malam Ini Hanya untuk Perbincangan Secara Berkumpulan? Apabila suami isteri atau ibu bapa dengan anak membincangkan topik Bible bersama-sama, mereka dapat saling menggalakkan. (Rm. 1:12) Hasilnya, ikatan keluarga bertambah erat. Oleh itu, malam Penyembahan Keluarga harus berpusat pada perbincangan topik Bible. Namun, setiap ahli keluarga juga boleh melakukan pembelajaran peribadi. Misalnya, selepas perbincangan secara berkumpulan, ahli-ahli keluarga tidak perlu bersurai dengan serta-merta. Secara berasingan, mereka boleh menghabiskan persiapan untuk perjumpaan atau membaca majalah-majalah. Ada keluarga yang memilih untuk tidak menonton televisyen sepanjang malam itu.
6. Bagaimanakah perbincangan ini dikendalikan?
6 Bagaimanakah Perbincangan Ini Dikendalikan? Perbincangan ini tidak semestinya selalu sesi soal jawab. Agar dapat menjadikan malam Penyembahan Keluarga lebih menarik, banyak keluarga mengadakannya seperti perjumpaan kita pada pertengahan minggu. Perbincangan mereka terbahagi kepada beberapa bahagian yang dikendalikan dalam pelbagai cara. Contohnya, mereka mungkin akan membaca Bible bersama-sama, menyiapkan sebahagian maklumat bagi perjumpaan, dan mengadakan sesi latihan untuk aktiviti penyebaran. Muka surat 5 menyediakan beberapa cadangan.
7. Apakah suasana yang patut diwujudkan oleh ibu bapa?
7 Apakah Suasana yang Patut Diwujudkan oleh Ibu Bapa? Suasana yang tenang dan bercirikan kasih paling sesuai untuk proses pembelajaran keluarga anda. Adakalanya, anda boleh belajar di luar rumah jika cuaca baik. Rehatlah sebentar jika perlu. Sesetengah keluarga menikmati hidangan ringan selepas program. Ibu bapa patut mengelak daripada memarahi atau mendisiplinkan anak semasa malam Penyembahan Keluarga. Namun, mereka mungkin perlu meluangkan masa untuk membincangkan kecenderungan atau masalah yang diperhatikan oleh mereka dalam diri anak-anak. Agar tidak memalukan seseorang anak di hadapan adik-beradiknya, adalah baik untuk membincangkan isu-isu yang sensitif dengannya secara peribadi pada masa lain. Malam Penyembahan Keluarga patut mencerminkan ‘Tuhan kita yang gembira,’ dan tidak sepatutnya membosankan atau terlalu serius.—1 Tim. 1:11, NW.
8, 9. Apakah persiapan yang perlu dilakukan oleh ketua keluarga?
8 Apakah Persiapan yang Boleh Dilakukan oleh Ketua Keluarga? Keluarga akan meraih manfaat terbesar sekiranya ketua keluarga membuat persiapan bagi malam Penyembahan Keluarga terlebih dahulu. Dia boleh menentukan bahan yang akan dibincangkan dan cara yang terbaik untuk melakukannya. (Ams. 21:5) Suami digalakkan untuk membincangkan hal ini dengan isterinya. (Ams. 15:22) Ketua keluarga sekalian, cubalah untuk mendapatkan pandangan anak-anak anda. Dengan ini, anda dapat mengetahui hal-hal yang menarik minat atau yang merunsingkan mereka.
9 Biasanya, ketua keluarga tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk membuat persiapan. Dia tidak perlu asyik menyediakan program yang baru kerana keluarganya mungkin menggemari sesetengah aktiviti yang boleh diadakan setiap minggu, seperti pembacaan Bible. Adalah baik juga untuk membuat persiapan selepas setiap pembelajaran ketika keperluan rohani keluarganya masih segar dalam ingatan. Sesetengah ketua keluarga menyediakan atur cara yang ringkas lalu menampalkannya di tempat yang mudah dilihat, misalnya pada peti sejuk. Dengan ini, dia dapat membangkitkan minat keluarganya dan memberikan masa kepada mereka untuk membuat persiapan jika perlu.
10. Bagaimanakah mereka yang tinggal bersendirian dapat menggunakan malam Penyembahan Keluarga?
10 Bagaimana Pula jika Saya Tinggal Bersendirian? Mereka yang tinggal bersendirian boleh menggunakan malam Penyembahan Keluarga untuk membuat pembelajaran peribadi. Biasanya, dalam program pembelajaran peribadi yang baik, seseorang harus membuat persediaan untuk perjumpaan dan membaca Bible, majalah pembelajaran, serta majalah berita. Sesetengah penyiar juga membuat projek pembelajaran tambahan. Sekali-sekala, mereka juga boleh menjemput penyiar atau keluarga yang lain untuk menyertai mereka dalam perbincangan Bible yang bermakna.
11, 12. Nyatakan beberapa manfaat yang akan diperoleh sekiranya malam Penyembahan Keluarga diadakan dengan tetap.
11 Apakah Manfaatnya jika Anda Mengadakan Malam Penyembahan Keluarga Secara Tetap? Menyertai penyembahan sejati dengan sepenuh hati mendekatkan seseorang dengan Yehuwa. Selain itu, menyembah Yehuwa bersama-sama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sepasang suami isteri menuliskan berkat-berkat yang dinikmati, “Sebagai suami isteri yang merintis dan tidak mempunyai anak, kami menantikan malam Penyembahan Keluarga dengan berdebar-debar. Kami merasakan bahawa hubungan kami berdua semakin rapat, dan kami juga bertambah akrab dengan Bapa kami yang di syurga. Semasa kami bangun dari tidur pada hari yang dijadualkan untuk mempelajari Bible bersama-sama, kami akan berkata kepada satu sama lain, ‘Cuba teka malam ini malam apa? Malam Penyembahan Keluarga!’”
12 Aturan malam Penyembahan Keluarga juga dapat membantu keluarga-keluarga yang sibuk. Seorang perintis biasa yang juga ibu tunggal yang sedang membesarkan dua orang anak lelaki menulis, “Dulu, pembelajaran keluarga kami tidak tetap kerana saya letih. Saya langsung tidak dapat meluangkan masa untuknya. Jadi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda atas aturan malam Penyembahan Keluarga. Kini, pembelajaran keluarga kami diadakan dengan tetap dan kami sedang mendapat manfaatnya.”
13. Apakah yang menentukan seberapa banyak manfaat rohani yang dapat dituai oleh keluarga anda daripada aturan ini?
13 Seperti aturan Sabat, malam Penyembahan Keluarga dikurniakan oleh Bapa kita yang di syurga demi manfaat keluarga. (Yak. 1:17) Cara orang Israel menggunakan hari Sabat menentukan seberapa banyak manfaat rohani yang diperoleh keluarga mereka. Begitu juga, cara kita menggunakan malam yang dikhaskan untuk penyembahan keluarga akan menentukan seberapa banyak manfaat rohani yang dapat dituai oleh keluarga kita. (2 Kor. 9:6; Gal. 6:7, 8; Kol. 3:23, 24) Dengan menggunakan aturan ini secara bijak, keluarga anda boleh berkata seperti penulis mazmur, ‘Tetapi bagiku, sungguh baik berada di samping Tuhan. Aku mendapat perlindungan daripada Yehuwa.’—Mzm. 73:28.
[Kotak pada muka surat 6]
SIMPAN
Cadangan untuk Malam Penyembahan Keluarga
Bible:
• Baca sebahagian daripada pembacaan Bible mingguan. Jika sesuai, seorang boleh membaca kisahnya, dan yang lain boleh membaca kata-kata watak yang berbeza.
• Lakonkan sebahagian daripada pembacaan Bible.
• Minta setiap ahli keluarga untuk membaca beberapa bab Bible terlebih dahulu dan mencatatkan satu atau dua soalan yang ingin dikaji. Kemudian, buatlah penyelidikan bersama-sama.
• Setiap minggu, tuliskan satu ayat Bible pada sekeping kad. Cuba menghafal dan menjelaskannya. Kumpulkan kad-kad ini dan ulang kajinya setiap minggu untuk menguji ingatan anda.
• Kumpulkan kad-kad Bible Character daripada jw.org.
• Ikuti pembacaan Bible sambil mendengar rakaman audio.
Perjumpaan:
• Ahli keluarga membuat persediaan bersama-sama untuk sebahagian maklumat bagi perjumpaan.
• Berlatih menyanyikan lagu-lagu teokratik yang dijadualkan untuk perjumpaan yang akan datang.
• Jika seseorang diberi tugasan untuk Sekolah Penyebaran Teokratik atau demonstrasi dalam Perjumpaan Aktiviti Penyebaran, bincangkan cara menyampaikannya atau adakan sesi latihan di hadapan keluarga.
Keperluan Keluarga:
• Bincang maklumat daripada buku “Pertanyaan Kaum Muda,” “Guru Agung” atau aktiviti di jw.org bahagian “Teenagers” atau “Children” yang mengandungi “White Board Animations” atau “Activity Collections.”
• Dengarlah dan berlatihlah bersama keluarga anda lagu-lagu baru yang terdapat di jw.org, bahagian “Jadilah Sahabat Yehuwa.”
• Adakan sesi latihan tentang cara menangani situasi yang mungkin timbul di sekolah.
• Ibu bapa dan anak bertukar peranan semasa sesi latihan. Anak-anak akan menyelidiki suatu subjek dan menaakul dengan ibu bapa.
Aktiviti Penyebaran:
• Buat persediaan dan berlatihlah untuk penyampaian yang akan digunakan pada hujung minggu.
• Bincangkan bersama keluarga satu atau dua isi daripada bahagian “Soalan Popular” yang terdapat dalam “Soalan Lazim,” di jw.org.
• Bincang dan tetapkan matlamat yang berpatutan bagi seisi keluarga agar mereka dapat lebih bergiat dalam kerja penyebaran sepanjang musim Peringatan atau masa cuti.
• Beri setiap orang beberapa minit untuk menyelidiki cara menjawab soalan yang mungkin timbul semasa aktiviti penyebaran. Kemudian adakan sesi latihan.
Cadangan Tambahan:
• Baca bersama keluarga sebuah rencana daripada majalah terkini.
• Tugaskan setiap ahli keluarga untuk memilih sebuah rencana yang menarik minat mereka dalam majalah terkini dan membacanya terlebih dahulu. Kemudian, minta mereka untuk memberikan ulasan.
• Kadangkala, jemput seorang penyiar atau pasangan untuk menyertai malam Penyembahan Keluarga anda dan mendengar pengalaman mereka.
• Tontoni dan bincang salah satu program video atau klip video di jw.org.
• Bincang rencana “Young People Ask” atau “Family Worship Projects” di jw.org.
• Bincang rencana “Ajarlah Anak Anda” atau “Untuk Kaum Muda” daripada majalah umum dan di jw.org.
• Baca dan bincang sebahagian maklumat daripada “Buku Tahunan” terkini atau terbitan baru semasa kovensyen distrik yang lalu.
• Ulang kaji isi-isi penting selepas menghadiri konvensyen atau perhimpunan.
• Perhatikan ciptaan Yehuwa dan bincang apa yang kita pelajari tentang Yehuwa menerusinya.
• Lakukan satu projek bersama-sama, misalnya membuat model, peta, atau carta.